Berasal dari Kampung Puah, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, anak keempat daripada lapan beradik ini mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan La Salle dan kemudiannya pada peringkat menengah juga di La Salle, Sekolah Menengah Maxwell dan Methodist Boys School. Setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, beliau tidak membuang masa dan terus mencari kerja sambilan bagi menampung kehidupan.

Rezekinya diterima masuk ke Politeknik Ungku Omar dan berjaya memperoleh Diploma Perakaunan. Tatkala itu, beliau diuji dengan kematian ayahnya dan bermulalah kehidupan berdikari dalam meneruskan hasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Rezeki menyebelahi beliau apabila ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melanjutkan pengajian ke Eastern Washington University di Washington, Amerika Syarikat dan akhirnya berjaya lulus dengan membawa pulang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

MENYUMBANG KEMBALI

Memulakan kerjaya beliau sebagai seorang pegawai menerusi skim pegawai sangkut yang pernah popular dahulu sekitar tahun 1980-an. Kerjaya dimulai dengan berkhidmat di Kementerian kesihatan. Kemudian tidak lama selepas itu beliau mengorak langkah kerjaya lebih mencabar di Island & Peninsular Group Sdn. Bhd. Selain itu Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris dan guru memasak di kem pelarian Vietnam UNHCR.

Pada suatu hari, isteri Allahyarham Zaleha Md. Yusoff terlihat satu iklan dalam akhbar tentang perjawatan di Pusat Pungutan Zakat (PPZ), maka peluang itu tidak dilepaskan. Meskipun dalam masa yang sama ditawarkan kerja sebagai pegawai di Maybank Finance, tawaran daripada PPZ tetap dinanti dan akhirnya bermulalah perjuangannya di PPZ pada 14 Disember 1990 secara penuh kesederhanaan di Bangunan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Saya masih teringat tatkala Allahyarham pernah berbicara tentang bagaimana beliau sendiri pernah menerima bantuan dari pihak Baitulmal suatu ketika dahulu. Justeru, sebagai satu hasrat untuk menyumbang kembali, beliau mahu mencurahkan sepenuh tenaganya membangunkan institusi zakat secara korporat yang julung kalinya ditubuhkan di Malaysia pada ketika itu.

Letih jerih sehinggalah ke lewat malam menyusun resit secara manual satu persatu hingga selesai. Bukan mudah, melakukan sesuatu daripada asasnya sudah tentu memerlukan komitmen dan keteguhan dalam membina budaya kerja yang bersifat profesional serta berdaya saing.

Tatkala ditanya kepada balu Allahyarham, matanya mula berkaca dan dadanya sebak. Ya, itulah jiwa dan raga Allahyarham selama ini. Itulah kerjaya yang dipilih sebagai mengemudi mata pencarian buat keluarga tercinta. Itulah juga jatuh bangun suka duka dan pengalaman yang dibina serta dirasai.

Allahyarham sangat bangga bertugas dan berkhidmat di PPZ. Hasratnya mahukan pusat itu lebih tinggi dalam mencorak perjuangan zakat di persada nasional dan antarabangsa. Usaha selama ini membawa PPZ sedikit demi sedikit meningkat naik ibarat melihat anak yang membesar di depan mata.

Kerjayanya bukan sekadar di pejabat, bahkan beliau turut menyiapkan kerja-kerja pejabat di rumah bagi menyambung tugasan yang belum selesai di pejabat. Meskipun pada akhir hayatnya, beliau diuji dengan masalah kesihatan sehingga terpaksa menerima rawatan dialisis, namun Allahyarham masih lagi bersemangat dan tekun melaksanakan tugas. Semuanya kerana jiwa dan kasih sayangnya pada institusi zakat.

PENGALAMAN DAN KENANGAN

Saya masih teringat tatkala bertemu Allahyarham buat kali pertama sewaktu ditemu duga untuk berkhidmat ke PPZ. Beliau meminta saya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dan memperkenal diri. Setelah itu, beliau bertanyakan kepada saya, “Jika kamu menghadapi masalah di tempat kerja, apakah yang akan kamu lakukan?” Kerana menyangkakan soalan itu bersifat teknikal, maka saya menjawab: “Sudah tentu saya akan merujuk kepada pegawai atasan untuk mendapatkan nasihat.”

Lantas, beliau mencelah. “Pelik juga ya, jawapan teknikal daripada seorang ustaz. Bukankah kita kena minta pada Allah dulu dengan melaksanakan solat atau berdoa?.” Secara jujur, saya ‘terpukul’ dengan kenyataan itu dan meskipun jawapan itu saya perbaiki kemudiannya, namun itulah yang menjadi pengajaran berguna buat diri hingga kini.

Secara peribadi, saya mengagumi beberapa aspek profesionalisme beliau. Kagum dengan gaya bahasanya yang tersusun ketika berucap, kerja penuh ketelitian dan boleh dikatakan seorang yang mementingkan kesempurnaan. Seperkara yang baru diketahui rahsianya yang tiada seorang pun daripada kalangan kami yang tahu sebelum ini.

Beliau mempunyai minat yang sama dengan saya dalam bidang masakan! Namakan apa sahaja dari nasi beriani hinggalah ke pastri, beliau mampu melakukannya hatta mengisar adunan rempah buatan sendiri.

Inilah secebis kisah yang mampu dikongsi. Jiwa dan raga seorang insan yang setia dengan khidmatnya sehinggalah dipanggil bertemu Ilahi.

Dalam penghujung hayatnya beliau sempat meluluskan beberapa hal penting termasuklah memberi ruang penggunaan dewan di PPZ secara percuma kepada program rumah anak yatim dan miskin bagi meraikan anak-anak yang berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Moga segala khidmat, bakti dan jasa yang dicurahkan, bakal dinilai al-Rahman dan dikurniakan setinggi-tinggi rahmat serta balasan.