Mereka ialah qari Perak, Anuar Hasin yang akan membacakan surah ali-’Imran bermula ayat 23 mengikut taranum bayati dan soba manakala qariah dari Perak, Munirah Razali akan membacakan ayat 126 surah al-Baqarah juga mengikut taranum bayati dan soba.

Qari dari Perlis, Muhammad Anas Abdul Hadi pula akan membacakan surah Luqman bermula ayat 13 mengikut taranum bayati dan nahawand manakala qariah dari Kedah, Sobariyah Abd. Hamid akan membacakan surah al-Hajj bermula ayat 8 mengikut bacaan taranum bayati dan hijjaz.

Peserta lelaki ketiga yang akan memperdengarkan bacaan malam esok ialah qari Negeri Sembilan, Ahmad Basyir Abu Bakar yang akan membaca surah al-Maa'idah bermula ayat 67 mengikut taranum bayati dan hijjaz.

Dua lagi qariah yang akan memperdengarkan bacaaan ma­sing-masing ialah dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa yang akan membaca ayat 166 surah ali-`Imran mengikut taranum bayati dan nahawand serta Munirah Kasim, qariah Kelantan yang membaca surah asy-Syura bermula ayat 17 mengikut taranum bayati dan rast.

Hari ini, tujuh qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari pembukaan majlis tilawah dan menghafaz yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Seramai 28 qari dan qariah dari setiap negeri memperde­ngarkan bacaan pada majlis tilawah tahun ini yang bertemakan ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penya­tuan Ummah’ dan kali pertama menggabungkan majlis menghafaz yang diadakan pada se­belah siang.

Kesemua peserta diadili oleh 15 hakim dari pelbagai negara dengan meneliti beberapa aspek utama seperti hukum tajwid, fasohah, taranum, suara dan kelancaran bacaan.