Keutamaan kepada urusan kerjaya dan keluarga, sering kali dijadikan alasan setiap kali pihak masjid mengadakan majlis ilmu atau program-program keagamaan serta sosial lain.

Bukannya mereka tidak menyedari tentang kepentingan tersebut tetapi semuanya dilakukan demi memenuhi kelangsungan hidup pada hari ini.

Menyedari hakikat tersebut Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, tampil dengan pendekatan dakwah ‘membawa masjid kepada orang ramai’ sebagai antara usaha menjadikan masjid itu lebih mesra penduduk sekitarnya.

Antara langkahnya adalah menguar-uarkan kuliah, ceramah dan program lain anjuran masjid itu melalui media sosial yang popular pada hari ini.

“Apa sahaja aktiviti masjid seperti kuliah, ceramah atau program sosial dan rekreasi, akan kami paparkan melalui media sosial iaitu Facebook dan juga YouTube.

“Ini supaya mereka yang tidak dapat hadir akan turut dapat manfaatnya, dan dalam masa sama, ia juga sebagai bukti bahawa kami bersikap cakna dengan keperluan dan kehendak komuniti di luar masjid,” kata Penolong Setiausaha masjid itu, Arzouk Nassar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Ekspedisi Dari Masjid Ku Menjelajah Semenanjung Malaysia di pekarangan masjid itu, baru-baru ini.

KEMBARA 35 MASJID

Menurut Arzouk, ekspedisi itu membabitkan seorang jemaah masjid itu, Khairil Aslan Ab. Rasid, 42, yang akan berbasikal sejauh lebih 2,000 kilometer selama 30 hari bermula Ahad lalu.

“Khairil Aslan akan singgah di 35 masjid dengan tujuan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mendekatkan diri dengan masjid dan juga mempromosikan aktiviti sukan lasak.

“Beliau juga akan turut mengedarkan cenderamata dan juga risalah dakwah yang dibekalkan kepada orang ramai sepanjang perjalanan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Arzouk menyatakan bahawa program itu juga antara usaha pihak pengurusan untuk menunjukkan sikap terbuka mereka kepada idea-idea komuniti setempat yang bermanfaat.

Ini kerana, beliau percaya gerakan dakwah hari ini tidak hanya bermula di masjid atau surau tetapi juga di dalam komuniti itu sendiri.

“Gerakan dakwah hari ini tidak lagi hanya berkisar tentang kuliah atau ceramah agama di dalam masjid kerana banyak aspek keperluan dan kehendak komuniti setempat boleh digunakan untuk menarik minat mereka ke masjid. Penglibatan Khairil Aslan itu sebagai satu contoh yang kami bersikap terbuka dengan idea-idea golongan muda selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam,” katanya.

Sementara itu, Khairil Aslan Ab. Rasid dalam ucapannya sebelum berlepas menyatakan bahawa beliau akan berkongsi dengan masyarakat berkenaan masjid, selain bercerita pengalaman sebagai pendaki dan kayuhan solo.

“Dengan program rekreasi yang bermula di masjid, diharap mampu meningkatkan keyakinan generasi muda agar tidak kekok untuk mendekati masjid,” katanya.