Sewajibnya kepelbagaian ini menjadi penyebab ketebalan iman kita kepada Allah: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan,” (al-Rum[30:22]).

Kepelbagaian rupa, bahasa dan ragam ini menjadikan hidup manusia penuh warna. Ia menjadi sebab manusia lebih terbuka untuk saling mengenali antara satu sama lain:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwa antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu),” (al-Hujurat[49:13]).

Faktor kehebatan nikmat Allah inilah yang menjadi inspirasi kepada pasangan suami isteri, Mohd. Ridzuan Abdul Ghani dan Rasheedah Zakariya untuk mengasaskan modul Soleh English (SE) kepada pelajar prasekolah dan sekolah rendah, sekali gus mampu mendekatkan diri dengan Allah, sayangkan Nabi Muhammad SAW dan sukakan al-Quran.

“Bahasa Inggeris bukan hanya sekadar subjek akademik tetapi ia adalah fardu kifayah. Proses belajar dan praktis pertuturannya adalah proses yang mendatangkan pahala 
dan dikira sebagai amal 
soleh,” jelas Mohd. Ridzuan, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang lebih mesra dengan panggilan Coach Ridz.

Beliau dan isterinya, Rasheedah atau Coach Sha yang berkecimpung dalam pengendalian kelas bahasa Inggeris sejak 2003 bercita-cita untuk membawa modul SE ke seluruh pelosok dunia khususnya dunia Islam.

“Setiap kali sesi SE, kami perkenal doa khusus untuk pelajar. Doa ini membantu meluruskan niat pelajar dan dapat memimpin mereka untuk memaksimumkan pahala sepanjang proses pembelajaran bahasa antarabangsa ini,” kata Coach Ridz.

Doa itu ialah:

  • O Allah Al ‘Alim please help me be good at English. So I can read, write, speak and listen and be a better servant.

            (Ya Allah Tuhan Yang Maha Mengetahui bantulah saya untuk mahir bahasa Inggeris, supaya saya dapat dengar, cakap, baca dan tulis serta menjadi hamba Allah yang lebih baik).

  • O Allah Ar Raheem please help me be good at English. So I can use it to serve the ummah and follow Rasulullah SAW.

            (Ya Allah Tuhan Yang Maha Pengasih bantulah saya untuk mahir bahasa Inggeris supaya dapat gunakannya untuk berkhidmat kepada ummah dan mengikut jejak Rasulullah SAW).

Pengisian kandungan SE

Kerangka penyampaian yang disyorkan meliputi lima elemen pemudah cara pembelajaran yang efektif.

“Kami panggil soleh delivery method. Start with a question. Open for answers. (Kaedah penyampaian soleh. Mulakan dengan soalan. Terbuka untuk jawapan).

“Lesson of the day. Explain/example/explore. Highlight learning points. (Pengajaran harian. Penjelasan/contoh/ meneroka. Memfokuskan isi utama pembelajaran). Semua aliran sesi SE menekankan konsep Learner-Centric atau konsep fokus kepada pelajar atau berpusatkan pelajar,” katanya.

Menurut Shafiza Suffian, seorang fasilitator yang menggunakan SE dalam sesi kelasnya, SE bukan sekadar memperkenal bahasa Inggeris kepada anak-anak tetapi memperlihat gambaran yang lebih luas mengenai bahasa berkenaan.

“Dahulu kami selalu bercerita tentang hero daripada kisah dongeng Inggeris. Kini kami ketengahkan kisah Rasulullah SAW dan sahabat. Antara modul SE ialah berkenaan Perang Badar. Kami sebagai guru dapat merasakan roh Islam semasa dan selepas kelas yang dikendalikan. Seronok, puas dan bermanfaat, dunia dan akhirat,” katanya.

“Kami menyediakan alat bantu mengajar dan sokongan dari segi latihan untuk semua guru yang mahu menggunakan SE sebagai modul utama atau sampingan dalam sesi kelas mereka.” kata Coach Ridz yang boleh dihubungi melalui talian 018-2843301 atau isterinya (012-2017353).

Ubah persepsi belajar bahasa Inggeris

Coach Ridz berkata, SE yang dimaksudkan bukan hanya soleh dari segi agama. Soleh yang bermaksud baik menjadi tunjang dalam SE kerana bahasa Inggeris yang baik akan didedahkan kepada anak-anak. Baik dari segi tatabahasa, sebutan dan pilihan perkataan.

“Kemahiran berbahasa Inggeris biasanya dilihat sebagai alat untuk mendapatkan habuan dunia semata-mata.

“Setelah berpuluh-puluh tahun bahasa ini diajar di negara kita, masih ramai yang belum mampu menguasai sepenuhnya bahasa antarabangsa ini. Kami yakin, jika bahasa Inggeris dipelajari untuk niat yang lebih besar dan mulia, bantuan daripada Pencipta bahasa itu sendiri pasti akan hadir.

“Hari ini kita dapati ada anak-anak yang selesa berbahasa Inggeris tetapi kekurangan adab. Ada anak-anak yang gunakan ‘Whatever!’ (apa-apalah) dan ‘Yeah right!’ dengan ibu bapa. Adakah ibu bapa akan berbangga dengan anak-anak sebegini?” soal beliau.

Jelas Coach Ridz, untuk membantu lebih ramai umat Islam terdedah dengan bahasa Inggeris yang soleh, mereka memerlukan bantuan dan sokongan khususnya guru-guru bahasa berkenaan pada peringkat sekolah rendah dan prasekolah.

“Kami menyediakan alat bantu mengajar dan sokongan dari segi latihan untuk semua guru yang mahu menggunakan SE sebagai modul utama atau sampingan dalam sesi kelas mereka.

“Perolehan bahasa pada peringkat umur ini sangat penting dan berkesan. Kami sudah sediakan lagu-lagu Nursery Rhymes yang mempunyai lirik mengenali Allah, sayang Nabi SAW dan suka al-Quran untuk diserap oleh anak-anak ini,” katanya.

Tambah Coach Ridz, melodi semua 10 lagu yang mereka perkenal adalah melodi biasa dalam lagu kanak-kanak berbahasa Inggeris.

Semuanya dikembangkan menjadi modul pembelajaran berpanjangan dan di hujungnya pelajar akan menangkap kosa kata, sebutan bahasa Inggeris tepat, tatabahasa mantap dan paling utama kandungan Islami yang menyuburkan jiwa.

Hasrat besar pasangan ini adalah untuk menjadikan sesi pembelajaran bahasa Inggeris sebagai satu sesi kerohanian tanpa meminggirkan unsur seronok dan interaktif dalam belajar yang sudah menjadi ciri utama pembelajaran abad ke-21.

“Pelajar akan dapat melihat kebesaran Allah yang mencipta bahasa dan menjadikannya sebagai alat penting untuk berkomunikasi sesama manusia dan Allah. Kandungan SE juga dirangka secara sistematik dan berdasarkan teknik penyampaian bahasa yang terbukti berkesan.

“Setiap kali selepas kelas, Insya-Allah iman dan takwa akan bertambah,” katanya sambil tersenyum.

Keistimewaan SETT, ia bukan hanya boleh digunakan oleh guru bahasa Inggeris tetapi oleh semua guru tanpa mengira subjek yang diajar. Sesi pembelajaran dipecahkan dalam slot-slot pendek untuk memudahkan guru dan fasilitator.