Bukan sahaja cemerlang dari aspek pembangunan dan ekonomi, tetapi lebih penting usaha membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai budi pekerti mulia dan hidup aman dalam sebuah negara berbilang kaum.

Untuk itu, gagasan seumpama itu memerlukan perancangan rapi hasil penelitian dan buah fikiran hebat daripada kumpulan pemikir yang arif, bukan sekadar dapatan umum yang diperoleh secara rambang.

Semua itu demi pemantapan akidah dan pemikiran umat Islam, seterusnya menjana kelangsungan umat Islam untuk terus bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain pada peringkat antarabangsa.

Menyedari hakikat penting itu, Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) dengan kerjasama Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI) buat julung kalinya menganjurkan Makmal Kalam Jadid dengan menghimpunkan golongan sarjana dan pemikir hebat untuk menghasilkan satu rumusan terbaik kepada keberhasilan TN50 terutama melibatkan pengukuhan akidah.

Sebagai agenda pembinaan akidah dan pemikiran Islam sebenar iaitu tidak bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang telah menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak dahulu, penglibatan golongan pakar adalah sangat diperlukan.

Ahli Jawatankuasa OMIW, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut berkata, TN50 sebenarnya merupakan peluang terbaik kepada sarjana dan pemikir Islam untuk membentuk sebuah masa hadapan yang lebih baik kepada ummah, tetapi dalam masa sama tidak mengetepikan kepentingan akidah umat Islam di negara ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata, terdapat potensi jangka panjang yang boleh dimanfaatkan oleh kumpulan pemikir Islam tersebut demi kelangsungan ummah menerusi pelaksanaan TN50.

“Justeru, menjadi satu keperluan kepada golongan sarjana dan pemikir Islam untuk terlibat secara langsung dalam pengarahan dan pelaksanaan agenda TN50.

“Hasil penelitian dan buah fikiran para sarjana dan pemikir Islam adalah sangat penting kerana mereka arif tentang arah dan hala tuju masa depan umat Islam di negara ini,” katanya sempena penganjuran Makmal Kalam Jadid di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif ISSI, Dr. Amran Muhammad dan Setiausaha Analisis dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohd. Shauki Abd. Majid.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, OMIW sangat prihatin dengan pembinaan tradisi pemikiran dan peradaban Islam sebagai pengisian pembentukan generasi Islam berjaya dan masa hadapan ummah.

Menurutnya, TN50 merupakan agenda penting yang perlu diberi perhatian serius terutama melibatkan keperluan menyediakan kerangka akidah yang kukuh, selain pemikiran berasaskan dan berteraskan kearifan atau hikmah ASWJ khususnya tradisi Kalam Asha’irah.

Tegasnya, perkara tersebut sebahagian daripada keseluruhan tumpuan OMIW yang lebih luas mengenai kearifan Islam dari sudut akidah, syariah dan akhlak yang direalisasikan dalam perspektif Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazaliyyah di alam Melayu atau Nusantara ini.

Untuk itu katanya, kerjasama dengan badan penyelidikan dan pemikiran seperti ISSI merupakan satu bentuk sinergi yang mempercepatkan usaha mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan tradisi kearifan Islam meliputi tradisi keilmuan, kerohanian serta ketamadunan.

“Makmal Kalam Jadid ini merupakan titik permulaan untuk menggembleng kepakaran dan pengalaman golongan sarjana dan pemikir Islam.

“Hasil rumusan program dan projek yang dilaksanakan diharap dapat membantu TN50 benar-benar menghayati kehendak akidah dan pemikiran Islam sejati,” katanya sambil menambah bahawa cadangan dan resolusi daripada Makmal Kalam Jadid akan dikemukakan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.