Terlalu banyak keindahan dan kelebihan dimiliki rakyat negara itu. Ini kerana terdapat banyak nilai Islam tercerna dalam kehidupan rakyatnya, seperti mengamalkan kebersihan, sangat menghormati tetamu, tekun dan rajin bekerja, berdisiplin dan mencintai ilmu pengetahuan hingga menjadikan mereka sebuah bangsa yang sangat dikagumi di dunia.

Sebenarnya, semua itu telah terkandung dalam ajaran Islam, cuma umat Islam sahaja yang terlalu mengejar kebendaan hingga melupakannya.

Itulah antara dilema yang dihadapi para pendakwah di negara yang turut dikenali juga sebagai The Sleeping Muslims itu.

Antaranya ialah seorang jurutera kelahiran Tapah, Perak, Zulkarnain Hasan Basri, 43, yang telah menetap di Osaka, Jepun kira-kira hampir 10 tahun.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Taiping, Perak itu melanjutkan pelajaran ke Jepun pada 1994 di Niihama National College.

Selepas balik ke tanah air pada 1997, beliau diterima bekerja di sebuah syarikat Jepun di Malaysia.

Berdasarkan kepada prestasi cemerlangnya selepas 10 tahun menabur bakti, pihak pengurusan menawarkannya untuk bekerja di ibu pejabat syarikat tersebut di Osaka, Jepun.

Zulkarnain terus menyahut kepercayaan syarikat tempatnya mencari rezeki itu, sekali gus mengambil peluang keemasan untuk melebarkan kerja-kerja dakwahnya.

Pada 2008, beliau dan keluarganya, iaitu isteri warganegara Jepun yang dikahwininya pada 1998 dan tiga cahaya mata berpindah ke Jepun.

DILEMA DIHADAPI PENDAKWAH

Mahu diceritakan bahawa Islam mengajar kebersihan, antaranya mafhum daripada hadis, “Kebersihan itu separuh daripada iman,”. Tetapi masalahnya majoriti orang Islam pengotor, sekali gus tidak menghayati maksud hadis berkenaan.

Hendak diceritakan mengenai Islam yang mementingkan amanah dan integriti, iaitu mafhum daripada hadis, “Tidak beriman jika tidak amanah...,”. Masalahnya terlalu ramai umat Islam sendiri melakukan penyelewengan kuasa dan pecah amanah.

Hakikatnya, kesucian agama bukan dilihat daripada penganutnya tetapi kemurnian agama itu sendiri. Ajaran agama tidak silap, tetapi penganutnya yang salah. Seperti doktor pakar yang memberikan dos ubat tertentu, tetapi pesakitnya enggan mematuhi arahan, adakah doktor itu yang bersalah?

Ditanya kepada Zulkarnain mengenai fenomena ini, beliau mengakui bahawa agak sukar untuknya memperkenal Islam kepada masyarakat di Jepun, tetapi ia bukan penghalang sebaliknya menjadi perangsang untuk berusaha lebih gigih.

“Budaya dan gaya hidup mereka lebih ‘Islam’ daripada kita yang lahir sebagai Muslim. Sebenarnya tanpa disedari mereka banyak ikut sunah Rasulullah yang jauh lebih baik daripada kita. Jika hendak ditunjukkan akhlak murni, mereka lebih baik daripada kita,” katanya.

Beliau berkata, kaedah terbaik untuk ‘memasarkan’ Islam ialah melalui al-Quran dan Rasulullah SAW, ini kerana dalam budaya hidup mereka tiada konsep kitab dan rasul.

“Saya dapati ramai yang memeluk Islam selepas membaca tafsir al-Quran. Semasa berdakwah ramai juga yang terkejut dengan kehebatan al-Quran walaupun hanya sekadar mendengar bacaannya sahaja.

“Saya juga terangkan mengapa kitab Allah yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW ini begitu hebat dan ajaib.

“Setelah hampir lima tahun berdakwah di sini, al-Quran adalah yang terbaik. Biasanya saya terangkan maksud Bismillah, al-Fatihah, permulaan dua ayat Surah al-Baqarah, ayat Qursi dan Surah al-Ikhlas,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain menambah, budaya masyarakat Jepun juga pada dasarnya tidak memiliki konsep bersyukur yang membolehkan mereka mengucapkan sesuatu seperti lafaz Alhamdulillah.

“Contohnya, apabila melihat sesuatu yang hebat, kita tahu ia daripada Allah dan puji-Nya kerana kehebatan serta keindahan alam ini. Kita juga merasai rendah diri dengan kehebatan Allah.

“Tetapi tidak bagi mereka (Jepun) apabila melihat benda hebat, ia seolah-olah tidak menusuk masuk ke dalam jiwa mereka. Tidak tahu hendak berterima kasih kepada sesiapa. Mereka tengok benda dan takjub kerana kehebatannya... habis di situ sahaja.

“Ini contoh yang dapat kita terangkan kepada mereka mengenai konsep bersyukur atau Alhamdulillah,” katanya.

Kempen wakaf tafsir al-quran dan hadis

Kempen ini bermula sekarang sehingga Ramadan. Tujuannya untuk menyediakan tafsir al-Quran dan kitab hadis berbahasa Jepun kepada rakyat Jepun untuk mengenali dan mendalami Islam.

Anggaran harganya ialah RM110 senaskhah (harganya berubah mengikut tukaran mata wang asing).

Kumpulan ini berdakwah di Masjid Kobe dan sekitar Osaka kepada warga Jepun yang berminat untuk belajar Islam.