Ekoran tafsiran sedemikian, wakaf kerap dilihat sebagai perkara remeh sedangkan di dalam Islam, pahala untuk mereka yang mewakafkan harta amat besar dan berpanjangan.

Bagi menguruskan harta wakaf secara efektif, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menubuhkan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (PWNS) pada 10 Jun 2005.

Peranannya adalah untuk menguruskan wakaf dan perkara-perkara berkaitan dengan urusan wakaf secara profesional dan teratur. Sejajar dengan matlamatnya untuk memantapkan institusi pengurusan wakaf, ia beroperasi secara korporat.

Justeru, semua program wakaf yang dijalankan di negeri ini perlu mendapat kelulusan MAINS terlebih dahulu bagi mengelak penyelewengan dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Mereka yang menjalankan kegiatan wakaf tanpa kebenaran telah melanggar Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini dipetik sebagai berkata, banyak aktiviti pungutan derma yang berselindung di sebalik aktiviti wakaf.

“Ada yang sewenang-wenangnya menggunakan perkataan wakaf termasuk bagi tujuan mengutip derma. Ini dapat kita lihat di masjid apabila ada macam-macam jenis wakaf sedangkan ia tidak mendapat kebenaran.

“Justeru, orang ramai yang ingin mewakafkan harta perlu melihat jika pihak yang menjalankan program itu telah mendapat sijil kelulusan atau tidak,” katanya.

Di bawah pengurusan PWNS, terdapat beberapa jenis wakaf yang dilaksanakan khusus untuk keperluan masyarakat setempat antaranya klinik dan pusat dialisis wakaf An-Nur MAINS.

Klinik ini merupakan program amal yang dilaksanakan oleh Hospital Pakar Seremban (KPJ) dengan kerjasama MAINS. Ditubuhkan pada 6 Oktober 2003, perkhidmatannya merupakan produk wakaf kesihatan yang memberikan khidmat rawatan perubatan setaraf institusi perubatan lain, khusus untuk golongan yang kurang berkemampuan.

Klinik Wakaf An-Nur menyediakan kadar serendah RM5 termasuk kos ubat-ubatan di samping tambahan bayaran bagi rawatan melibatkan ujian air kencing dan suntikan.

Selain itu, PWNS turut menyediakan perkhidmatan wakaf harta melibatkan pengurusan pindah milik tanah dan bangunan kediaman bagi menarik minat masyarakat khususnya yang beragama Islam untuk membudayakan amalan wakaf serta sedekah amal jariah.

Program ini memberi peluang kepada para pewakaf untuk menikmati wakaf melalui harta miliknya yang tidak dimanfaatkan olehnya.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan aktiviti wakaf di negeri ini adalah Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) di bawah Yang Dipertuanya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Menerusi projek Wakaf al-Quran sempena Tadarus al-Quran Perdana tahun lalu, program berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak dengan pembabitan lebih 23,000 peserta.

Objektif program tersebut adalah untuk mencetuskan kesedaran terhadap perlunya membaca dan memahami isi kandungan al-Quran dalam jiwa masyarakat.

PWNS turut memperkenalkan bazaar wakaf dan wakaf mart yang menjadikan masjid sebagai pusat sehenti umat Islam. Projek berkenaan merupakan usahasama antara MAINS dengan Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Di Negeri Sembilan, sebanyak enam masjid terlibat dengan pembangunan projek ini melibatkan empat daerah iaitu di Seremban, Kuala Pilah, Gemas dan Tampin.

Tujuan mengadakan pusat sehenti ini adalah untuk menggalakkan masyarakat untuk mengimarahkan masjid dengan melakukan segala urusan di rumah ibadah tersebut termasuk urusan berjual beli.

Antara perniagaan yang terdapat di bazar wakaf dan wakaf mart ini adalah perniagaan runcit, koperasi, pakaian haji dan umrah, kedai makan, kedai percetakan dan kedai komputer.