Islam menyanjung tinggi ilmu pengetahuan dan memuliakan ulama. Allah mengangkat tinggi martabat ilmu dan ahlinya. Firman Allah dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: “…Allah meninggikan orang beriman dalam kalangan kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”

Para ulama berperanan memberi kefahaman kepada seluruh umat Islam tentang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam usaha kerajaan mengarusperdanakan fahaman itu sebagai langkah penyatuan umat dan mengekalkan keharmonian masyarakat.

Usaha ini juga perlu memberi tumpuan kepada dua strategi penting, iaitu bagi melahirkan masyarakat berilmu dan ummah yang kukuh dari segi ekonomi dalam melahirkan kepimpinan ummah cemerlang.

Golongan umara atau ulil amri ialah mereka yang memerintah sesebuah negara. Mereka memegang amanah yang sangat besar terhadap Allah dan rakyat. Semua ini akan dipersoal kelak oleh Allah di akhirat.

Ini bertepatan dengan peringatan Rasulullah maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan diminta pertanggungjawab atas kepemimpinan kamu. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah seorang pemimpin seluruh keluarganya, demikian juga seorang isteri adalah pemimpin atas rumah suami dan anaknya. Kamu adalah pemimpin yang akan dipertanggungjawab atas pimpinan kamu.” - Riwayat Bukhari.

Daripada sebuah negara maju, kerajaan menyasarkan untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi. Selaras dengan itu, para ulama, umara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hendaklah bersama-sama menggembleng idea dan tenaga bagi menjayakannya.

Sinergi antara semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan, swasta dan NGO amat diperlukan bagi menjayakan agenda ini. Prinsip-prinsip Maqasid Syariah juga perlu dijadikan dasar dan acuan dalam merangka konsep TN50 yang holistik, seterusnya memberi rahmat kepada makhluk seluruh alam.

TIDAK BOLEH BERPISAH

Hubungan antara ulama dengan umara sememangnya tidak wajar dipisahkan. Bahkan umara perlu menjadikan ulama sebagai rujukan utama dalam menjalankan sistem pemerintahan mereka atau melantik ulama sebagai pemimpin seperti yang dilakukan pada zaman Khulafa al-Rasyidin.

Banyak hal dalam pentadbiran negara yang memerlukan kepada pandangan dan ijtihad ulama, lebih-lebih lagi dalam urusan bersangkutan hal ehwal agama Islam. Di sinilah pentingnya ulama kepada umara dalam sesebuah negara.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 43: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Oleh itu, perlunya ada kesatuan fikrah antara ulama dan umara dalam perkara berkaitan hukum-hakam dan dasar-dasar yang melibatkan kepentingan serta kepentingan umat Islam.

Kedua-dua golongan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan ummah. Mereka jugalah yang menentukan peraturan bagi memelihara Maqasid Syariah, mengeluarkan hukum berkaitan isu semasa, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan menyusun struktur pentadbiran negara.

Justeru, pandangan dan fatwa yang diputuskan ulama harus dihormati serta dipegang oleh segenap lapisan masyarakat.

ULAMA SEBAGAI RUJUKAN

Umara yang menjadikan para ulama sebagai sahabat dan rujukan akan dapat memastikan setiap gerak kerja mereka sentiasa berada dalam landasan yang diredai Allah.

Manakala umara yang mengetepikan ulama dalam kehidupan dan pentadbiran mereka akan mudah terpesong serta hanyut dengan pesona dunia.

Rasulullah pernah mengingatkan tentang bahaya memutuskan sesuatu tanpa didasari ilmu: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya daripada hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga tidak meninggalkan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dalam kalangan orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” - Riwayat Bukhari

Para umara juga perlu melindungi dan menjaga ulama dengan sebaiknya kerana mereka inilah pewaris nabi yang sangat berharga.

Institusi kefatwaan, masjid, zakat dan pendidikan Islam juga perlu diperkasakan sebagai medium perpaduan dan kelangsungan ummah yang berterusan.

Ini kerana, hilangnya ulama itu menunjukkan semakin malapnya cahaya di dunia ini.