Keadaan ini dapat diperhati melalui permasalahan berkaitan dengan soal ketelusan dalam pentadbiran, rasuah, kurang iltizam terhadap tugasan yang diamanahkan dan sebagainya, yang masih menyelubungi kedua-dua sektor berkenaan.

Langkah SIRIM QAS Intenational Sdn. Bhd. (SIRIM QAS) mempromosikan pengurusan MS1900:2014 Sistem Pengurusan Berasaskan Syariah mungkin antara usaha yang dapat membantu meningkatkan penghayatan nilai-nilai murni.

“Jika ada pihak tidak bersetuju dengan usaha sedemikian, mungkin boleh rujuk ayat 88 dalam Surah al-Naml menerusi penggunaan perkataan ‘atqana’ oleh Allah SWT untuk menceritakan soal ketelitian-Nya dalam menjadi dan mengatur sesuatu perkara.

“Begitu juga dalam hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi bermaksud: ‘Allah SWT amat mencintai apabila seseorang itu melaksanakan sesuatu, dilakukannya dengan penuh ketelitian’,” kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof. Dr. Azizan Baharuddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar MS1900:2014 Pensijilan Sistem Kualiti Pengurusan Berasaskan Syariah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar sehari anjuran SIRIM QAS dan IKIM itu dihadiri lebih 60 wakil komuniti perniagaan sama ada dari sektor awam mahu pun swasta.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan yang melibatkan wakil dari SIRIM QAS dan ilmuwan Islam dalam bidang berkaitan.

Tegas Azizan, jika diperhalusi maksud ketelitian itu, ia sebenarnya sama dengan konsep kualiti moden yang menekankan unsur kebaikan pada sesuatu barangan atau perkhidmatan kepada pengguna.

Kejayaan hakiki

“Cuma, konsep kualiti Islami seperti mana dalam MS1900 itu tidak hanya melihat unsur kebaikan dalam bentuk duniawi semata-mata tetapi juga kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.

“Mereka yang mengamalkan nilai-nilai mulia dalam melakukan kerja yang diamanahkan akan beroleh kejayaan di dunia dan mendapat keredaan-Nya di akhirat kelak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pembentang dari SIRIM QAS, Hanida Ghazali berkata, persijilan MS atau ISO yang diterima tidak seharusnya dianggap sebagai bahan yang hanya layak digantung di dinding-dinding pejabat sahaja.

Katanya, penganugerahan sijil tersebut perlu disusuli dengan usaha mengaudit secara berterusan tentang sejauh manakah amalan persijilan itu diamalkan oleh warga kerja mereka.

“(Ini kerana) saya berani cakap, jika usaha pengauditan tidak dilakukan, bukan hanya semua bahkan separuh daripada nilai-nilai murni pada persijilan itu tidak akan diingati warga kerja.

“Pihak pengurusan perlu buat tinjauan tentang sejauh manakah amalan nilai murni itu diamalkan,” katanya sambil mengaku agak sukar untuk membuat penilaian kerana nilai-nilai murni itu bukan dalam bentuk fizikal tetapi lebih kepada dalaman.

“Antara kaedah berkesan untuk menilai adalah dengan bertanya kepada rakan sekerja dan juga pelanggan.

“Selepas itu, buatlah kiraan untuk menentukan tahap manakah warga kerja tersebut berada.

“Jika berada pada tahap rendah, maka pihak pengurusan perlu melakukan usaha penambahbaikan agar ia tidak berterusan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid ketika bercakap di seminar sama percaya individu Muslim yang bermasalah untuk memahami dan menghayati nilai-nilai murni tersebut kerana dia tidak melihat Islam secara holistik.

Sifat agama islam

Ini kerana individu Muslim berkenaan tidak mendapat panduan atau gambaran sebenar tentang sifat agama Islam itu sendiri.

“Kekeliruan itu menjadi semakin bertambah teruk apabila wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ilmuwan Islam sendiri,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk, Syariah Secara Holistik.

Profesor di Jabatan Fikah dan Usul Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) itu menyatakan bahawa keadaan tersebut akan menjadikan pekerja berfikiran sempit dan jumud dalam banyak perkara, termasuk urusan kerjanya.

Dengan kata lain, dia tidak boleh menerima pandangan pihak lain dalam sesuatu perkara walaupun ia diutarakan oleh ilmuwan Islam yang kepakaran pengajiannya diiktiraf.

“Ajaran dan nilai Islam memang sesuai untuk sepanjang zaman. Cuma, kaedah atau mekanisme pelaksanaannya ada perbezaan jika dibandingkan dengan zaman dahulu.

“Untuk memahaminya, kita tidak boleh berpegang kepada seorang ulama atau sebuah buku kerana mungkin pandangan tersebut berasaskan latar masyarakat yang berbeza dengan kita,” katanya.