Jika tanpa panduan hidup, sanggupkah kita mengikut hukum rimba? Yang kuat dan perkasa menjadi raja, manakala yang lemah menjadi mangsa.

Begitu juga dalam kehidupan di dunia. Sekiranya tanpa panduan yang kukuh, kehidupan manusia akan menjadi kucar kacir apabila hawa nafsu secara sah bergelar ‘tuan’.

Pelbagai permasalahan akan timbul ekoran godaan syaitan dan kehidupan menurut hawa nafsu. Malah dunia pasti akan bergolak apabila berlaku keruntuhan akhlak dan nilai-nilai murni diketepikan daripada dalam diri manusia.

Bagi menangkis semua permasalahan tersebut, Allah SWT mengutuskan nabi dan rasul ke muka bumi sejak zaman berzaman untuk memperbetul akhlak dan hati manusia yang sememangnya mudah terpengaruh dengan kemungkaran.

Begitu juga dengan perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai pelengkap kepada peradaban umat akhir zaman. Bukan sekadar membetulkan sikap dan akhlak masyarakat zaman jahiliah yang jauh tersasar dengan nilai-nilai kemanusiaan tetapi membentuk sahsiah tinggi dalam diri seluruh manusia tanpa mengira bangsa.

Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Datuk Zakaria Stapa berkata, perutusan Rasulullah SAW adalah membetulkan akhlak seluruh manusia dan membawa mereka ke jalan benar.

Beliau yang juga Penyandang Kerusi Sheikh Abdullah Pahim di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, selain mempunyai akhlak terpuji yang seharusnya dijadikan contoh dalam kehidupan manusia sejagat, mukjizat terbesar Baginda Rasulullah SAW iaitu al-Quran adalah panduan yang seharusnya dijadikan amalan dalam kehidupan.

“Manusia sama sekali tidak akan tersesat dalam kehidupan sekiranya mereka sentiasa merujuk kepada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW sebagai panduan. Malah akhlak Baginda juga adalah sama seperti apa yang terdapat dalam al-Quran.

“Sekiranya al-Quran dijadikan pegangan hidup, pasti kehidupan manusia akan selamat dunia dan akhirat kerana mereka yang membaca al-Quran tidak berminat untuk buat maksiat.

“Al-Quran mengajar manusia untuk berakhlak baik, menerap nilai-nilai murni dan menolak segala perbuatan keji termasuk meminum arak, berjudi, berzina serta mengambil rasuah, selain patuh segala larangan yang ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sempena penganjuran World #QuranHour yang dijangka berlangsung pada penghujung bulan ini. Dalam penganjuran pertama program tersebut pada tahun lalu, sebanyak 70 lokasi di 50 buah negara menyertai kempen tersebut.

Di Malaysia, sebanyak 700 lokasi termasuk masjid, surau dan institusi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan majlis membaca al-Quran secara beramai-ramai.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Panel Pakar Akidah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sebagai rujukan utama dalam kehidupan, al-Quran mengajar manusia dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk bidang sains teknologi, ilmu alam, ekonomi serta perundangan.

Katanya, ilmu yang terdapat di dalam al-Quran adalah begitu mendalam sekiranya dikaji oleh manusia, malah menjadi ‘pengubat yang sangat mujarab’ kepada segala permasalahan manusia.

Jelasnya, bukan sahaja memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan, al-Quran juga penenang hati manusia yang gundah gulana kerana ayat-ayat dalam kitab suci itu adalah kalimah Allah SWT.

Tambahnya, berinteraksi secara terus kepada Yang Maha Kuasa dengan kalimah-Nya, hati yang membacanya bakal menjadi tenang dan mendapat hidayah secara berterusan untuk melayari kehidupan sementara yang bahagia di muka bumi.

Ditanya bagaimana mahu membentuk sebuah kecintaan kepada al-Quran, beliau berkata, terdapat tiga langkah utama yang boleh dipraktikkan iaitu membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

Selain itu katanya, institusi kekeluargaan memainkan peranan penting untuk membentuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda, selain disokong oleh persekitaran Islamik dalam masyarakat termasuk di alam persekolahan.

Tambahnya, pelaksanaan hukum hakam Islam secara bersepadu yang berlandaskan al-Quran dan sunah perlu dipertingkat di seluruh lapisan masyarakat, seterusnya berupaya membangkitkan keindahan dan kecintaan mengamalkan cara hidup Islam sebenar dalam kehidupan.

“Kehidupan di dunia adalah sekadar pinjaman. Buatlah amal soleh sebanyak mungkin untuk memperoleh pengakhiran kehidupan baik di akhirat kelak.

“Adakah orang yang membuat maksiat tidak tertarik dengan tawaran syurga yang disediakan oleh Allah SWT? Adakah mereka juga tidak gerun dengan ancaman neraka?,” soalnya semasa mengakhiri sidang akhbar baru-baru ini.