Ini kerana istilah yang lazimnya dikaitkan dengan individu dalam kesusahan itu, memaksa mereka menggadaikan apa sahaja termasuk barang kesayangan yang disimpan sekian lama seperti harta pusaka dan emas pemberian perkahwinan.

Apatah lagi, wujudnya pelbagai institusi menawarkan perkhidmatan pajak gadai yang secara tidak langsung dilihat menggalakkan orang ramai termasuk umat Islam untuk menggadai harta benda.

Namun, di sebalik tanggapan tersebut, terdapat kelebihan boleh dimanfaatkan oleh ramai dalam usaha mengekalkan harta bernilai sedia ada, malah menambah pendapatan serta mengukuhkan ekonomi individu itu sendiri.

Ia adalah dengan melaburkan barang kemas yang ada bagi tujuan perolehan modal dan pada masa sama menuntut kembali barang tersebut dalam tempoh ditetapkan. Ia sebagaimana perkhidmatan ditawarkan oleh Ar-Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Perkara itu turut diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika ditemui pada Program Pemimpin Bersama Masyarakat Pulau Bum-Bum dan Pelancaran Perkhidmatan Kaunter Bergerak Ar-Rahnu, YaPEIM di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah, baru-baru ini.

“Mungkin ramai menganggap penggadai adalah orang susah dan hanya menghabiskan harta dimiliki. Tetapi kini ia bukan sahaja untuk mendapat sejumlah wang, tetapi dijadikan sebagai modal pusingan perniagaan.

“Apabila mendapat untung mereka menebus kembali emas tersebut. Sebagai contoh seorang peniaga ikan, dia memerlukan sejumlah wang untuk membeli ikan dan setelah habis dijual, modal tersebut diperoleh bersama keuntungan.

“Ini mengapa ada yang menjalankan transaksi lebih 200 kali. Mereka jadikannya modal pusingan dalam masa sama meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin; Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali dan Pegawai Daerah Semporna, Dr. Chaco Bulah.

Kaunter bergerak Ar-Rahnu, YaPEIM merupakan antara inovasi dilaksanakan dalam usaha menempatkan kaunter di kawasan pedalaman bagi memudahkan pelanggan menggunakan perkhidmatan.

Melihat kepada realiti semasa, Jamil Khir berkata, pajak gadai berkonsep patuh syariah seperti ditawarkan oleh Ar-Rahnu YaPEIM bukan sahaja tertumpu kepada pelanggan beragama Islam tetapi turut mendapat sambutan daripada penggadai bukan Islam.

Beliau berkata, di Bagan Datuk, Perak contohnya, didapati ramai kalangan penggadai terdiri daripada penduduk Cina dan India selain Muslim.

“Ternyata kaedah patuh syariah lebih dipercayai kerana terbukti tidak menekan kedua-dua pihak,” katanya.

Tidak hanya tertumpu kepada perniagaan dan melaksanakan misi bantuan kepada golongan sasar, YaPEIM juga diharap mampu membantu memperkasa ekonomi Islam dengan secara menyeluruh di negara ini.

“Jika dahulu, YaPEIM dikenali sebagai institusi yang bergerak dengan hanya meminta bantuan orang ramai, tetapi kini imejnya sudah berubah sebagai sebuah entiti perniagaan yang menerajui pajak gadai Islam dihormati ramai,” katanya.

 

Tidak perlu lagi redah laut

“Tidak lagi perlu bersusah payah meredah laut.” mBegitulah pandangan ringkas tetapi penuh makna seorang pelanggan setia Ar-Rahnu, YaPEIM, Dian Tahul, 48, ketika ditemui baru-baru ini.

Dia yang ditemui selepas pelancaran Kaunter Bergerak Ar-Rahnu, YaPEIM di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah, menyifatkan kaunter yang ditempatkan bukan sahaja memudahkannya untuk membuat transaksi tetapi juga kepada lebih 20,000 penduduk pulau tersebut.

Ini katanya, kerana penduduk pulau yang ingin menggunakan perkhidmatan Ar-Rahnu, YaPEIM sebelum ini perlu berulang alik dengan menaiki beberapa
pengangkutan awam untuk menyeberang tanah besar ke

Semporna yang menempatkan satu-satunya cawangan pusat gadaian Islam itu di daerah tersebut.

“Dari rumah, kami perlu menaiki kereta atau van sewa untuk ke jeti lalu mengambil bot menyeberang laut ke bandar Semporna dan berjalan kaki beberapa kilometer ke kaunter Ar-Rahnu, YaPEIM. Pengguna perlu membelanjakan sejumlah wang ringgit dan juga memperuntuk masa semata-mata untuk menggadai.

“Dengan adanya kaunter bergerak yang ditempatkan di Pulau Bum Bum ini, kami tidak perlu lagi melalui semua ini.

Lebih-lebih lagi ia akan bergerak dari satu perkampungan ke perkampungan di seluruh pulau mengikut jadual ditetapkan.

“Ini lebih memudahkan pelanggan, apatah lagi ketika waktu kecemasan,” katanya yang merupakan menerima Anugerah Transaksi Gadaian Terbanyak Ar-Rahnu YaPEIM Cawangan Semporna dengan sebanyak 209 transaksi.

Anugerah itu melayakkan Dian menerima dua gram emas. Berkongsi pencapaian sebanyak 209 transaksi gadaian dilakukan, Dian berkata, dia menggunakan pembiayaan itu sebagai modal pusingan perniagaan pakaian terpakai miliknya.

“Jumlah pembiayaan terbesar pernah dilakukan adalah sebanyak RM10,000.
Saya menggadai apabila memerlukan wang dan ia boleh ditebus kembali dalam tempoh 10 bulan. Jika tidak mampu, pembiayaan boleh dilanjutkan kepada 10 bulan yang baharu.

“Selain untuk diri sendiri, transaksi ini juga saya lakukan mewakili ahli keluarga lain membuat gadaian,” katanya yang telah menggunakan
perkhidmatan Ar- Rahnu, YaPEIM sejak tiga tahun lalu.