Dilaporkan antara lainnya, Sultan Nazrin bertitah bahawa perlu ada kerjasama mantap antara ulama dan umara bagi membangunkan negara sama ada dari aspek pembangunan atau spiritual.

Ruangan hari ini tidak berhasrat membincangkan titah baginda dari aspek hukum syarak atau sejarah Islam namun hanya akan mengulas daripada lensa perundangan negara sahaja.

Sebagai anak kelahiran dan rakyat Perak, saya amat berbangga dengan titah ucapan Sultan Perak yang banyak menganjak minda rakyat memahami dan mengaplikasikan susun atur sebenar realiti kehidupan masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.

Oleh kerana tunjuk ajar ini datangnya secara langsung daripada baginda, lantas menjadikannya lebih mudah diterima oleh rakyat.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntuk kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk pada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh jemaah menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Berdasarkan Perkara 39 di atas, umara sebenar dalam negara adalah Yang di-Pertuan Agong manakala jemaah menteri membantu Seri Paduka menjalankan tanggungjawab berperlembagaan baginda melalui tindakan-tindakan jemaah menteri tersebut.

Dalam erti kata lain Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan (Raja-Raja Melayu di peringkat negeri) bersama-sama jemaah menteri pada peringkat Persekutuan (exco kerajaan pada peringkat negeri) dan para pentadbir yang lain adalah umara dalam sistem perundangan negara.

Manakala peranan ulama tidak harus dikesampingkan kerana mereka yang akan menasihati para umara agar tidak tergelincir daripada landasan sebenar iaitu hukum syarak.

Hal yang demikian sangat jelas apabila dimaktubkan dalam undang-undang mengenai peranan ulama ini umpamanya dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004.

Seksyen 6 enakmen tersebut memperuntuk Majlis Agama Islam hendaklah membantu dan menasihati sultan dalam semua perkara berkaitan dengan agama Islam dalam Negeri Perak, manakala mufti hendaklah membantu dan menasihati baginda dengan semua perkara hukum syarak (Seksyen 34) dan pentadbiran keadilan dalam Islam pula dilaksanakan oleh mahkamah syariah (Seksyen 50).

Jelaslah di sini peranan ulama sangat penting dalam segala aspek berkaitan dengan agama Islam itu sendiri sama ada pada peringkat negeri atau Persekutuan.

Ulama dan pemimpin bagai aur dengan tebing iaitu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan bukannya bersaing sesama mereka.

Pada peringkat legislatif Persekutuan sudah pasti ramai yang tahu bahawa terdapat dua dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pada peringkat negeri pula terdapat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Negara.

Keanggotaan dewan ini berbeza iaitu dalam kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi dan dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan serta jasa seseorang.

PERANAN DIPERTINGKAT

Namun sejak akhir-akhir ini, kedua-dua dewan ini dimonopoli oleh individu dalam kalangan parti siasah sahaja.

Ia menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding dalam pilihan raya atau mereka yang tewas dalam pilihan raya.

Pada pandangan saya, keahlian Dewan Negara seharusnya dilantik daripada kalangan ilmuwan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, individu dihormati masyarakat, pemimpin masyarakat dan agama serta mereka yang tidak terlibat dalam politik kepartian termasuk ulama.

Dengan cara ini barulah undang-undang yang digarap dapat dinilai dari pelbagai aspek dan tidak hanya berteraskan pada kaca mata politik semata-mata.

Berbalik kepada titah Sultan Nazrin di atas, dalam merealisasikan kerjasama antara ulama dan umara, peranan yang lebih besar harus diberikan kepada para ulama agar dapat memberikan sumbangan penting kepada negara.

Ulama juga perlu berprinsip melihat sesuatu perkara itu berdasarkan situasi semasa dalam negara dan tidak terikat sepenuhnya dengan pandangan ulama silam secara total.

Bukanlah saya mengatakan ulama silam silap dalam taakulan mereka mengenai suatu hukum tetapi mungkin pandangan mereka sesuai pada zaman mereka kerana perubahan persekitaran semasa menuntut perubahan hukum itu sendiri bagi masyarakat hari ini.

Peranan ulama dan umara perlu dilaksanakan sebaiknya bagi memimpin rakyat ke arah lebih cemerlang. Umara memimpin ulama memastikan keutuhan akidah terpelihara dalam pimpinan tersebut.

Titah ucapan baginda sebenarnya mempertaut tiga elemen penting sesebuah negara iaitu ulama, umara dan rakyat itu sendiri.

Sekiranya ulama dan umara bergandingan maka rakyat juga yang bakal menikmati kecemerlangan negara.

Walaupun pada zaman Rasulullah SAW istilah ulama dan umara ini disatukan kerana Rasulullah tidak memimpin secara terjuzuk seperti keadaan sekarang ini tetapi realiti semasa yang memerlukan kalangan ulama dan umara bersama dalam membangunkan negara.

Kalau pada zaman Rasulullah, Baginda adalah sumber rujukan hal ehwal negara dan agama, tetapi ketika ini kita memerlukan ulama dan umara bersama-sama bergandingan memajukan negara.

Pada pandangan
 saya, keahlian Dewan 
Negara seharusnya dilantik daripada kalangan ilmuwan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, individu dihormati masyarakat, pemimpin masyarakat dan agama serta mereka yang tidak terlibat 
dalam politik kepartian 
termasuk ulama.

Sejak akhir-akhir ini, keanggotaan Dewan Negara dimonopoli oleh individu dalam kalangan parti siasah sahaja.

Ia menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding dalam pilihan raya atau mereka yang tewas dalam pilihan raya.