Kelihatan beberapa buah bas berhenti melayan jemputan penggembala unta itu. Jemaah kami mengambil langkah berjaga-jaga tidak turun mendekati unta seiring dengan sikap para sahabat Nabi SAW dalam kisah ini:

“Abdullah bin Abbas r.a., meriwayatkan pernah suatu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab pergi ke Syam tetapi beliau mendapati Syam dijangkiti wabak penyakit. Beliau bermesyuarat dengan para sahabat nabi dan pemimpin kaum. Setelah lama berbincang Umar akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Madinah dan tidak memasuki Syam yang sudah dijangkiti wabak penyakit.

Tindakan Umar ditegur oleh Abu ‘Ubaydah al-Jarrah yang berkata: “Mengapa kita harus lari daripada ketentuan (qadar) Allah? Umar menjawab: “Kalaulah orang lain yang berkata demikian wahai Abu ‘Ubaydah (keluhan kerana kenyataan yang kurang teliti itu keluar daripada seorang tokoh seperti Abu ‘Ubaydah). “Benar! kita lari daripada ketentuan Allah (tetapi kita juga sedang) menuju kepada ketentuan Allah yang lain.

Apa pandanganmu jika kamu miliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang ada dua bahagian, satu bahagian subur manakala bahagian lain pula tandus. Jika kamu bawa untamu meragut pada bahagian lembah yang subur, maka bukankah itu bererti kamu membawanya meragut berdasarkan ketentuan Allah? Sebaliknya, jika kamu membawanya ke bahagian yang tandus, maka bukankah itu bererti kamu juga membawanya meragut menurut ketentuan Allah?

Lalu Ibnu Abbas berkata, “Tak lama kemudian datanglah Abdul Rahman bin Auf, lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya punyai maklumat mengenai perkara ini. Saya pernah dengar Rasulullah bersabda: “Apabila kamu dengar ada wabak penyakit (yang berjangkit) di suatu tempat, maka janganlah kalian pergi ke sana, dan apabila wabak tersebut telah berjangkit di tempat yang kamu duduki, maka janganlah kamu keluar darinya.

Ibnu Abbas berkata, “Lalu Umar bin Khattab memuji Allah dan kemudian kembali pulang ke Madinah,” - Sahih Bukhari dan Muslim.


UNTA DALAM 
AL-QURAN


Kisah pelawa petaka unta itu saya lalui baru-baru ini ketika dijemput membuat pengisian tentang al-Quran dalam kembara umrah bersama syarikat el-Izzah Travel and Tours yang berpangkalan di Johor. Pada waktu itu, ayat al-Quran berkaitan unta segera menjengah fikiran dan saya mengambil terus peluang itu untuk mendekatkan para jemaah umrah el-Izzah dengan kalam Allah berkenaan unta, antaranya:

1. Kejadian unta yang unik menjadi bukti kebesaran Allah dan kemampuan-Nya menghidupkan manusia selepas mati untuk audit akhirat:

“(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?,” (al-Ghasiyah [88:17]).

  • Allah jadikan unta sebagai contoh yang perlu difikir oleh para penentang Rasulullah SAW kerana ia adalah kenderaan utama Arab. Tambahan pula unta adalah haiwan yang sangat unik, lasak dan mampu membawa beban yang berat ke destinasi yang jauh.
  • Manfaat daripadanya sangat banyak, dagingnya boleh menjadi lauk, susunya mampu menghilangkan dahaga, kulitnya menjadi bumbung meneduh panas dan menangkis sejuk, najisnya bagus untuk baja tanaman dan sebagainya.
  • Walaupun jasadnya besar, ia sangat mudah dikawal walaupun oleh seorang penggembala yang lemah. Pendek kata unta adalah haiwan 1,000 guna. Pastinya Allah yang mencipta haiwan sebegini hebat mampu menghidupkan orang mati untuk diaudit akhirat.

2. Larangan berlagak sombong seperti unta sakit leher:

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (seperti unta sakit leher - kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri,” (Luqman[31:18])

  • Asal perkataan “wala tusa’ir atau assi’ru” dalam ayat ini adalah sejenis penyakit yang menimpa unta.
  • Leher unta yang terkena sakit ini akan patah terpaling ke sisi. Ia suatu gambaran buruknya si unta yang sakit.
  • Manusia sombong yang tidak mahu memandang wajah orang lain sebenarnya tidak nampak hebat tetapi sedang mengalami kecacatan fizikal seperti unta sakit. Oleh itu, tiada guna berlagak sombong memalingkan wajah daripada orang lain. Ketika orang Arab mendengar ayat ini, mereka akan berasa malu untuk berlagak sombong.

3. Ahli neraka minum air panas dengan rakus seperti unta sakit:

“Selepas itu kamu (wahai penghuni neraka) akan minum pula daripada air panas yang menggelegak, Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”. Inilah (jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu,” (al-Waqiah [56:54-56]).

  • Sakit “al-Him” yang disebut dalam ayat 55 Surah al-Waqiah itu adalah sejenis penyakit yang menimpa unta.
  • Unta yang dijangkiti sakit ini akan minum air secara berterusan tanpa henti sehingga mati. Begitulah juga keadaan ahli neraka yang terpaksa minum air panas menggelegak tanpa henti (Tafsir Ibn Kathir).

Semoga perkongsian ini mampu membuka mata hati kita agar melihat alam ciptaan Allah ini dalam kaca mata al-Quran.