Namun Salafi Jihadi bukan golongan salaf kerana di sebalik objektif mereka mahu umat Islam kembali kepada al-Quran dan sunah, memurnikan akidah serta menolak bidaah, mereka mempunyai matlamat dakwah untuk menegakkan daulah Islam dengan menggunakan kaedah jihad qital (perang) serta tidak ragu-ragu mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum syariah sepenuhnya.

Mereka mengambil makna secara literal dalam memahami ayat-ayat al-Quran dan sunah. Mereka juga mengamalkan doktrin takfiri terhadap golongan yang dianggap sebagai pengamal syirik, bidaah dan sesat.

Mereka memusnahkan makam-makam nabi dan wali Allah untuk menghapuskan amalan bertawasul dan bertabarruk yang dianggap mencacatkan Tauhid Uluhiyyah.

Bagi mereka:

  • Jihad qital atau jihad peperangan adalah satu-satunya jalan untuk menegakkan sebuah khilafah Islamiah.
  • Jihad ini wajib memerangi dan membunuh kafir harbi dan umat Islam yang telah murtad iaitu mereka yang tidak menyertai gerakan mereka.
  • Gagasan politik selain gagasan Islam adalah tidak sah, hukumiyyah (pemerintahan) adalah hak Allah maka pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Islam wajib dibunuh.

ANTARA PARTI ALLAH, PARTI SYAITAN

Daesh membawa mesej pembebasan Islam melalui akidah Salafi Jihadi yang menganggap jihad adalah jalan pembebasan iaitu membebaskan diri daripada taghut melalui doktrin al-Wala’ wa al-Barra’.

Doktrin ini menyimpulkan bahawa kesetiaan (al-wala’) kepada Allah bermakna mencintai Allah dan berjuang untuk agama-Nya, juga mengasihi dan memberi bantuan kepada orang yang taat kepada-Nya. Al-Barra’ pula bererti benci kerana Allah iaitu merasa marah pada musuh-musuh Allah dan berjuang menentang mereka.

Kerana itu Daesh menganggap bahawa kumpulan mereka sebagai ‘parti Allah’ dan pihak yang menentang mereka, termasuk musuh-musuh Islam serta umat Islam yang dianggap murtad kerana tunduk kepada taghut dianggap sebagai ‘parti syaitan’.

Mereka menjustifikasikan pandangan ini berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah 2:257 yang bermaksud: “Allah Maha penjaga melindungi orang yang beriman. Dia membawa mereka keluar daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”

Mereka juga merujuk ayat yang lain (4:76): “Orang yang beriman mereka itu berjuang pada jalan Allah; dan orang yang kafir berjuang di jalan taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

Teologi pembebasan melalui jihad ini juga bertujuan membebaskan Negara Islam daripada pemimpin taghut dan zalim. Tindakan mengeluarkan umat Islam daripada sistem taghut iaitu demokrasi kepada sistem khilafah dianggap suci dan mulia.

BOLEH DERHAKA 
IBU BAPA

Selain itu, bagi golongan wanita Daesh, doktrin al-Wala’ wa al-Barra’ membebaskan mereka daripada ketaatan kepada ibu bapa dan keluarga yang dianggap tidak mengamalkan Islam dan murtad, selain membebaskan mereka daripada kejahatan jahiliah moden Barat yang mencabuli kehormatan wanita.

Galakan terhadap wanita supaya berjihad dan membantu operasi jihad memberi kuasa dan akses kepada wanita bagi mendapat pengaruh yang kuat terhadap perkembangan generasi jihadi masa kini dan masa depan.

Sajak jihadi wanita yang berjudul The Bird of Jannah, tulisan Muslimah (2015) menjelaskan konsep kebebasan yang ditawarkan oleh Daesh.

Sajak tersebut berbunyi:

“Kau melihat aku dan memanggilku tertindas, hanya kerana cara aku berpakaian. Kau tahu aku bukan apa yang ada di dalam, kau menetapkan hukum pakaian yang aku pakai dengan bangga. Badanku bukan untuk tatapan mata kamu, kau harus bercakap pada mindaku, kerana aku bukan feminis acuan Barat. Aku seorang individu, aku bukan hamba, hanya keredaan Allah yang aku idamkan. Lelaki tidak berkuasa memberitahuku untuk tidak berpakaian dengan cara ini, kerana ia adalah undang-undang Tuhan yang aku patuhi. Tertindas itu bukan aku, pembebasan adalah apa yang aku ada. Ia telah diberikan kepadaku sejak beberapa tahun lalu, aku mempunyai hak untuk berkembang, hak untuk berkembang. Aku boleh memanjat gunung atau menyeberangi lautan, mengembangkan fikiranku dalam semua arah. Kerana Tuhan sendiri memberikan kita kebebasan, apabila Dia menghantar Islam untuk kau dan juga aku!”

Daesh memberi ilusi kekuasaan dan kebebasan yang didambakan oleh segelintir wanita yang merasakan diri menjadi mangsa penindasan dalam masyarakat, juga yang hidup dalam arus kebebasan Barat dan ingin kembali kepada Islam dengan melihat nilai kebebasan baharu dijanjikan Daesh.

Pemahaman kebebasan seumpama ini sebenarnya berdasarkan pandangan Muktazilah mengenai perbuatan makhluk. Pandangan ini juga dipegang oleh Zionis masa kini yang menganggap Kerajaan Tuhan (Kingdom of God) perlu diwujudkan dengan usaha tangan manusia dan bukannya kurniaan Tuhan atau God Given sebagaimana pandangan Yahudi Ortodoks.

Justeru itu, umat Islam perlu mengambil ibrah daripada ideologi Daesh yang mendakwa membawa kebebasan Islam sejati namun hakikatnya memandang saudara seislam lain sebagai kafir atau murtad jika tidak bersetuju dengan mereka. Sikap keras terhadap saudara seislam dan golongan bukan Islam membawa kepada perpecahan, kerosakan, kehancuran, dan peperangan.

Semua ini bukannya daripada ajaran Islam sebenar, bahkan Daesh sebenarnya adalah antagonis kepada Islam.