Meskipun ada generasi muda yang mengikat hatinya dengan rumah Allah itu, persepsi bahawa masjid dilihat sebagai tempat berkumpul golongan pesara dan veteran semakin dianggap ada kebenarannya oleh segelintir masyarakat.

Tidak hairanlah apabila kebanyakan institusi tersebut ditadbir oleh golongan berkenaan yang sebahagiannya melihat usaha mengimarahkan masjid dari kaca mata mereka, sehingga kadangkala meminggirkan idea dan buah fikiran anak-anak muda.

Bagaimanapun, berbeza di Negeri Sembilan yang mempunyai Eksekutif Masjid dalam kalangan anak-anak muda bagi menggalas tanggungjawab mentadbir dan membimbing pihak pengurusan masjid.

Mula diperkenalkan pada 2013, terdapat 16 eksekutif dengan purata usia 35 tahun diberi kepercayaan menyelia dan memartabatkan masjid secara profesional sebagai institusi pembangunan ummah.

Ini juga antara usaha untuk menyuntik idea orang muda yang dapat digabungkan dengan pemikiran generasi berpengalaman dalam memastikan pengurusan cemerlang sesebuah masjid,

Menurut Pengurus Lembaga Masjid Negeri Sembilan, Anwar Muttaqin, setiap Eksekutif Masjid berperanan sebagai ketua pentadbir di masjid yang bertanggungjawab merangka, menyelaras, melaksana dan memantau program serta aktiviti untuk ahli kariah.

Katanya, mereka juga menyediakan dan mengawal anggaran perbelanjaan tahunan, pengurusan kewangan dan aset masjid selain terlibat sama dalam menyelaraskan majlis keagamaan serta perayaan Islam di masjid masing-masing.

“Daripada 16 eksekutif itu, dua daripadanya bertugas di ibu pejabat, manakala 14 lagi bertugas di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri. Kesemua mereka berlatar belakang bidang agama atau berkelulusan Ijazah Pengajian Islam dari pusat pengajian tinggi termasuk dari Mesin, Jordan dan Indonesia.

“Selain itu, sudah tentu mereka yang dipilih ini bukan sahaja baik dari segi ilmu agama tetapi juga mesra masyarakat, hati yang terpaut di masjid dan dalam masa yang sama mempunyai ilmu untuk menguruskan sesebuah masjid,” katanya baru-baru ini.

KURANG SENANG

Pada awal pelantikan mereka, tidak dinafikan terdapat beberapa pihak di masjid berasa kurang senang atau sukar untuk menerima anak-anak muda ini untuk terlibat secara langsung dalam jawatankuasa kariah masjid mereka.

Mengakui perkara itu, Anwar berkata, pihaknya menganggap isu itu sebagai cabaran kepada eksekutif tersebut dalam berdepan kehendak dan ragam bukan sahaja jawatankuasa masjid tetapi juga ahli kariah daripada pelbagai latar belakang.

“Memang benar dulu ada pihak pengurusan masjid dan ahli kariah tidak biasa dengan kehadiran eksekutif yang dihantar oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk menyelia perjalanan masjid mereka.

“Ini tak dapat dielakkan kerana sudah lama masjid diuruskan oleh mereka. Apabila ada orang baharu datang sudah tentu timbul rasa tidak selesa, lebih-lebih lagi eksekutif itu masih muda berusia 30-an.

“Tetapi persepsi ini dapat dikikis dengan eksekutif tersebut menunjukkan mereka datang dengan ilmu, kemahiran dan idea baharu ke dalam masyarakat. Mereka juga boleh menjadi imam, membaca khutbah, mengadakan kuliah agama sehingga akhirnya dihormati dan diterima jemaah,” katanya.

JADI LEBIH BERKESAN

Anwar menjelaskan, hari ini masjid-masjid yang ditadbir eksekutif muda terbukti dapat diimarahkan dengan berkesan dan merekodkan aktiviti paling banyak serta aktif berbanding masjid lain yang bukan di bawah jagaan eksekutif berkenaan.

“Pengurusan masjid menjadi lebih baik dan peruntukan MAINS boleh disalurkan terus mengikut program dan aktiviti yang ditetapkan dengan adanya mereka. Bagaimanapun, kuasa pentadbiran dan kewangan masjid masih di bawah seliaan ahli kariah,” katanya.

Jelasnya, kehadiran eksekutif tersebut dapat memastikan hasrat pihak berkuasa agama negeri agar masjid benar-benar berfungsi seperti yang diinginkan selain mampu membendung sebarang anasir negatif yang ingin disebarkan melalui masjid.

Menurut Anwar, seiring dengan harapan yang terletak pada bahu mereka, kesemua eksekutif muda perlu sentiasa meningkatkan ilmu, kecekapan, kebolehan dan keupayaan berkaitan bidang tugas masing-masing.

“Dengan cara itu, mereka dapat menyelesaikan sebarang masalah dalam pengurusan masjid secara profesional untuk menghasilkan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada masjid-masjid,” katanya.

Peranan Eksekutif 
Masjid LMNS

  • Ketua pentadbir di 
masjid, merangkap ahli jawatankuasa kariah masjid yang bertanggungjawab terus kepada pengurus masjid daerah dan Pengurus LMNS.
  • Merangka, menyelaras, melaksana, memantau program dan aktiviti masjid yang berfaedah kepada masyarakat.
  • Bertanggungjawab menyediakan, mengawal anggaran perbelanjaan tahunan, pengurusan kewangan dan aset masjid
  • Bertanggungjawab menyediakan laporan awal pembangunan fizikal masjid
  • Bertindak sebagai pegawai perhubungan antara masjid dengan jabatan-jabatan kerajaan, swasta di peringkat daerah.
  • Terlibat dalam menyelaras majlis keagamaan, perayaan Islam di masjid.
  • Menyediakan laporan sesuatu isu dan lain-lain maklum balas berkaitan masjid dan ahli kariah kepada pengurus masjid daerah dan Pengurus LMNS
  • Bertanggungjawab dalam hal-hal pengurusan jenazah, pengurusan zakat dan lain-lain.
  • Memantau pengurusan, pengimarahan surau di bawah kariah masjid.
  • Menyedia, menyelaraskan jadual bertugas pegawai masjid.
  • Menjadi imam solat fardu, sunat, khatib
  • Menjalankan tugas Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di kariah.
  • Memantau, menilai dan menyediakan laporan prestasi tahunan pegawai-pegawai masjid.