Persediaan awal amat penting bagi membolehkan mereka memulakan sesi baharu persekolahan nanti dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

Bagi tujuan itu, pada tahun ini MAINS memperuntuk zakat sebanyak RM1.4 juta melibatkan pakaian seragam sekolah dan bantuan pembelajaran untuk membantu pelajar asnaf di negeri ini.

Inisiatif MAINS ini juga bertujuan meringankan beban yang perlu ditanggung oleh ibu bapa terutama yang mempunyai tanggungan ramai dan memerlukan kos tinggi untuk membeli barangan keperluan sekolah.

Projek menjahit dan menyediakan pakaian ini dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan kerjasama Pusat Pembangunan Asnaf (PPA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan jabatan penjara negeri ini.

Kerjasama yang bermula sejak 2014 itu merupakan sebahagian daripada usaha MAINS membela nasib pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan menjana rantaian pendapatan kepada masyarakat khususnya golongan asnaf.

Bagi tahun ini, mereka yang terlibat dalam menjahit pakaian sekolah terdiri daripada 150 peserta Kemas dan 50 peserta dari PPA yang merupakan ibu tunggal, suri rumah dan tukang jahit asnaf.

Mereka berganding bahu menyediakan sebanyak 18,000 pasang pakaian seragam sekolah yang dijahit istimewa untuk pelajar asnaf.

Ia melibatkan sembilan jenis pakaian sekolah iaitu baju kurung, kemeja, baju Melayu, seluar sekolah menengah, seluar sekolah rendah, seluar baju Melayu, tudung, kain sekolah rendah dan kain sekolah menengah.

Melalui projek ini, kos bagi pakaian tersebut dapat dijimatkan sebanyak 30 peratus berbanding harga pasaran.

Proses pengagihan pakaian seragam sekolah ini pula akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di semua daerah di Negeri Sembilan bermula bulan ini bagi memudahkan pelajar membuat persiapan awal.

Melalui kelengkapan persekolahan yang sempurna diharap dapat mendorong pelajar tersebut untuk menjadikan pendidikan dan menuntut ilmu sebagai keutamaan mereka.

Usaha MAINS ini juga diharap dapat membantu pihak kerajaan untuk terus membela golongan yang lemah dan mengelak mereka daripada dipinggirkan.

Dalam perkembangan lain, golongan saudara baharu atau mualaf yang ingin mendalami pengetahuan agama Islam dipelawa menyertai Sijil Asas Pengajian Islam, Program Pensijilan Majlis Agama Islam Negeri sembilan (MAINS) bagi sesi Januari 2018.

Peserta tidak dikenakan sebarang yuran pengajian, malah akan diberi elaun sara diri sepanjang mengikuti program berkenaan di Kompleks Al-Saadah, Seremban. Selain itu, kemudahan penginapan dan makanan akan turut disediakan.

Mereka yang ingin turut serta mestilah berumur 18 tahun ke atas dan pendaftaran boleh dibuat secara online.

Sepanjang program itu peserta akan mengikuti pengajian asas agama seperti jawi, tasawur Islam, hadis, fiqh mualaf dan fiqh sirah. Mereka akan diberi diajar kemahiran dalam bahasa Inggeris, Arab dan Melayu.

Program ini bertujuan melahirkan saudara baharu yang bukan sekadar melafazkan kalimah syahadah tetapi juga mendalami ilmu yang membawa keberkatan dan boleh diamalkan sepanjang hayat.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Kompleks Al-Saadah melalui talian 06-7621876.