Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, banyak perpecahan berlaku dalam era politik masa kini bukan sahaja melibatkan pelbagai kaum bahkan sesama Melayu dan Islam sendiri.

Sehubungan itu, jelasnya, Maik akan menganjurkan satu seminar peringkat kebangsaan mengenai peranan institusi raja dalam menyatukan rakyat di Hotel Perdana pada 7 Ogos ini.

“Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra akan menyampaikan titah dalam seminar ini.

“Kita bukan sahaja perlu belajar sejarah tetapi menyedari kepentingannya kerana apabila rakyat tahu asal usul dan mempunyai pegangan Islam yang kuat maka perpaduan akan terjalin.

“Apatah lagi dalam era politik dekad mutakhir ini yang menampakkan banyak perpecahan, usahkan perpecahan antara berbilang bangsa tapi antara Melayu sendiri pun berlaku. Mudah-mudahan seminar ini akan menyatukan rakyat dan merapatkan kembali saf orang Islam dan Melayu di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bicara Sejarah dan Sastera Kelantan 2018 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Maik dan DBP Wilayah Timur itu membincangkan empat karya sejarah dan sastera iaitu Kisah-kisah Sejarah Negeri Kelantan; Kelantan: Sejarah, Adat dan Warisan; Mengejar Zuriat dan Impian Syurga di Pentas Songkran.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A. Aziz Deraman.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan memberitahu, pihaknya sentiasa menggiatkan aktiviti sejarah dan sastera yang juga merupakan satu medium dakwah.

Menurutnya, penerbitan buku bermutu pelbagai judul dikeluarkan setiap tahun hasil tulisan dan kajian penyelidik Maik bagi melahirkan masyarakat berilmu.

“Kita harap masyarakat Me­layu, Cina dan India akan tahu di mana kedudukan mereka dalam sejarah. Mudah-mudahan apabila seseorang itu ada ilmu tentang sejarah maka akan wujudlah perpaduan dalam kalangan rakyat jelata,” ujarnya.