Tidak dapat disangkal, begitulah realiti keadaan yang bakal berlaku jika manusia dijanjikan ganjaran dalam bentuk fizikal di dunia ini.

Mengambil perumpamaan nilai kecil tersebut, sedar atau tidak, peluang itu telah ditawarkan oleh Allah SWT kepada setiap hamba-Nya tetapi ramai masih tidak menyedarinya.

Ia adalah menerusi pelaburan wakaf iaitu mengeluarkan sedikit harta pada jalan Allah bagi manfaat umum dan ganjarannya diberikan dalam bentuk pahala yang mengalir berterusan sehingga mati selagi wakaf itu dimanfaatkan.

Walaupun telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW, diikuti sahabat dan golongan selepasnya, kesedaran amalan wakaf dilihat masih baru di negara ini. Ramai menganggap wakaf memerlukan sejumlah harta yang banyak atau merujuk kepada aset tertentu seperti tanah untuk disumbang bagi dijadikan kubur atau masjid.

Hakikatnya, dengan serendah RM1 setiap umat Islam mampu berwakaf dan layak mendapat ganjaran besar daripada Allah sampai bila-bila, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibu bapanya. - Riwayat Muslim

Terbukti, kejayaan wakaf bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada golongan tertentu, malah menjana ekonomi berterusan bagi kegunaan umat Islam keseluruhannya.

Ia sebagaimana dilaksanakan di Universiti al-Azhar, Mesir yang mampu memberikan pengajian percuma kepada pelajar dari seluruh dunia.

Mengambil contoh itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said menyasarkan untuk menjadikan UiTM sebagai universiti berpaksikan wakaf bagi dimanfaatkan generasi akan datang.

Langkah itu bakal digerakkan menerusi inisiatif e-Wakaf yang membolehkan umat Islam terutama kakitangan dan bekas pelajar (alumni) memberi sumbangan bagi tujuan pembangunan serta kebajikan pelajar institusi tersebut.

“Tidak mustahil satu hari nanti kita mampu bergantung sepenuhnya dengan kutipan wakaf jika mempunyai dana mencukupi. Kakitangan UiTM sahaja di seluruh negara ada kira-kira 18,000 orang, manakala lebih 600,000 alumni.

“Jika setiap daripada mereka berwakaf minimum RM2 setiap bulan sudah berapa banyak jumlah terkumpul dan sudah pasti nilai itu menjadi lebih jika ada yang menyumbang banyak.

“Dengan kutipan itu nanti kita akan manfaatkan sepenuhnya bagi tujuan universiti sama ada pengurusan, pembinaan infrastruktur kemudahan dan kebajikan pelajar,” katanya ketika ditemui di UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

SASAR RM1 BILION

Sebagai langkah pertama, Hassan berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1 bilion dana wakaf dalam tempoh 10 tahun.

“Bagi merealisasikan usaha ini kita memerlukan sokongan masyarakat terutama alumni dan pihak yang berkemampuan. Mungkin ramai yang ingin berwakaf tetapi tidak tahu ke mana dan hasilnya.

“Menerusi e-Wakaf, semua orang boleh berwakaf dengan mudah pada bila-bila masa sahaja. Hanya dengan beberapa klik, wakaf boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Dengan kejayaan ini membolehkan kita meneruskan kecemerlangan dan memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Sementara itu, Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Profesor Dr. Muhammad Rahimi berkata, berbeza dengan zakat, manfaat wakaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu sebaliknya boleh diterima masyarakat umum.

“Hasil dana wakaf ini memfokuskan penerima manfaat yang lebih luas termasuk kakitangan, pelajar dan masyarakat luar. Wakaf juga boleh dilaburkan untuk sebarang projek yang boleh memberi keuntungan, manakala keuntungan itu diguna atau diagihkan ke mana perlu.

“Walaupun kesedaran orang ramai masih kurang, tetapi tidak mustahil wakaf dapat dijayakan dengan usaha memberi pendedahan lebih luas kepada masyarakat,” ujarnya.