Zaman kegelapan yang pernah dilalui sebagai seorang gengster, terlibat dalam jenayah bersenjata dan kaki mabuk di California, Amerika Syarikat (AS) sejak berusia 15 tahun begitu banyak mengajar dirinya tentang erti sebuah kehidupan.

Jika sebelum ini beliau begitu gah menempuh pelbagai kejadian pembunuhan, namun insiden seorang sahabat mati akibat terbunuh ternyata menyedarkan dirinya tentang matlamat hidup.

Berfikir tentang erti sebuah kehidupan sebenar, hati pemuda bernama Mohamed Geraldez mula terdetik dengan rasa keinsafan.

Meskipun datang daripada sebuah keluarga susah dan terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak bermanfaat, namun beliau bukan seorang budak yang mempunyai tahap kecergasan minda (IQ) rendah.

Sebaliknya, anak sulung daripada dua beradik itu mempunyai tahap pemikiran yang bijak malah memperoleh ‘straight A’ dalam pembelajaran, sekali gus membolehkannya memasuki kolej dan universiti.

“Kehidupan ini penuh dengan warna-warni,” kata anak murid pendakwah antarabangsa, Sheikh Hamza Yusuf itu membuka bicara tatkala ditemui ketika singgah sebentar ke Malaysia bagi menguruskan urusan perniagaan.

DETIK PEROLEH SINAR

Usahawan dari AS itu juga adalah pakar motivasi kepada komuniti perniagaan di seluruh dunia dan seringkali dijemput menyampaikan ceramah di pentas global, selain mengendalikan syarikat tali leher vegan, JannJ sejak 11 tahun lalu dan membolehkan dirinya mencatat keuntungan berjuta dolar. Lebih menarik, dia juga seorang pereka fesyen hebat untuk golongan Muslim moden.

Menceritakan kembali kisah zaman silam dirinya yang penuh dengan memori kegelapan sebelum memeluk Islam, Mohamed mengakui beliau seorang yang gemar meminum minuman keras terutama dari Khamis sehingga Ahad.

Namun begitu katanya, beliau mempunyai tugas pada tengah hari Ahad iaitu membawa nenek ke gereja dan kesempatan itu digunakan untuk menziarahi kubur sahabat handai yang telah pergi terlebih dahulu daripadanya akibat ‘kenakalan’ mereka bersama di zaman muda.

Pada suatu hari ketika menziarahi kubur sahabat, beliau memandang ke langit dan berfikir tentang kehidupan, apa yang telah ditempuhi selama ini bersama rakan-rakan dalam aktiviti gengsterisme.

Jelasnya, apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej, beliau mengambil subjek dalam Kelas Agama Dunia.

Daripada situ, beliau begitu terkesima dengan ajaran Islam iaitu Tuhan hanya satu. Mana mungkin ada banyak Tuhan sebagai Pencipta dan berkuasa atas semua yang ada di alam ini.

Tambahnya, Allah SWT telah memilihnya untuk menjadi seorang Muslim apabila diketemukan dengan seorang sahabat beragama Islam di kolej, sekali gus membolehkan dirinya mendalami ajaran Islam dengan lebih baik.

“Selain itu, muzik hip-hop juga antara pengenalan saya kepada agama Islam. Kenapa saya kata begitu? Sebenarnya banyak kisah-kisah budaya masyarakat Islam Afrika Amerika dalam muzik tersebut,” katanya yang memilih Islam sebagai panduan hidup pada 14 Februari 1998 ketika berusia 21 tahun.

BUKA MATA KELUARGA

Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap keputusannya memeluk Islam, Mohamed berkata, pada permulaan ibu bapanya tidak dapat menerima dan bertindak menghalaunya dari rumah.

Namun begitu katanya, tempoh ‘berkelana secara bersendirian’ itu tidak lama apabila dia diminta pulang. Meskipun begitu, tiada antara dia dan ahli keluarga lain membincangkan tindakannya memeluk Islam selepas kejadian dihalau dari rumah itu.

Perubahan positif dalam diri sejak mendalami ajaran Islam telah ‘membuka mata’ banyak pihak termasuk ahli keluarga, jiran dan sahabat.

Malah jelasnya, tingkah laku baik yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian berbanding sebelum ini seakan sukar dipercayai terutama daripada ahli keluarga.

“Saya tidak lagi mabuk, berkelakuan baik dan tidak lagi terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah. Saya juga membantu ibu membasuh pinggan mangkuk dan mengemas tempat makan.

“Dengan izin Allah SWT, ahli keluarga saya memeluk Islam pada 2006. Lebih terharu apabila beberapa orang jiran dan sahabat turut memeluk Islam apabila melihat perubahan ketara dalam diri saya,” katanya yang turut fasih berbahasa Arab.

Beliau juga menyambung pengajian Sains Islam di sebuah universiti di Syria selama empat tahun, selain merantau menuntut ilmu termasuk di Maghribi dan Mauritania

“Saya juga pernah berada di sebuah padang pasir Sahara di Barat Afrika selama dua tahun untuk bersama kumpulan ulama Arab Badwi dan tokoh agama, Murabit Al-Hajj bagi tujuan menuntut ilmu.

“Terdapat kira-kira 100 orang dalam puak ulama di padang pasir tersebut. Di sini saya belajar banyak perkara termasuk undang-undang Islam, bahasa Arab dan tatabahasa,” katanya yang membuatkan Mimbar Utusan berasa begitu kagum dengan kegigihannya mendalami ilmu agama.

Ditanya apakah yang telah mendorongnya melakukan semua itu, jawapan yang diterima cukup bersahaja keluar daripada mulut usahawan muda yang memegang Ijazah Sarjana Perniagaan (MBA) itu.

“Allah Maha Kaya. Dia boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan-Nya. Mungkin hari ini awak nampak saya begini, tapi siapa tahu di kemudian hari. Kita hanya boleh berdoa untuk terus istiqamah dan menjadi lebih baik,” katanya mengakhiri pertemuan.