Di setiap lokasi sama ada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang di Jeddah, lapangan terbang di Madinah, kota Madinah serta Mekah, sentiasa sahaja ada kakitangan TH Travel yang sedia memudah dan melancarkan perjalanan setiap jemaah.

Sebenarnya, sebaik sahaja jemaah membuat tempahan untuk umrah di tanah air, petugas-petugas TH Travel telah bertungkus-lumus untuk melicinkan segala urusan termasuk pendaftaran visa, penempahan hotel, pengangkutan serta urusan keselamatan para jemaah.

Pengurus VIP dan Khidmat Pelanggan TH Travel, Johan Ghazali berkata, selaku anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, TH Travel memiliki rangkaian hubungan dan kerjasama baik dengan kerajaan Malaysia serta kerajaan Arab Saudi.

“Hubungan Tabung Haji dengan kerajaan Arab Saudi sangat baik dan pihak pengurusan saling berhubungan, dengan kata lain, kita ini dipercayai, sehubungan itu, sekiranya apa-apa berlaku, tindakan kita adalah cepat,” katanya.

TH Travel menawarkan kepelbagaian pakej iaitu Fairuz, Aqiq, Firdaus, Ruby, Nilam dan Topaz serta pakej premium khas, yang mana harga pakej-pakej ini berbeza mengikut jenis hotel penginapan serta jarak antara hotel dengan Masjidilharam, Mekah serta Masjid Nabawi, Madinah.

Sebagai perbandingan jarak hotel pakej Fairuz dengan pekarangan Masjidilharam adalah 700 meter, manakala hotel pakej Topaz adalah 50 meter.

“Tidak kira pakej mana pun, semua jemaah kita makan secara buffet tiga kali sehari, malah di beberapa hotel, kita sediakan tukang masak dari Malaysia.

“Dari segi penginapan hotel, mereka tidak perlu buat pendaftaran kerana kita telah serahkan kunci bilik dalam bas,” katanya.

Dapat disaksikan dari segi keselesaan pengangkutan, pihaknya TH Travel menerbangkan para jemaah dengan pesawat sewa khas Malaysia Airlines Berhad (MAB) selain menggunakan bas-bas baharu untuk perjalanan sekitar Mekah dan Madinah.

Dari segi pengisian jadual harian, pihak TH Travel telah menyusun rapi perjalanan ibadah umrah dan ziarah, namun pada masa yang sama, waktu atur cara bebas juga diadakan agar jemaah dapat berehat dan tidak terkejar-kejar kepenatan untuk beribadah.

TH Travel juga menitikberatkan faktor keselesaan para jemaah dengan hanya hotel bertaraf empat Bintang dan lima Bintang sahaja dipilih sebagai penginapan para jemaah di Mekah serta Madinah agar tiada isu berkaitan penginapan yang timbul.

Layanan sama tanpa bezakan pakej

Menurut Ketua Operasi Mekah TH Travel, Mohd. Izzat Zulhusni Adizi berkata, dari segi layanan kepada para jemaah, pihaknya tidak membeza-bezakan antara pakej kerana semua jemaah adalah tetamu Allah.

“Dari pakej Fairuz sampai ke Topaz, mereka semua adalah jemaah kita dan semua jemaah kita adalah tetamu Allah, kita berusaha supaya para jemaah dapat beribadah dengan tenang, tidak perlu fikir sangat urusan penerbangan, pengangkutan dan penginapan, mereka boleh melakukan ibadah tanpa kerisauan,” katanya.

Ujarnya, dalam setahun, TH Travel menguruskan umrah sekitar 30,000 jemaah dan untuk November serta Disember sahaja jumlah jemaah adalah sebanyak 10,000 jemaah.

Jelas beliau, selain daripada menyediakan mutawif selaku pembimbing umrah dan penunjuk arah, TH Travel turut menyediakan perkhidmatan guru agama khas yang sentiasa sedia menjawab segala persoalan para jemaah.

“Kita beratkan supaya setiap jemaah mendapat umrah yang mabrur dan ziarah yang diberkati, kita tidak mahu jemaah balik ke kampung halaman dengan rasa was-was,” katanya.