Bukan kerana kekurangan perkhidmatan awam ditawarkan atau tiada pengawasan pihak berwajib, namun disebabkan keadaan yang begitu tercemar dengan sampah sarap dan juga sisa makanan di merata-rata.

Sudah tentu keghairahan pada awalnya bertukar kekecewaan. Hasrat untuk menikmati pemandangan dan keindahan alam semula jadi bertukar sebaliknya. Inilah realiti yang berlaku di sesetengah tempat di negara ini.

Perkara ini tidak lain tidak bukan, disebabkan angkara manusia mentaliti kelas ketiga yang tidak menjaga kebersihan dan tidak beradab terhadap alam sekitar.

Lebih membimbangkan, bukan sahaja peringkat individu, namun pencemaran alam sekitar turut disumbangkan oleh industri terutama perkilangan yang mengeluarkan gas rumah hijau atau sisa toksik ke dalam sungai secara sesuka hati dan tidak terkawal.

Justeru, tidak hairanlah, pelbagai bencana alam berlaku hari ini sehingga ke tahap membimbangkan. Ini sekali gus membuktikan, segala bencana alam yang berlaku bukan sekadar ketentuan Allah SWT tetapi membabitkan perlakuan manusia yang sengaja mengundang kemudaratan.

Menekankan perkara itu, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran berkata, lebih menyedihkan, sikap kurang kesedaran ini didapati lebih tertumpu kepada masyarakat dunia beragama Islam.

BUKAN SEKADAR TAKDIR

Beliau berkata, walaupun ajaran agama menekankan aspek bersuci yang berkait rapat dengan penjagaan kebersihan sebagai tuntutan utama, namun ramai umat Islam percaya bahawa segala bencana alam yang berlaku adalah ketentuan takdir dan di luar batasan kemampuan makhluk.

Ia tambahnya, menerusi dapatan kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari University of Lowa State, Caleb M. Call bertajuk ‘Viewing the World of Disaster From the Eyes of Faith: The Influence of Religious Worldviews on Cummunity Disaster Adaptation in the Context of Disaster Related Vulnerability in Indonesia’.

“Hasil kajian mendapati bahawa dalam kalangan kelompok masyarakat yang lebih beragama, kebarangkalian untuk menjalankan usaha melakukan persediaan menghadapi bencana adalah rendah. Rendahnya usaha ini dikaitkan dengan sifat fatalistik (menyerah kepada takdir) terhadap apa yang berlaku.

“Penyelidikan juga membuat kesimpulan bahawa faktor agama tidak begitu berpengaruh dalam memberi motivasi terhadap usaha persediaan bencana berbanding faktor lain seperti jumlah bencana yang menimpa dan penerangan mengenai bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Antara Takdir Tuhan dan Ikhtiar Manusia: Pengurusan Bencana dan Perubahan Iklim Dalam Islam pada seminar Maqasid Syariah dan Perubahan Iklim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun secara dasarnya tidak membuktikan semua masyarakat beragama mempunyai sikap fatalistik, bagaimanapun terdapat kecenderungan daripada peratusan kecil itu sebahagian masyarakat Islam berpendirian sedemikian.

“Deklarasi Islami mengenai Perubahan Iklim yang diisytiharkan pada 2015 di Istanbul, Turki oleh sekelompok aktivis Muslim juga menunjukkan masyarakat Islam masih memerlukan usaha lebih agresif terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Dalam konteks Malaysia pula terdapat keperluan untuk memotivasikan kelompok agama dalam usaha yang sama. Adalah penting untuk menjelaskan kerangka sebenar pandangan Islam bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan terhadap keperluan tersebut,” ujarnya.

Seminar dua hari anjuran IKIM itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki. Yang turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datin Dr. Azizan Baharuddin.

Sebanyak empat sesi pembentangan diadakan iaitu Perubahan Iklim, Realiti Semasa; Agama dan Kelestarian Alam; Hubungan Manusia dan Alam dalam Kerangka Maqasid Syariah dan Forum Gaya Hidup dan Industri Hijau.