Ayah saya seorang yang agak panas baran. Arwah ayahnya panas baran, jadi anak-anak pun jadi begitu. Ayah suka menyalahkan orang lain, dia susah nak mengaku kesalahannya.

Ayah selalu baca al-Quran, solat lima waktu tapi ayah masih panas baran.

Saya penat, dan rasa tertekan. Sedih saya tengok keluarga saya jadi macam ini. Ada tak apa-apa doa atau surah apa sahaja sebagai penawar untuk melembutkan hati ayah saya dalam diam-diam? Saya berharap sangat satu hari nanti ayah saya akan hilang panas barannya dan menjadi seorang yang lemah lembut terhadap ahli keluarganya dan tidak menjadi seorang penting diri sendiri.

Anak Tertekan, Pulau
Pinang.

UKE: Saya faham keadaan dan perasaan anda. Memang tertekan apabila berhadapan situasi begini dan bagi saya ibu anda lebih tertekan dengan sikap suaminya. Kalau anda lemah dan tak kuat menghadapi masalah ini, bayangkan bagaimana pula dengan ibu anda? Maka anda perlu berani dan perlu kuat untuk bersabar dan menyelesaikan masalah panas baran ayah anda.

Sebenarnya orang yang panas baran ini bukannya gagah atau kuat tetapi sebenarnya mereka lemah. Lemah kerana tidak mampu mengawal perasaan mereka sendiri.

Mereka hendak tunjuk mereka hebat, maka mereka terpaksa tunjuk panas baran supaya orang lain takut dan memandang tinggi terhadap mereka.

Sedangkan kehidupan mereka banyak dibantu orang lain. Kadang-kadang orang sebegini kena ditinggalkan seorang diri, barulah dia sedar diri. Kadangkadang Allah beri dia sakit, baru dia hendak insaf.

Anda perlu cuba kaedah di sini: Pertama, banyakkan solat malam. Mohon supaya ketenangan turun kepada keluarga anda.

Kedua, amalkan bacaan surah al-Syura ayat 19. Baca sebanyak 19 kali setiap kali memasak nasi untuk keluarga dan ketika membasuh beras.

Ketiga, elakkan sesuatu yang boleh menaikkan kemarahan ayah anda. Keempat, tunjukkan kesatuan hati anakanak dan ibu. Kelima, cari jalan bagaimana kemesraan dapat terjalin seperti selalu adakan solat berjemaah, buat kenduri atau memberi hadiah kepada ayah.

Anda perlu mendekati ayah selalu seperti mengajak dia berjalan atau bercuti. Ubahkan ketegangan kepada sesuatu yang lebih santai dan buat santai sahaja.

 

Pakai baju jenama arak
 

 Apakah hukum jika baju yang dipakai ada tulisan jenama arak? Saya ada sehelai jersi kelab Liga Perdana Inggeris yang ditaja syarikat arak. Saya tidak minum arak tetapi ada orang cakap pakai baju ada jenama arak pun haram. Betulkah?

*Peminat EPL, Johor.

UKE:
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Syabib, saya mendengar Anas bin Malik (atau: Anas meriwayatkan kepadaku), dia berkata: “Rasulullah SAW melaknat perihal arak kepada 10 orang; orang yang memerahnya, orang yang menyuruh memerahnya, orang yang meminta dibuatkan arak, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakan arak, orang yang menjualnya, orang yang meminta dibelikan arak, orang yang memberi minum arak. orang yang minta diminumkan arak, sehingga baginda menghitung 10 daripada jumlah ini. (Hadis riwayat Ibnu Majah).

 Jelas di sini perkara berkaitan dengan arak ini bukan setakat meminum sahaja haram bahkan mempromosinya juga adalah haram. Memakai baju bertulisan produk arak adalah satu bentuk promosi untuk menggalakkan penjualan arak tersebut dan hukum membantu perkara yang berdosa adalah berdosa.

 Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah: 2).
 Elakkan daripada membeli atau memakai baju atau pakaian sedemikian.