Dalam hal demikian, Palestin dan rakyatnya boleh berbangga dengan pencapaian mereka dalam bidang akademik.

Pencapaian ini juga menjadi duri dalam daging dan perkara paling tidak disenangi Zionis Yahudi Israel. Maka tidak hairanlah mereka terus menerus melakukan pelbagai kekejaman termasuk pembunuhan ke atas rakyat Palestin terutama generasi muda dengan satu hasrat dan satu tujuan iaitu untuk menghapuskan generasi muda Palestin.

Laporan rasmi menunjukkan kanak-kanak merupakan golongan paling ramai disumbat ke dalam penjara Israel.

Sejak dijajah, sistem pendidikan Palestin menjadi sasaran ‘kejahatan’ Israel, iaitu dalam bentuk:

  • Menafikan hak pelajar Palestin memilih sekolah untuk belajar dan menghalang mereka ke sekolah dengan halangan ‘check point’ atau pusat pemeriksaan.
  •  Melakukan pencabulan hak dengan menangkap guru-guru.
  • Mengubah kandungan dan kurikulum pembelajaran selain menghapuskan pelbagai fakta sejarah negara serta bangsa Palestin.

Maklumat rasmi dikeluarkan Pihak Berkuasa Palestin menunjukkan terdapat 109,500 pelajar di Al-Aqsa.

Daripada jumlah ini, seramai 9,000 pelajar terpaksa meninggalkan persekolahan akibat masalah kewangan.

Sebanyak 83.4 peratus jumlah kanak-kanak Palestin tinggal di bawah paras kemiskinan, sementara 33 peratus daripada mereka tidak dapat melengkapkan persekolahan.

 

Wilayah ‘mati’ dilindungi Tuhan

KEADAAN di Gaza pula lebih dahsyat. Wilayah kecil ketiga terpadat di dunia ini (5,521 orang/per kilometer) sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang amat meruncing.

Dengan kadar pengangguran pada tahap 44 peratus dan kadar kemiskinan sebanyak 61 peratus, masalah pencemaran air pada tahap 95 peratus, pemotongan bekalan elektrik sebanyak 20-22 jam sehari, Gaza ibarat ‘wilayah mati’ yang dilindungi Tuhan.

Palestin mempunyai kira-kira 2,914 buah sekolah yang terletak di Tebing Barat, sementara 720 buah sekolah terletak di Gaza.

Sekolah ini terdiri daripada sekolah kerajaan dan sekolah persendirian. Di Tebing Barat, wujudnya kekurangan kira-kira 2,000 buah bilik darjah.

Di Gaza pula, 252 buah sekolah terpaksa digunakan untuk menampung kira-kira 240,400 pelajar.

Hari ini, 94 peratus sekolah terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan, pagi dan petang bagi menampung kekurangan bilik darjah dan bilangan pelajar yang tinggi.

TIDAK MAMPU 
BAYAR YURAN

Majoriti sekolah-sekolah ini berada dalam keadaan serba daif, kekurangan kemudahan, malah sesetengahnya tidak berdinding dan berbumbung akibat dibom jet-jet tentera aparteid Israel dari semasa ke semasa.

Sejak 2006, dilaporkan jumlah pelajar yang gagal mata pelajaran Matematik semakin meningkat sementara 40 peratus gagal subjek Bahasa Arab. Realitinya kanak-kanak Palestin menghadapi masa depan persekolahan yang gelap jika mereka tidak segera dibantu.

Kira-kira 340,500 pelajar miskin Palestin tidak mampu membayar yuran persekolahan selain tidak mempunyai beg sekolah, alat tulis dan pakaian seragam bernilai AS$50 (RM200) bagi setiap pelajar.

Jumlah keseluruhan dana pendidikan Palestin yang diperlukan adalah sekitar AS$17.03 juta (RM68 juta).

 

Guru-guru tidak mendapat gaji

BAGI guru-guru di Palestin pula, lebih daripada 9,400 daripada mereka hanya menerima 40 peratus gaji mereka bagi tempoh empat tahun perkhidmatan. Kira-kira 5,800 guru pula menerima 70 peratus gaji mereka dalam tempoh 12 bulan. Situasi ini juga menjejaskan kualiti pendidikan Palestin secara keseluruhannya.

Atas rasa simpati dan tanggungjawab, Persatuan Simpati Masyarakat atau ringkasnya Sympathy dan Yayasan Al-Quds Malaysia baru-baru ini mengambil inisiatif bersama melancarkan program ‘Palestin Children Go To School.’

Program ini dilancarkan bertujuan untuk memastikan lebih 300,000 kanak-kanak Palestin dapat ke sekolah pada sesi pertama persekolahan bermula September depan khususnya untuk membeli pakaian sekolah seperti kasut, baju dan seluar, beg sekolah serta alat tulis.

Selain itu, Palestin juga memerlukan sekolah, bilik darjah dan keperluan-keperluan fizikal lain bagi membolehkan mereka terus hidup sebagai sebuah bangsa yang berpendidikan dan menjadi ‘senjata’ untuk melawan penjajah.

Sympathy hanya meletakkan sasaran untuk memperoleh RM1 juta menerusi sumbangan rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib rakyat Palestin. Walaupun jumlah ini jauh daripada mencukupi, sasaran ini diharap dapat mengurangkan sedikit beban mereka dan berharap pihak-pihak lain akan bersama-sama dalam pelbagai usaha lain atas nama pendidikan kanak-kanak Palestin.

Kutipan ini diharap dapat diperoleh menerusi derma dan sumbangan pihak swasta, korporat serta orang ramai menerusi Program Jelajah Harapan - Kemanusiaan Sympathy ke seluruh negara yang dijangka dilancarkan pada bila-bila masa sahaja.

Sympathy akan bersama-sama dengan Yayasan Al-Quds Malaysia serta kumpulan Hijjaz menjayakan program ini.

Orang ramai serta mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang kepada program Palestin Children Go To School boleh berbuat demikian dengan menderma kepada Tabung Sympathy melalui akaun Maybank 
5699 5405 3620 atau layari Instagram sympathysociety untuk sebarang maklumat.