Bagaimanapun, pendakwah terkemuka, Datuk Dr. Danial Zainal Abidin berkata, umat Islam wajib beriman dengan petanda yang diberikan oleh Rasulullah SAW untuk dijadikan iktibar dan pedoman dalam menghadapi hari akhir dunia itu.

Katanya, antara petanda yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW berhubung tanda besar kiamat bakal berlaku adalah hancurnya semua golongan Yahudi yang memerangi Islam di muka bumi.

Ini tambahnya, berdasarkan sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak akan terjadi kiamat sehingga kaum Muslimin berperang dengan Yahudi. Maka kaum Muslimin membunuh mereka sehingga ada seorang Yahudi bersembunyi di belakang batu-batuan dan pohon-pohon, dan berkatalah batu dan pohon, ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakangku, ke mari dan bunuhlah dia.’ Kecuali pohon Gharqad kerana ia adalah pohon Yahudi.” - Riwayat Muslim

“Sampai suatu masa nanti semua orang Yahudi akan dibunuh. Kecuali satu kelompok Yahudi dikenali sebagai Yahudi Heradi yang terdapat kira-kira 10 peratus di Israel. Mereka ini golongan Yahudi yang masih mengikut ajaran Kitab Taurat dibawakan oleh Nabi Musa a.s.

“Mereka tidak pernah bersetuju dengan apa yang berlaku di Baitulmuqaddis sekarang, begitu juga dengan pengisytiharan Jerusalem sebagai ibu negara Israel kerana mereka mempercayai ia bercanggah dengan roh Taurat.

“Islam tidak memusuhi sesiapa walaupun haiwan, tetapi jika kamu bermusuhan dengan kami, maka kami rela berjihad. Golongan Yahudi yang memerangi Islam semua akan dibunuh, sehinggakan batu dan pohon berkata-kata. Kita tidak tahu bagaimana keadaan dimaksudkan oleh Rasulullah ini, tetapi ia akan berlaku dan kemuncaknya Israel akan hancur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Baitulmuqaddis dan Akhir Zaman di Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Danial berkata, perkara itu turut diramalkan oleh bekas setiausaha kerajaan Amerika Syarikat bahawa Israel akan lenyap pada 2022.

“Ini cuma jangkaan, tetapi berdasarkan hadis Rasulullah tadi kita yakin Israel benar-benar akan lenyap, cuma tidak diketahui bila. Malah, orang Yahudi juga beriman dan percaya dengan hadis ini, buktinya pada masa ini mereka sedang aktif menanam pokok Gharqad yang dianggap sebagai penyelamat.

“Berdasarkan hadis lain, apabila Dajjal muncul di belakangnya adalah orang Yahudi dengan jumlah tentera seramai 70,000 orang sebelum bertemu dengan Imam Mahdi seterusnya dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Tidak mustahil mereka semua akan dibunuh pada masa itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Danial berkata, umat Islam perlu sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan turut membantu mereka mempertahan kota Baitulmuqaddis dan Palestin.

“Mereka tidak minta kita untuk datang ke sana berperang bersama mereka, tetapi apa yang mereka perlukan adalah sokongan daripada kita umat Islam seluruh dunia.

“Sokongan yang bagaimana? Iaitu dalam bentuk doa dan kewangan. Apa yang boleh kita lakukan adalah mengamalkan qunut Nazilah, seelok-seeloknya diselitkan pada bacaan qunut dalam solat subuh di surau dan masjid.

“Selain itu, kita juga boleh menyalurkan sumbangan wang tunai kepada mereka melalui pertubuhan bantuan ke Palestin yang dipercayai untuk meringankan bebanan dan menjayakan sebarang perancangan mereka menentang Zionis Israel,” ujarnya.