Entahlah, tempoh tujuh tahun perkahwinan dengan suaminya, sering sahaja ada ‘gangguan-gangguan’ yang membuatkannya tidak tenang. Serba-serbi tidak kena. Ada sahaja perkara yang merunsingkannya.

Bukan itu sahaja, pernah juga berlaku perang besar dengan suaminya. Penghujungnya, Adira minta ‘dilepaskan’ kerana kononnya tiada lagi keserasian. “Astaghfirullah…,” Adira mengucap panjang. Hakikatnya dia sendiri tidak tahu kenapa bertindak sedemikian rupa.

Bahkan dia juga tidak tahu apakah perceraian itu bakal memberikannya kebahagiaan? Berpisah dengan suami, apakah boleh menyelesaikan segala masalah yang dialami?

Puas Adira termenung mencari kesilapan dirinya. Apa sebenarnya yang ‘hilang’ hingga membuatkan dirinya tidak tenteram. Selain masalah rumah tangga, dia juga berhadapan dengan pelbagai masalah dalam perniagaan. Pekerja larilah, duit hilanglah, barang-barangnya dicuri dan banyak lagi masalah-masalah yang mendatang.

Tiba-tiba Adira merasakan sesuatu yang datang menusuk nun jauh dalam lubuk hatinya. “Allah. Aku terlalu jauh daripada-Mu,” bisik naluri Adira.

Adira sebak. “Mungkin inikah jawapannya?” soal Adira sendirian. Air matanya tak mampu lagi ditahan. Dia tahu selama ini, dia lupa tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.

Solat? Zakat? Puasa? Semuanya satu persatu datang menerjah di kotak mindanya. Sedekah? Jauh sekali. Selama ini kemewahan yang diperoleh, hanya untuk dirinya. Bukan untuk dikongsi. Bagi Adira, apa yang dia dapat adalah atas usahanya. Mana mungkin orang lain harus menikmatinya jua.

Dia lupa, pemilik rezeki itu ialah Allah, Tuhan yang memiliki segala-galanya. “Ya Allah, maafkan aku,” bisik hatinya berkali-kali.

“Terima kasih ustaz. Sekarang saya dah temui jawapannya. Mulai hari ini, pada setiap bulan, saya akan menginfakkan harta untuk dikongsi dengan orang lain. Ustaz berikanlah kepada yang memerlukannya,” kata Adira yang tidak menyangka, pertemuannya dengan kaunselor tempoh hari telah membuka minda dan pintu hatinya yang selama ini tertutup dek kelalaiannya.

Dalam setiap kejadian, hakikatnya ada rahsia dan rahmat Allah SWT. Manusia yang diberikan akal seharusnya mampu untuk berfikir dengan baik mengenai hakikat kejadian dirinya di muka bumi ini.

Manusia dijadikan Allah adalah untuk menjadi khalifah. Bertanggungjawab bukan sahaja bagi dirinya bahkan untuk orang lain dan lebih besar ialah mentaati Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Adz-Dzariyat, ayat 56: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali hanya untuk beribadah kepada-Ku”.

Dalam ayat di atas secara jelas Allah menyatakan, bahawa ketaatan manusia kepada Allah, bukan kerana Allah memerlukan mereka (manusia) tetapi manusia hakikatnya memerlukan Allah dalam apa jua urusan kehidupan mereka.

Dengan erti kata yang mudah, manusia pada hakikatnya tidak diberi pilihan dalam urusan mentaati Allah. Mahu atau tidak, manusia harus mengakui kewujudan Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa.

Bahkan dalam Surah an-Nahl ayat 36, Allah SWT menjelaskan: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka antara mereka (yang menerima seruan rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasulnya.”

Kepentingan hubungan ini dinyatakan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri,” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Berbalik kepada kisah di atas, dapat disimpulkan, kekayaan, kehebatan dan apa jua pencapaian yang diperoleh oleh manusia, hakikatnya adalah ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya untuk melihat sejauh mana seseorang hamba itu mengakui kewujudan Allah. Bahkan ia juga ujian untuk melihat sejauh mana manusia mensyukuri setiap pemberian-Nya.

Sesungguhnya setiap yang menjadi milik kita, pemberinya adalah Allah SWT. Ia tidak akan datang bergolek tanpa kehendak daripada-Nya.

Firman Allah dalam Surah adz-Dzariyat ayat 57: “Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada Ku.”

Setiap manusia di muka bumi ini bertanggungjawab menjaga hubungan dengan Allah SWT iaitu mematuhi segala perintah Allah seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya serta tanggungjawab menjaga hubungan sesama manusia. Antaranya dengan cara bersedekah kepada mereka yang memerlukannya di samping berbuat baik kepada setiap insan.