Begitulah antara hujah yang sering menjadi perdebatan segelintir golongan tertentu bagi membantah umat Islam daripada mempelajari dan beriman dengan pembahagian tauhid tersebut atau dikenali sebagai tauhid tiga serangkai.

Selain dikaitkan dengan ulama pemikiran kontroversi, Ibn Taimiyah, pembahagian tauhid tiga serangkai itu juga sering kali didakwa sebagai doktrin yang mencetus kepada keganasan dan melahirkan golongan yang gemar menyesat serta mengkafirkan umat Islam lain.

Sehingga terdapat usaha agar pendidikan tauhid tiga serangkai yang sekian lama diajar dimansuhkan daripada kurikulum pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Menjelaskan isu tersebut, Pembantu Profesor Kuliah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Nik Md. Saiful Azizi Nik Abdullah berkata, hakikatnya sebelum Ibn Taimiyah, tauhid tiga serangkai telah dahulu diperkenal oleh ulama salaf lain termasuk Ibn Mandah, Ibn Bathah dan Ibn Jarir Al-Tabari.

“Bagaimanapun, tindakan mengaitkan Ibn Taimiyah dengan keganasan merupakan satu konspirasi terhadap karya-karya beliau. Tidak hairanlah, sedangkan nas al-Quran dan hadis juga boleh dieksploitasi oleh golongan ajaran sesat apatah lagi perkataan ulama.

“Saya yakin dan percaya, dengan membaca karya Ibn Taimiyah akan menyebabkan seseorang lebih jelas dan kagum dengan ketokohannya dalam bidang ilmu serta kerohanian. Ketidakmampuan sebahagian individu membaca karya tokoh tersebut menyebabkan beliau menjadi ‘mangsa’ eksploitasi.

“Kesannya, masyarakat awam dan mereka yang tidak mampu menilai dengan baik terpaksa menerima sahaja apa yang diperkata kepada tokoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘Pelaksanaan Wasatiyah di Universiti: Kajian Kes di UIAM’ dalam Konvensyen Khayr Ummah 2017 di ibu negara, baru-baru ini.

Nik Md. Saiful berkata, tidak terkecuali, UIAM turut terkena tempias dakwaan negatif sebagai pusat penyebaran ajaran Wahabi.

Menurutnya, terdapat dakwaan secara rambang menyatakan keadaan ini berpunca daripada pengajaran konsep tauhid tiga serangkai yang diajarkan pada peringkat universiti boleh membawa kepada fahaman ekstrim.

Sebagai pengkaji, Nik Md. Saiful berpandangan seperti berikut:

1. Tauhid tiga serangkai tidak boleh dengan mudah dikaitkan dengan elemen keganasan. Berdasarkan konsep dan contoh yang diberikan, tiada langsung kaitannya dengan ekstremisme serta keganasan. Tauhid diajarkan supaya pelajar memahami konsep keesaan Allah.

2. Antara buku teks yang digunakan yang menyebut tauhid tiga serangkai ini adalah buku Iman: Rukun, Hakikat dan Pembatalannya karangan Dr. Muhamad Naim Yasin. Sebenarnya buku-buku tersebut tidak langsung menyandarkan konsep ini kepada mana-mana tokoh tertentu.

3. Penulis mengakui pembahagian tauhid kepada tiga bahagian memang tidak berlaku di zaman Rasulullah. Ia disusun kemudian untuk memahamkan pecahan kandungannya agar mudah difahami. Ia tidak langsung bercanggah dengan nas-nas yang ada. Begitu juga disiplin ilmu lain.

“Perlu ditegaskan, yang menjadikan golongan muda sekarang ini ganas bukan disebabkan membaca buku ilmiah, tetapi terlebih menonton video ganas di pawagam dan televisyen.

“Begitu juga, yang menjadikan generasi muda kita ini layu dan lesu pula bukan hanya disebabkan tidak membaca, tetapi leka dengan budaya hedonisme dan hiburan melampau,” ujarnya.