“Siapakah daripada kalian yang pada hari ini berpuasa? Tiada yang mengangkat tangan kecuali Abu Bakar al-Siddiq r.a. Siapakah daripada kalian yang telah menziarahi orang sakit pada hari ini? Rasulullah melanjutkan pertanyaan. Tiada yang mengaku kecuali Abu Bakar.

“Siapakah daripada kalian yang pada hari ini telah mengunjungi jenazah? Tiada yang bertindak kecuali Abu Bakar lagi. Siapakah daripada kalian yang pada hari ini telah menyantuni fakir miskin dengan memberinya makan? Sekali lagi, tiada yang tampil kecuali Abu Bakar.

“Lantas Nabi SAW bersabda, Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, tidak berhimpun keempat-empat perkara tadi pada diri seseorang dalam masa sehari dalam hidupnya melainkan wajib baginya mendapat syurga.” - Riwayat Muslim

Antara kesemua amalan tersebut, manakah yang telah dilakukan oleh kita? Tanyakan diri sejujur nurani. Apakah telah berhimpun kesemuanya atau tiada satu pun yang mengena dalam tindakan kita. Mengapa?

Kerana barangkali kita sentiasa beralasan untuk berbakti apatah lagi untuk memberi. Menunggu kaya dan hujan rezeki. Namun, apakah benar seperti yang dijanjikan? Takut janji tinggal janji. Sedekah sebelum kaya, memberi walaupun ‘tiada’. Inilah kunci rahsia. Kebajikan sisipan yang sentiasa dilupakan. Hadir peringatan memugar sukma. Menjentik sedar dalam alpa.

BANYAK TAK SEMESTINYA HEBAT

Nabi SAW sentiasa memotivasikan para sahabatnya untuk melaksanakan waima sekecil-kecil kebajikan. Kecil, sedikit mahupun yang tersisa bukanlah ukuran yang dipandang. Jika benar tulus diniatkan buat Yang Maha Besar, meskipun kecil, ‘nilainya’ itu amat besar. Saat Abu Hurairah r.a. bertanya tentang sedekah yang paling utama, Baginda Nabi menjawab:

“Usaha (kemurahan hati) seseorang yang memiliki hanya sedikit harta. Mulailah dengan (membantu) mereka yang menjadi tanggungjawabmu,” - Riwayat Muslim.

Mengapa? Kerana Abu Hurairah r.a. adalah daripada golongan ahli suffah yang diketahui memiliki sedikit harta bahkan seringkali tidak mencukupi keperluan meskipun untuk dirinya.

Nabi SAW bersabda dalam situasi yang lain memberikan sebuah analogi yang membekas kesan.

“Satu dirham mengalahkan (nilai pahalanya) 100,000 dirham. Para sahabat bertanya: Bagaimanakah boleh jadi sedemikian Ya Rasulullah? Nabi menjawab:

Seseorang yang memiliki dua dirham. Lantas, dia mengambil satu dirham lalu disedekahkannya. Maka dia bersedekah dengan separuh (seperdua) hartanya.

Adapun yang seorang lagi mempunyai banyak harta lalu dia hanya mengambil daripadanya 100,000 dirham sahaja. Maka dia bersedekah hanya dengan sebahagian kecil daripada hartanya,” - Riwayat Imam Ahmad.

Nah! Melihat dengan dimensi yang lebih besar. Tidak dapat dinafikan lagi keunikan dan universalnya mata jiwa seorang Nabi utusan Allah yang melihat dengan pandangan menakjubkan. Malangnya, sunah ini jarang sekali dilakukan umatnya. Barangkali dek terpesona dengan nilaian yang disangka banyak namun hakikatnya sedikit.

Ketika kaum Mudhar yang tidak mempunyai alas kaki dan pakaian, Nabi SAW memberi galakan kepada para sahabatnya dengan menawarkan beberapa pilihan untuk berbakti. Sabda Rasulullah:

“Sesiapapun antara kalian hendaklah bersedekah dengan dinarnya, dirhamnya, pakaiannya, segantang gandumnya atau kurmanya, sedekahkanlah meskipun hanya dengan separuh biji kurma,” - Riwayat Imam Muslim.

Inilah ruang dan peluang melaksana kebajikan. Tiada yang dinilai picisan. Setiap satunya punya nilai dalam bentuk dan kaedah yang pelbagai. Tambahan itu Allah SWT juga telah memandu hamba-Nya menerusi firman-Nya dalam surah al-Talaq ayat 7:

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kadar kemampuannya. Adapun orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta (peruntukan) yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Kelak nanti, Allah akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”

KESEMPATAN DALAM KESEMPITAN

Meskipun dihenyak dengan kenaikan harga dan kesesakan ekonomi, masih ada ruang untuk beramal dan berbakti. Inilah kesempatan meskipun dalam kesempitan. Setiap daripada jiwa yang beriman hendaklah mengetahui dan menyedari.

Keperluan, kesusahan dan kemiskinan manusia lain adalah satu ‘nikmat’ yang wajar disyukuri oleh setiap pencinta kebajikan. Solidariti sosial yang terbina meskipun dalam kluster-kluster kecil mampu memberi impak menyeluruh jika semua bekerjasama menjayakannya. Menyantuni kesulitan meskipun saat kita sulit adalah bakti yang tak ternilai harganya. Ganjarannya begitu besar hingga mampu menyelamatkan kedudukan getir di padang akhirat.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang meringankan kesulitan seseorang Mukmin daripada segala kesulitan dunia, Allah pasti akan meringankan kesulitannya daripada segala kesulitan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang ditimpa kesulitan, Allah akan memudahkan baginya segala urusan dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan tutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya. Selagi hamba itu menolong saudaranya,” - Riwayat Imam Muslim.

Justeru, lihatlah dalam dompet anda. Tanyakan kepada diri. Sebagaimana anda memperuntukkan untuk bersarapan dan makan tengah hari, apakah ada peruntukan yang dilokasikan untuk bersedekah pada hari ini?

Kata Abdullah bin Thahir dalam sebuah syairnya sebagaimana dinukilkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman:

Tidaklah berlalu setiap detik dan ketika,

Kecuali pelaku kebajikan akan pasti bersedia,

Pantang berkesempatan, pasti akan direbutnya,

Siapa tahu itulah yang terakhir buat dirinya.

Tidaklah berlalu 
setiap detik dan ketika,

Kecuali pelaku kebajikan akan pasti bersedia,

Pantang berkesempatan, pasti akan direbutnya,

Siapa tahu itulah 
yang terakhir 
buat dirinya.

3 Rasulullah SAW sentiasa memotivasikan umatnya untuk melaksanakan waima sekecil-kecil kebajikan kerana nilainya amat besar di sisi Allah

3 Keperluan, kesusahan dan kemiskinan manusia lain adalah satu ‘nikmat’ yang wajar disyukuri oleh setiap pencinta kebajikan.

3 Menyantuni kesulitan meskipun saat kita sulit adalah bakti yang tak ternilai harganya.

3 Ganjarannya begitu besar hingga mampu menyelamatkan kedudukan getir di padang akhirat.

3 Setiap hari kita memperuntukkan wang untuk bersarapan dan makan tengah hari, apakah ada peruntukan untuk bersedekah pada hari itu?