“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. laitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu), Dan mereka yang menjaga kehormatannya,” (Surah al-Mukminun: 1-5)

Hakikatnya, iman terhasil daripada segala gerak kerja amal bersifat sosial daripada amal soleh yang bersifat ritual. Namun tidak dinafikan bahawa segala amal dan perbuatan dilakukan bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

KESILAPAN TERBESAR

Kesilapan besar kita hari ini ialah dengan meletakkan atau menilai ketakwaan seseorang itu berasaskan kepada ibadah ritual semata-mata bukan daripada ibadah sosialnya. lbadah ritual yang dilakukan berkebetulan bersamaan dengan pekerjaan yang berdimensi sosial difahamkan kita perlu mendahulukan yang bersifat sosial.

Contohnya, Nabi SAW melarang membaca surah yang panjang-panjang dalam solat jemaah kerana kemungkinan dalam kalangan jemaah itu adanya orang tua. Ini yang dikatakan mengutamakan pertimbangan sosial.

Namun sebaliknya jika ibadat ritual cacat, kita dianjurkan melakukan sesuatu amalan yang bersifat sosial. Contohnya, ibadah puasa, jika kita melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa (seperti berjimak pada bulan puasa) maka kifaratnya memberi makan kepada fakir miskin.

Demikian juga haji, kalau terkena dam, maka kita harus menyembelih binatang dan dagingnya diberikan kepada fakir miskin. Tidak dinafikan adanya juga tebusan yang bersifat ritual, tetapi itu dilakukan apabila kita tidak mampu melaksanakan amalan yang bersifat sosial.

Bagaimana pula jika terdapat kecacatan kepada ibadat yang bersifat sosial, apakah amal ibadat ritual boleh dijadikan sebagai tebusan ibadah sosial itu. Contohnya, apabila seseorang itu melakukan kezaliman terhadap jirannya, maka kezaliman itu tidak akan terhapus dengan solat malam atau ibadah-ibadah ritual yang lain.

Pendeknya, amalan sembahyang dan puasa dianggap tidak sempurna dan tidak diterima Allah SWT jika disertai pula dengan kejahatan amalan sosial. Rasulullah SAW meriwayatkan dalam satu hadis mengenai seorang perempuan yang sembahyang malam dan berpuasa siang malam tetapi menyakiti tetangga, maka tempatnya adalah neraka.

MANIFESTASI KESEMPURNAAN IBADAH RITUAL

Amalan sosial ialah amal soleh yang lahir sebagai manisfestasi daripada kekhusyukkan dan keikhlasan kita melakukan ibadah ritual seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji. Dalam ibadah-ibadah ritual ini juga mengandungi segala unsur sosial.

Justeru umat Islam seharusnya memahami pengertian ibadah yang sebenar dengan tidak membatasinya pada ibadah-ibadah ritual sahaja. Betapa banyak orang kaya yang khusyuk sembahyang namun hakikat di sekitarnya terdapat manusia miskin dan berpenyakit yang memerlukan bantuan.

Banyak wang dihabiskan dalam majlis-majlis keagamaan pada saat ramai anak Melayu Islam yang tidak dapat melanjutkan pelajaran. Malah ada yang terlantar di hospital menunggu maut kerana tidak dapat membiayai kos rawatan sedangkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain,” - Riwayat Ahmad, al-Thabrani, al-Daruqutni

Boleh jadi kita berpendapat bahawa kewajipan kita sudah selesai apabila sudah mengeluarkan zakat. Pertanyaan yang sama pernah disampaikan oleh sahabat kepada Rasulullah SAW. Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada harta itu ada hak selain zakat.”

Lalu Rasulullah SAW membaca firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 177 yang bermaksud: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya – sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertakwa,” - Riwayat Ibnu Majah dan al-Tabrani.