Meskipun terpaksa berpindah randah dari satu lokasi ke satu lokasi pengajian lain dan tidak mengetahui secara jelas hala tujunya dalam menghasilkan golongan ilmuwan, kesemua pelajar yang dipilih dari lima buah negeri itu tidak pernah bersungut sebaliknya terus tekad menuntut ilmu keagamaan sebaik mungkin.

Pada hari ini, sebahagian daripada kumpulan pelajar pertama itu menjadi tokoh keagamaan disegani negara malah pernah menabur bakti di luar negara termasuk di Brunei Darussalam.

Kejayaan cemerlang dicapai oleh kumpulan pelajar pertama DQ itu termasuk Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad; bekas pengetua pertama Institut Tahfiz Sultan Haji Hasanal Bolkiah di Brunei, Datuk Sallehudin Omar; bekas Penasihat Agama kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz serta bekas Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Zainal Abidin Ahmad.

Pencapaian cemerlang generasi terdahulu mendorong kumpulan penuntut DQ masa kini melakukan perkara sama untuk melakar pencapaian membanggakan, sekali gus melonjakkan nama institusi tahfiz itu di peringkat antarabangsa.

Antaranya, kegemilangan pelajarnya, Farihah Zulkifli di peringkat antarabangsa apabila pernah bergelar Johan Hafazan al-Quran Peringkat Negara Asia (1-30 Juzuk) pada 2015.

Anak kelahiran Selayang, Selangor itu bukan sahaja cemerlang di peringkat nasional dengan merangkul kejuaraan pelbagai pertandingan hafazan, Farihah turut mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai Johan Hafazan al-Quran Taj Waqar Saudi Arabia (1-30 Juzuk) pada 2015 dan menjadi wakil negara untuk Hafazan al-Quran di Jordan (2013).

Kejayaan-kejayaan manis yang dicipta tersebut pastinya mendorong DQ untuk menjadi lebih hebat dalam menghasilkan generasi huffaz profesional yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Pengarah DQ, Dr. Nordin Ahmad berkata, pelbagai perancangan dan pelan pembangunan holistik dirancang pihak pengurusan bagi memastikan institusi tahfiz itu lebih berdaya saing, kebolehpasaran pelajar serta memenuhi inspirasi kerajaan melahirkan lebih ramai huffaz di negara ini.

Katanya, memenuhi hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat kumpulan huffaz dapat dihasilkan sebanyak 125,000 orang pada 2050 menerusi pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50), DQ bertekad merealisasikan impian kerajaan itu.

Menurutnya, sebagai ejen penting menunaikan hasrat kerajaan itu, DQ berusaha mengarusperdanakan keupayaan yang ada di institusi tahfiz tersebut seterusnya merealisasikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara demi kepentingan ummah.

“Ini adalah tanggungjawab besar buat DQ untuk melaksanakannya. Untuk itu, persiapan sewajarnya telah dirangka bagi memantapkan institusi tahfiz ini untuk melahirkan lebih ramai golongan huffaz profesional cemerlang.

“Tidak dilupakan, keupayaan tenaga pengajar DQ juga dimantapkan dari masa ke semasa. Malah pihak pengurusan juga berusaha menambah bilangan pakarnya memandangkan DQ merupakan sebahagian entiti penting untuk menjadi badan rujukan dalam bidang hafazan al-Quran,” katanya yang ditemui Mega Mimbar Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, untuk memperkasakan keupayaan, DQ turut mengadakan kerjasama pintar dengan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Menurutnya, bukan sahaja modul pengajian yang diguna pakai diiktiraf dan memenuhi kriteria untuk membolehkan pelajar kelulusan DQ diterima untuk berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), malah pelbagai bidang pengajian ditawarkan kepada pelajar termasuk dakwah, syariah, hadis, mualamat serta pengurusan halal.

Tambah beliau, pelajar yang tamat pengajian DQ juga boleh melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di Nusantara dan Timur Tengah termasuk di Mesir, Maghribi, Jordan serta Arab Saudi.

“DQ mengadakan kerjasama strategik dengan 15 buah institut pengajian tinggi di negara ini dan enam buah universiti di luar negara, sekali gus memberi peluang besar kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

“Bukan sahaja dapat melahirkan golongan hafiz dan dai hebat, malah mencipta golongan yang benar-benar mahir dalam al-Quran dan berkebolehan dalam pelbagai bidang penting di negara ini,” katanya.