Walaupun dianggap tidak masuk akal pada awalnya, lebih-lebih lagi bukan dalam kalangan golongan berkemampuan tinggi, namun kerana keyakinan terhadap kemabruran doa di Tanah Suci, ibu kepada tujuh anak itu percaya tiada yang mustahil dengan izin Allah.

Ternyata doa yang diluahkan ketika berada berhampiran Kaabah 16 tahun lalu itu didengari dan diterima Allah SWT.

“Alhamdulillah, tahun ini masuk tahun ke-16 berturut-turut Ummi diizinkan Allah untuk bersama-sama jemaah lain menunaikan haji. Tetapi bukan sebagai peserta tetapi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas),” katanya ketika ditemui Mega Mimbar di Klang, Selangor, baru-baru ini.

Berkongsi kisahnya, beliau yang juga Penolong Kanan 1, Maahad Tahfiz Integrasi Selangor, Bagan Lalang, Selangor berkata, semuanya bermula ketika dia diminta hadir sebagai pembantu penceramah dalam kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji (TH) 15 tahun lalu.

Kerana kebolehannya dalam menyampaikan ilmu, Ummi ditawarkan untuk mengikuti beberapa kursus latihan termasuk Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan sehingga diundang sebagai Pihtas pada tahun berikutnya.

“Dalam doa Ummi ketika di Mekah 16 tahun lalu itu juga, Ummi berharap jika berpeluang akan cuba membimbing dan memberi kefahaman dengan mudah kepada bakal-bakal jemaah haji. Rupa-rupanya, dengan cara ini Allah memakbulkan doa Ummi.

“Dengan sokongan ramai terutama suami, anak-anak dan Pengetua Maahad Tahfiz Integrasi Selangor, Ummi diberi keizinan dan dapat menjalankan tugas sepanjang musim haji di Tanah Suci dengan sempurna,” ujarnya.

MERACAU DI MINA

Berhadapan dengan ribuan jemaah haji dari negara ini pastinya mengumpul pelbagai kisah tersendiri. Perkara itu turut diakui Ummi berlaku kepada dirinya sepanjang 15 tahun diberi amanah menggalas tugas tersebut.

Namun, katanya, segala yang dilalui diharap menjadi iktibar dan pengajaran buat diri dan jemaah lain terutama terhadap individu itu sendiri tidak kira sama ada keadaan baik atau sebaliknya.

“Antaranya Ummi pernah berhadapan dengan seorang jemaah lelaki meracau-racau apabila sampai ke Mina untuk menyempurnakan rukun melontar sedangkan sebelum itu dia sama seperti jemaah lain.

“Malah, lelaki itu juga telah menukar pakaian kepada baju biasa walaupun masih belum selesai melontar pertama. Apabila ditanya, dia mendakwa telah selesai melontar berhampiran kawasan khemah sedangkan melontar perlu dilakukan di jamrah.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk menenangkan lelaki itu dan setelah kita berjumpa dengan isterinya barulah kita mendapat tahu bahawa dia sering berkelakuan kasar serta biadab dengan ibunya,” katanya.

Tambah Ummi, setelah berjaya menghubungi dan memohon maaf kepada ibu lelaki itu barulah keadaan menjadi terkawal.

KESAN WANG KOTOR

Ummi berkata, begitu juga kejadian seorang jemaah yang kerugian hampir 3,000 riyal (RM3,520) akibat terjatuh ke dalam lubang tandas ketika berada di Mina.

“Biasanya kita nasihatkan kepada jemaah supaya tidak membawa banyak wang ketika di Masyair (sepanjang tempoh menyempurnakan rukun haji), kerana semua kemudahan telah sediakan oleh TH, namun difahamkan lelaki ini tidak mendengar nasihat tersebut.

“Kejadian berlaku ketika dia masuk ke tandas semasa di Mina dan kebetulan lelaki itu menyelitkan semua wang di dalam lipatan kain ihram. Secara tidak sengaja semua wang tersebut terjatuh ketika dia ingin membuka kain ihramnya.

“Apabila kita selidiki dan bertanya kepadanya, dia berkata mungkin itulah peringatan Allah kepadanya kerana tidak menyempurnakan kewajipan Rukun Islam ketiga iaitu berzakat dan kedekut untuk bersedekah,” jelasnya.

Pihak TH katanya, hanya boleh menasihatkan jemaah itu supaya menginsafi kesalahan lalu, bertaubat dan berazam untuk menyempurnakan hak orang lain yang terdapat dalam harta miliknya iaitu menerusi zakat.

DALAMI ILMU sebelum bertolak

Ummi turut menasihatkan bakal jemaah supaya mendalami ilmu agama dan haji sebelum bertolak ke Tanah Suci bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Beliau berkata, umat Islam perlu memperbanyak amal dan kebajikan ketika di Tanah Suci bagi memanfaatkan sepenuhnya keberkatan ketika berada di sana.

“Membuat persediaan daripada aspek ilmu pengetahuan sangat dituntut bagi bakal jemaah. Berhadapan dengan jutaan umat Islam seluruh dunia dalam keadaan budaya dan persekitaran berbeza boleh mendatangkan masalah jika tiada ilmu.

“Antaranya permasalahan ketika dalam ihram, kaedah melaksanakan solat jenazah dan kaedah melaksanakan ibadah lain serta hukumnya, semua itu memerlukan pengetahuan bagi mengelakkan kesalahan yang boleh menjejaskan ibadah haji.

“Begitu juga persediaan dalam aspek fizikal dan mental juga sangat diperlukan bagi membolehkan jemaah itu dapat melaksanakan haji dengan sempurna,” katanya.

ibrah

[email protected]
com.my