Nanti dulu, kenapa kita hendak bercakap fasal syukur? Ramai orang kata syukur itu bosan! Maka ungkapan begini akan keluar, “Ya aku bersyukur atas... tapi kenapa banyaknya halangan?”

Hendak tahu bersyukur hal yang bosan atau tidak, mari lihat majalah Al Islam Jun 2018. Saksikan bagaimana tingkah laku bersyukur itu dihuraikan dalam pengertian yang berbeza.

Pengarang buku The Art of Gratitude, Jeremy David Engel mengatakan, syukur itu adalah kata-kata ajaib yang menjadi antidot untuk kemarahan, penyakit, kebimbangan, keganasan, perpecahan, perbezaan, kebencian dan rasa geram yang pecah daripada kehidupan semasa. Seluruh hidup yang menjanjikan kebahagiaan adalah berpaksi kepada syukur.

Hebat bukan, syukur dari sudut pandangan Jeremy? Masalahnya, Jeremy sendiri tidak tahu apa makna sebenar bersyukur itu?

Dia cuba mencarinya melalui pembacaan buku-buku dan artikel yang berkaitan hal tersebut. Tetapi semakin banyak dia membaca, malangnya perasaan syukur semakin menjauh! Mengapa semua bahan bacaan itu tidak boleh menjadikannya manusia yang paling bersyukur?

Bersama persoalan itu, Al Islam keluaran Jun cuba mencari jawapan dengan menggabungkan sudut pandangan sains, akhlak dan tafsir ayat al-Quran bersangkut dengan syukur.

Syukur dari tafsir ayat al-Quran dibicarakan dengan mengambil ibrah kisah Nabi Musa dan umatnya ketika berhadapan dengan tentera firaun. Syukur itu adalah berfikiran positif cara Islam. Dan, ketika sukar apa yang perlu dibuat? Sabar atau syukur?

Dari situ maka dapatlah jawapan mengapa syukur itu penawar segala penyakit. Sungguh! Manusia yang bersyukur fikirannya sentiasa positif dan itulah kuncinya. Ada banyak tindak balas kimia berlaku di dalam tubuh apabila manusia bersyukur. Hendak tahu semuanya kenalah baca Al Islam.

Selain itu, Al Islam Jun juga menjentik sikap dan tindakan ibu bapa yang teruja untuk jadikan anak-anak cantik dan putih gebu. Bukankah semua bayi dilahirkan cantik, gebu dan comel dengan caranya tersendiri?

Jadi, perlukah produk makanan kecantikan untuk bayi? Isu itu dikupas dengan panjang lebar dalam artikel yang bertajuk Anda... atau Mereka Ibu Bapa Parasit?

Ketahui juga apa doa yang boleh menghindarkan segala makhluk mudarat dalam kolum As-sunah. Doa yang disebutkan itu boleh diamalkan ketika memasuki tempat baharu atau sepanjang masa untuk menghilangkan segala gangguan makhluk yang terlihat dek mata mahupun tidak.

Sementara itu, dalam kolum Yang Ghaib, Profesor Madya Dr. Yohan Kurniawan menjelaskan bagaimana jin boleh terlihat pada pandangan mata manusia? Sebenarnya jin perlukan tenaga yang banyak untuk menampakkan dirinya di hadapan manusia. Ketahui mengapa dan dari mana tenaga itu boleh diperoleh oleh jin dalam Al Islam Jun?

Sebenarnya banyak lagi isu menarik yang dibincangkan antaranya mengapa banyak lohong hitam dalam sistem galaksi, tulis nama Allah di atas kain kapan, hartaku milik baitulmal dan perbincangan lengkap soal zakat fitrah. Jadi jangan lepaskan peluang dapatkan Al Islam Jun.