Ini kerana ramai menyedari, halal bukan sahaja dinilai kerana bebas daripada unsur alkohol dan babi semata-mata, tetapi turut meliputi keseluruhan proses penghasilan bermula daripada sumber bahan, proses pengeluaran dan produk akhir.

Justeru, Malaysia yang merupakan antara peneraju sektor halal dunia terus menjadi rujukan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada seluruh dunia.

Namun, permintaan pasaran global dan tempatan itu diakui tidak mampu dipenuhi satu pihak.

Menyedari keperluan tersebut, empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) baru-baru ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membentuk Konsortium Institut Halal Malaysia.

Institusi tersebut adalah Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (Inhart), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Institut Penyelidikan Produk Halal (HPRI) Universiti Putra Malaysia (UPM); dan Institut Penyelidikan Halal, Universiti Malaya (IHRUM).

Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, setiap IPTA terlibat mempunyai kepakaran masing-masing, justeru kepakaran ini yang akan digunakan untuk membantu negara dalam memperkasa industri halal dalam dan luar negara.

Menerusi kerjasama itu juga tambahnya, diyakini mampu menghasilkan pelbagai ilmu dan hasil penyelidikan baharu dalam masa sama menghasilkan impak maksimum daripada dapatan kajian dijalankan.

“Saya mengakui, jika bergerak secara bersendirian kita tidak dapat memenuhi kehendak global, sebagai contoh di Inhart kita mendapat permintaan dari Korea, Jepun, Kanada dan beberapa buah negara lain. Dengan kemudahan prasarana dan tenaga kerja sedia ada tidak mencukupi.

“Industri halal global sangat besar, dianggarkan menyediakan peluang lebih RM12.9 trilion setahun untuk diterokai dan dimanfaatkan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini tidak mampu dipenuhi tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani MoU tersebut di UIAM, Gombak, Selangor.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad; Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris; dan Pemangku Naib Canselor UM, Profesor Dr. Awg. Bulgiba Awg. Mahmud.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadhilah Baharin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin.

TINGKAT NILAI KOMERSIAL

Perlu mendapatkan geran penyelidikan, menjalankan sesuatu kajian pada peringkat IPT lazimnya menelan belanja besar. Namun malangnya hasil dapatan kajian tersebut dilihat kurang memberi manfaat kepada golongan sasar kerana kebanyakan hasil kajian terhenti pada peringkat institusi dan tidak diperluas ke peringkat industri.

Sehubungan itu, Zaleha berkata, Konsortium Institut Halal Malaysia juga berperanan dalam pengkomersialan hasil penyelidikan yang dijalankan di samping membantu melindungi harta intelektual penyelidik.

“Setiap tahun banyak hasil kajian dikeluarkan oleh setiap universiti, namun malangnya kerana kekangan tertentu terutama kewangan, kajian tersebut tergantung dan tidak dapat dipasarkan.

“Lebih membimbangkan, terdapat sesetengah hasil kajian tersebut diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dapat menghidu nilai kebolehpasaran dengan menjadikannya sebagai pemilikan sendiri bagi mengaut keuntungan.

“Oleh itu, konsortium ini nanti yang akan melindungi hasil usaha penyelidik daripada diambil dalam masa sama dipasarkan untuk manfaat umum,” jelasnya.