Fenomena ‘tunggang agama’ bukanlah perkara baharu yang berlaku kepada umat Islam, tetapi sudah lama terjadi sejak zaman Nabi Musa a.s. lagi.

Firman Allah SWT: “Dan Kami pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di serata) dunia ini. Antara mereka ada yang soleh dan ada juga yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

“Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: Akan diampunkan kelak dosa kami padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi.

“Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkata terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?,” (al-A’raf[7:168-169]).


LICIK BERAGAMA

Agama ditunggang oleh mereka sesuka hati. Hukum Allah SWT diubah sesuai dengan kepentingan diri sendiri. Mereka turut menerima rasuah atas fatwa yang dikeluarkan (Tafsir Ibn Kathir). Sungguh berani mereka ‘memperbudak’ Allah dengan tanggapan dosa mereka pasti diampunkan Allah walaupun ia dilakukan berulang kali.

Sikap ini bercanggah dengan maksud taubat yang memerlukan penyesalan setulus hati.

Dalam ayat lain Allah SWT menegaskan perkara sama:
“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak sekali para pendeta dan ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya,” (al-Taubah[9:34

Taubat para ilmuwan yang menunggang agama seperti mereka tidak akan diampunkan Allah selagi penyelewengan mereka tidak diperbaiki. Baiki bermaksud menerangkan apa yang benar dan mengaku yang salah. Ilmuwan yang benar taubatnya akan membuang ego demi harga sebuah taubat.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani,” (al-Baqarah[2:159-160]).


FORMULA LARISKAN PERNIAGAAN

Kisah daripada ayat itu bukan sekadar celaan kepada umat lampau tetapi turut menjadi teguran dan peringatan kepada umat Islam semasa.

Banyak sekali produk ajaib berasaskan agama yang sedang dan pernah menggemparkan Malaysia, antaranya: air ajaib 30 juzuk, jus jampian ustaz selebriti, kurma nabi yang sudah khatam Sahih Bukhari, air malam Jumaat celupan sarang anai-anai yang makan 22 juzuk al-Quran, air lunturan tulisan ayat al-Quran pada pinggan putih dan sebagainya.

Formulanya mudah iaitu jika perniagaan semakin suram, maka produk agama perlu diketengahkan kerana ia seumpama magnet yang mampu menarik minat para pembeli. Tambahan pula mentaliti sesetengah orang jahil memang sukakan produk segera dan cepat. Sebab itu banyak tagline yang digunakan semuanya berkonsepkan segera dan cepat: Cepat putih, cepat kurus, cepat pandai, cepat bijak, cepat syurga.

Bukanlah saya menafikan al-Quran sebagai mukjizat yang mampu menyembuhkan penyakit fizikal, tetapi teguran ini bermaksud menghalang eksploitasi melampau terhadap al-Quran.

Al-Quran mampu memberi kesan penyembuhan fizikal, tetapi ia berkait rapat dengan keyakinan dan iman si pembacanya. Kesan penyembuhan pasti berbeza jika mahu dibandingkan antara bacaan sahabat Rasulullah SAW seperti Sa’ad bin Abi Waqqas dengan bacaan penulis yang jahil.

Renungkan riwayat ini: “Pada suatu hari Abdullah Ibn Masud bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan pada telinganya ayat (al-Mu’minun [23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh daripada sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya? Rasulullah SAW lalu bersabda: Demi yang jiwaku berada pada tangan (kuasa)-Nya, sekiranya seorang lelaki yang yakin (dengan mukjizat al-Quran) membacanya (walaupun) kepada bukit sekalipun, sudah pasti bukit tersebut akan hilang (hancur),” (Tafsir Ibn Kathir).

PEDOMAN

Taubat ilmuwan yang menunggang agama tidak akan diampunkan Allah selagi penyelewengan mereka tidak diterangkan dan diakui. Ilmuwan yang benar taubatnya akan membuang ego demi harga sebuah taubat. Boleh rujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: 159-160.

Tidak dinafikan 
al-Quran sebagai mukjizat mampu menyembuhkan penyakit fizikal, tetapi apa yang menjadi kesalahan kerana melakukan eksploitasi melampau terhadap al-Quran hingga mencemar kesucian agama.

Persoalannya

Bacaan rukyah yang dibuat oleh seorang ‘soleh lagi ikhlas’ pastinya berbeza dengan bacaan sebuah ‘radio yang tidak berjiwa’.

Jika pengusaha produk ajaib 30 juzuk mentahfizkan produknya dengan bacaan daripada sebuah radio, adakah ia seiring dengan kisah Abdullah bin Masud di atas?

Penggunaan agama seperti ini perlu segera ditangani agar keindahan Islam tidak dicemari kapitalis agama yang mewarisi genetik umat lampau. Produk para ilmuwan Islam silam seperti Ibn Sina, Ibn al-Nafis, dan al-Khawarizmi adalah ‘produk ilmu’ dan bukannya ‘produk jampi’.

Fikir dan renungkanlah.