Meneliti manifesto PRU-14 gabungan pembangkang PKR baru-baru ini terutama berhubung dengan hal ehwal Islam. Penulis tidak berhasrat memperkatakannya dari segi ekonomi, percukaian dan lain-lain yang mungkin diperincikan oleh tokoh lain.

Sedikit kegusaran terdetik di hati dengan maklumat yang diperoleh di mana seorang tokoh mereka mengatakan kumpulan yang menggelarkan diri sebagai kumpulan G25 antara yang dirujuk dalam penyediaan manifesto itu.

Seperti yang dimaklumi, G25 adalah sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh bekas penjawat awam kerajaan yang diragui idea dan pemikiran. Mereka pernah mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Antara yang dicadangkan untuk dimansuhkan ialah hukuman perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang. Menurut mereka, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa pelaku dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

AGENDA TERSEMBUNYI?

Bagi mereka, Malaysia satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu. Begitu juga, dalam majlis berasingan pada 6 Februari lalu dan disiarkan dalam banyak laman sosial ketika ditanya mengenai pendirian terhadap Jakim, seorang daripada pemimpin mereka menyebut: “Itu (sama ada Jakim diperlukan lagi) terpulang kepada kita, kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal).” Inilah kegusaran yang dirasai penulis. Adakah ini acuan pemikiran yang diperlukan dalam memartabatkan Islam di negara ini?

Setelah diperhalusi, kegusaran penulis terbukti kerana memperlihatkan seolah-olah seperti ada agenda tersembunyi yang disebut iaitu “kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan.”

Inilah usaha kumpulan pendokong idea liberalisme dan pluralisme untuk mewajarkan penghapusan institusi Islam di peringkat Persekutuan kerana kononnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Asasnya, Jakim adalah relevan. Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah Perkara 12(2) untuk menubuhkan dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi-institusi Islam. seperti masjid-masjid, sekolah-sekolah agama dan sebagainya.

Manakala kuasa bagi hal ehwal Islam terletak di bawah kuasa Sultan di setiap negeri seluruh negara. Raja-Raja Melayu mendapat nasihat daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal berhubung dengan pentadbiran dan kemaslahatan umat Islam.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dan perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal Islam terus diwarisi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Manifesto gabungan itu turut memaparkan isu hak asasi ini sebagai agenda utama. Dinyatakan hasrat untuk segera meratifikasikan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang belum diratifikasi. Antaranya Malaysia dituntut menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR).

Perkara 18 ICCPR menyatakan:

  • Perkara berhubung hak kebebasan beragama.
  • Implikasi penerimaan ICCPR bakal membenarkan pemurtadan berlaku di Malaysia.
  • Menuntut penghapusan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat.
  • Kesan pemansuhan seksyen ini boleh mendorong kepada pengiktirafan perkahwinan sejenis kerana liwat tidak lagi dianggap sebagai jenayah.

Selanjutnya membuka ruang kepada pengenalan undang-undang perkahwinan sesama jenis yang setakat ini telah dibenarkan di 14 buah negara seluruh dunia. Paling hampir, Thailand dilaporkan sedang menimbang untuk memperkenalkan undang-undang perkahwinan sejenis ini.

SEMUANYA KERANA TAKSUB

Jangan kerana terlalu taksub, semata-mata demi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review menjadi lebih baik dan selaras dengan perkembangan dunia sehingga menjual kelangsungan dan survival ummah.

Ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani daripada mencari kebenaran. Umat Islam perlu sedar terdapat usaha berterusan musuh memesongkan umat Islam. Umat Islam perlu bersatu mendaulatkan Islam dan berganding bahu mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sungguh kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi SAW menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka,” - Riwayat Muslim.

Umat Islam perlu mempunyai sudut pandang yang benar, bukan melihat dari sudut pandang liberalisme dan pluralisme. Iaitu:

  • Baik dan buruk sesuatu dasar turut melibatkan hukum halal dan haram.
  • Implikasinya adalah halal tetap halal dan haram tetap haram, bukan mengubah hukum halal dan haram mengikut nafsu serta akal semata.
  • Semua pihak perlu mengambil pendekatan penilaian dan tabayun serta membuat perbandingan memilih perkara yang baik dan serasi dengan ajaran Islam serta menjauhi elemen-elemen meragukan.

SEDIA HADAPI DAKYAH SONGSANG

Semua orang boleh merancang, tetapi bukan bererti semua perancangan adalah betul. Umat Islam perlu bersedia mendepani dakyah segelintir yang mencipta Islam versi ekstrem dan liberal. Sedar atau tidak sedar terdapat kecenderungan untuk memilih Islam liberal yang sengaja dicipta untuk menyesatkan umat Islam sendiri.

Umat Islam perlu mentadabbur, memikir dan mengambil iktibar setiap perkara yang berlaku. Kemampuan bertabayun dengan maklumat yang diperoleh akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah dalam era yang serba mencabar hari ini.

Semua pihak perlu menggerakkan ‘fiqh tabayun’ sebagai disiplin ilmu semasa berurusan dengan fakta dan kebenaran serta mengajak masyarakat berhati-hati dan teliti dengan semua maklumat yang diperoleh.

Politik bukan sekadar memburu kuasa dan pengaruh tetapi perantaraan untuk mengurus tadbir membangunkan agama, bangsa, negara dan amanah memenuhi hasrat serta keperluan rakyat.

Melalui tabayun, tadabbur, fikir dan mengambil iktibar menjadikan manusia sedar tentang kelemahan diri masing-masing. Semua warganegara perlu menjadi pendorong yang bertanggungjawab membina negara berteraskan syariat Allah SWT.