Ini kerana masyarakat ini memerlukan bimbingan secara berterusan agar pegangan tipikal animisme yang diwarisi sejak nenek moyang itu dapat ditinggalkan sekali gus menerima ajaran Islam secara menyeluruh.

Perkara itu mendorong pelbagai pihak termasuk badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerja keras mendekati komuniti Orang Asli bagi tujuan berdakwah di samping meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Antaranya, kumpulan Kembara At Taqwa Solution (KATS) dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang menjalankan program kemanusiaan dengan memberikan tumpuan kepada perkembangan Islam dalam kalangan Orang Asli di utara Semenanjung Malaysia.

Baru-baru ini, KATS dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pulau Pinang dan PPD Perak menganjurkan Kem Kepimpinan Solat Untuk Pelajar Orang Asli Mualaf di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput (Utara), Perak.

Kem yang berlangsung selama dua hari satu malam itu disusun bagi memberi pengisian ilmiah kepada pelajar saudara baru Islam terutama mengenai ibadah solat, bacaan dalam solat, doa dan cara-cara mengambil wuduk dengan betul.

Penyelaras Program, Norazah Bidi berkata, kem itu bertujuan menerapkan nilai sahsiah unggul agama Islam dan mengajar melaksanakan solat kepada pelajar mualaf Orang Asli di SMK Bawong agar mendapat pendedahan tentang cara hidup Islam serta mengaplikasikan ibadah solat dalam kehidupan seharian dengan sempurna.

“Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan, antara ilmu yang didedahkan termasuk cara mengambil wuduk, doa selepas wuduk, bacaan surah lazim pilihan, pengertian bacaan dalam solat dan bacaan serta rukun dalam solat,” katanya.

Seramai 15 pelajar tingkatan 4 dan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Al- Mashoor (SMKA Perempuan), Pulau Pinang dan 15 pelajar Tingkatan 4 serta 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdullah Fahim Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan dijemput membantu menjayakan program.

Tambah Norazah, ramai pelajar perempuan tidak mempunyai telekung yang baik dan sempurna, oleh itu dengan bantuan NGO iaitu Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor dan sebuah komuniti setempat iaitu Sg. Siput 4X4 Brotherhood, kempen ‘Satu Telekung Seorang Pelajar Orang Asli Mualaf’ dijalankan sebulan sebelum program itu berlangsung.

“Alhamdulillah dengan usaha mereka ini, sebanyak 64 telekung diterima atas sumbangan orang ramai dan telah diserahkan kepada pelajar,” ujarnya.