Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, mereka yang mempunyai fahaman Barat tidak seharusnya ikut masuk campur dalam budaya Timur dan agama Islam di negara ini.

Katanya, kenyataan itu bukan sahaja boleh mencetuskan provokasi, malah menjadi pemangkin kepada perpecahan masyarakat Malaysia khususnya penganut Islam.

“Amerika (Kedutaan AS) bukan orang Islam, tidak perlu masuk campur dalam hukum-hakam Islam. Kenyataan mereka ini boleh mencetuskan provokasi dalam kalangan masyarakat Malaysia, sekali gus mendorong kepada reaksi negatif orang bukan Islam di sini.

KENYATAAN Kedutaan AS di laman Facebook. - UTUSAN ONLINE

“Mereka jangan cuba untuk ‘import’ budaya songsang, anarkisme mereka ke dalam budaya kita iaitu masyarakat Timur terutamanya Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas sokongan terbuka Kedutaan AS terhadap Nisha Ayub, seorang transgender yang diturunkan gambarnya oleh pihak berkuasa pada Festival Georgetown di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menasihatkan masyarakat supaya tidak menghiraukan kenyataan tersebut dan meminta supaya Kedutaan AS tidak campur tangan dalam pentadbiran Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Saya menyokong tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa untuk menarik balik poster itu. Kita menghormati golongan minoriti ini, tapi tidak mahu menggambarkan kehidupan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE