Justeru bermula daripada pemilihan pasangan, Islam menggariskan ciri-ciri bakal suami dan isteri yang perlu diteliti. Bagi seorang wanita, ciri bakal suami yang perlu diberi perhatian ialah menghayati agama, memiliki akhlak mulia dan mampu memimpin serta membimbing keluarga.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila datang meminang kepada kamu orang yang kamu reda agama dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwini akan dia, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar.” - Riwayat Tirmizi

Begitu juga ciri-ciri bakal isteri hendaklah dalam kalangan seorang yang beragama seperti sabda Rasulullah SAW: “Lazimnya wanita dikahwini kerana empat perkara, hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung.” - Riwayat Bukhari

Kasih sayang (mawaddah) yang terjalin daripada perkahwinan yang sah akhirnya membuatkan pasangan berfikir tentang kebesaran Allah. Penghujungnya lahirlah ketenangan (sakinah) dalam rumah tangga, sejahtera dalam masyarakat dan harmoni dalam sebuah negara.

Mawaddah hanya akan dirasai dalam alam perkahwinan apabila suami isteri saling memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Apabila telah diijab kabul, maka termeterai tanggungjawab seorang suami memberi nafkah zahir dan batin terhadap isteri.

Menjadi kewajipan suami juga menyediakan keperluan asas sebaik mungkin meliputi makanan, pakaian mengikut keperluan dan tempat tinggal yang selesa, selaras dengan kemampuan suami.

Dalam membina rumah tangga bahagia yang mendapat keredaan Allah mestilah memiliki sifat rahmah antara satu sama lain.

Sikap bertolak ansur, memahami antara satu sama lain, berlaku adil dan ihsan merupakan antara ciri sifat rahmah yang perlu ada dalam sesebuah rumah tangga.

Kebahagiaan rumah tangga juga adalah kerana faktor dapat menguasai komunikasi yang berkesan.

Perlu diketahui juga bahawa bahasa komunikasi bukan hanya melalui pertuturan lisan tetapi juga bahasa badan atau bahasa perantaraan melalui telefon dan lain-lain.

Suami juga perlu memelihara percakapan ketika bersama isteri kerana biasanya isteri mudah mengingati perkataan yang diucapkan oleh suami.

Firman Allah SWT maksudnya: “... Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik...”. (an-Nisa : 19)

Apabila sifat mawaddah dan rahmah berjaya dibina dan terbentuk dalam sebuah keluarga, maka lahirlah sakinah bukan sahaja kepada pasangan suami isteri tersebut tetapi seisi rumah tangga.

Natijahnya, suami akan melakukan tugas dengan ikhlas, jujur dan amanah. Manakala isteri pula sentiasa bekerjasama, hormat menghormati dan bertimbang rasa dalam pergaulan.

Rumah tangga yang tenang dipenuhi dengan amalan agama seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, solat berjemaah, majlis ilmu dan makan minum bersama.

Ketenangan dalam sesebuah rumah tangga turut boleh mempengaruhi masyarakat. Ini adalah kerana institusi keluarga merupakan sebuah negara kecil yang ditadbir oleh suami.

Justeru, keharmonian itu akan melahirkan perpaduan dan keamanan dalam sebuah masyarakat. Manakala, masyarakat sejahtera dan aman damai pula akan melahirkan negara yang rukun damai serta bersatu padu.

Sehubungan itu, dalam memastikan setiap rumah tangga yang dibina kekal hingga akhir hayat, maka setiap pasangan suami isteri perlu memiliki ilmu pengetahuan, amalan soleh, ekonomi stabil lagi halal, kesihatan baik dan hidup berpandukan kehidupan Rasulullah SAW.