Tatkala musuh Islam tidak pernah jemu melihat pertelingkahan berlaku dan bermaharajalela dalam kalangan umat Islam, isu remeh terus diperdebat sehingga berlaku perpecahan dan perbalahan di negara-negara Islam di seluruh dunia. Ditambah dengan perbezaan mazhab, umat Islam sekali lagi seakan-akan terus dibelenggu dengan kemelut perbezaan pendapat yang seakan tiada penghujung.

Kegagalan umat Islam untuk bersatu dalam menghadapi ujian yang kadangkala tercetus akibat perselisihan faham, seterusnya bertukar menjadi virus besar dan meletusnya perang saudara.

Maka bermulalah episod luka apabila pemerintahan Islam menjadi semakin lemah dan Islam ditawan secara tidak langsung oleh kuasa-kuasa besar negara Barat.

ISLAM TERBELAH

Setiausaha Agung Persekutuan Sufisme Dunia, Dr. Mazen Cherif berkata, seakan-akan terbatas kerana ‘dibahagikan’ mengikut mazhab-mazhab yang ada, perkara tersebut menjadi tembok besar memisahkan kesepakatan umat Islam di seluruh dunia.

Beliau yang juga aktif dalam penulisan keselamatan komprehensif berkata, perkara tersebut seharusnya tidak dijadikan alasan kepada perbalahan dan kerapuhan umat Islam sejagat, sebaliknya perlu diangkat sebagai kepelbagaian pendapat dalam menyelesaikan permasalahan mengikut kesesuaian sesebuah masyarakat Islam.

Mazen yang juga pakar kesusasteraan bahasa Arab dari Tunisia itu berkata, sikap ego dan tetap mahu mempertahan pendirian peribadi oleh sebahagian kepemimpinan utama sesebuah negara Islam menjadikan situasi bertambah sukar, sekali gus menjadi pencetus kepada perpecahan dan keharmonian yang berjaya dicipta sebelum ini.

“Perbalahan dalam perkara-perkara kecil termasuk perbezaan pendapat yang dipegang oleh pengikut dalam mazhab-mazhab tertentu adalah perkara lapuk yang harus diketepikan, sebaliknya umat Islam di seluruh dunia harus bersatu bawah payung yang sama iaitu dengan kalimah syahadah yang satu dan ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Sampai bila kita sebagai umat Islam harus berbalah dan saling bunuh membunuh antara satu sama lain, sedangkan pengikut agama lain sudah jauh ke hadapan mencipta kejayaan,” katanya yang ditemui Mega Mimbar Utusan Malaysia, baru-baru ini.

RAIKAN PERBEZAAN

Sehubungan itu, Mazen berkata, umat Islam seharusnya berkomunikasi secara harmoni apabila berhadapan dengan apa jua masalah, selain mengamalkan sifat tolak ansur jika terdapat percanggahan pendapat.

Sebaiknya menurut beliau, umat Islam harus meraikan perbezaan pendapat kerana di situ pastinya terdapat hikmah yang mahu diberikan oleh Allah SWT kepada penyelesaian yang jauh lebih baik.

Tegasnya, peperangan adalah jalan penyelesaian paling akhir, namun sebaiknya ia tidak dilaksanakan kerana memberi kemudaratan teruk kepada kedua-dua belah pihak yang bertelagah.

Tambahnya, sekiranya kita boleh menghormati orang bukan Islam, kenapa dengan insan seagama kita tidak boleh melakukan perkara sama?

Jelasnya, musuh Islam sentiasa mahu menggunakan kelemahan dan perpecahan dalam ummah sebagai modal menghancurkan Islam sama ada secara sedar atau sebaliknya.

Menurutnya, menerusi ilusi yang diciptakan oleh media Barat, perkara batil yang sering kali dimainkan akan diterima oleh minda umat Islam, seterusnya menjadi senjata terbaik memusnahkan Islam menerusi umatnya sendiri.

Untuk itu katanya, seharusnya umat Islam bersatu hati dalam apa jua perkara dan mengetepikan sebarang perkara yang boleh menjuruskan kepada perpecahan atau perbalahan yang bakal merugikan ummah, seterusnya memberi kelebihan kepada musuh Islam memberi tekanan kepada Islam itu sendiri.