Setiap warganegara yang telah mendaftar sebagai pengundi mempunyai hak untuk memilih pemimpin melalui kuasa undi. Majoriti ulama berpendapat, setiap Muslim berperanan dalam proses pengundian kerana mengundi dalam pilihan raya merupakan kaedah dalam memilih pemimpin.

Jadi, hukumnya adalah wajib. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jika tiga (orang Islam) keluar bermusafir, maka lantiklah seorang daripadanya sebagai ketua.” - Riwayat Abu Daud

Para ulama juga berpendapat bahawa memilih pemimpin melalui sistem demokrasi dan pilihan raya adalah urusan dunia yang diharuskan. Ini berasaskan kaedah fikah yang bermaksud ‘asal kepada sesuatu adalah harus’.

Pilihan raya mempunyai persamaan dengan konsep baiah. Sebahagian ulama berpendapat pilihan raya termasuk dalam konsep tolong menolong dalam perkara kebaikan dan kebajikan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2 bermaksud: “Hendaklah kamu bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah).”

Dilaporkan bahawa kira-kira 1.8 juta orang Melayu di negara ini sudah cukup umur tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih. Sebahagian besarnya adalah golongan muda. Ini merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan dan menunjukkan betapa tidak cakna sebahagian daripada kita tentang tanggungjawab memilih pemimpin.

Dalam sistem pilihan raya yang dilaksanakan di negara ini, setiap individu yang berdaftar sebagai pengundi berperanan menentukan pemimpin bakal mewakili suara mereka bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sistem demokrasi juga memberi kebebasan untuk sesiapa jua bertanding dalam pilihan raya jika melepasi syarat-syarat ditentukan. Oleh yang demikian ada bermacam jenis individu dengan bermacam jenis ideologi serta perwatakan peribadi akan tampil sebagai calon pemimpin.

Di sinilah letaknya peranan pengundi untuk memilih calon terbaik bagi memimpin mereka sama ada pada peringkat DUN dan kawasan Parlimen.

FAHAMI CIRI PEMIMPIN

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, kita sepatutnya terlebih dahulu memahami ciri-ciri individu yang layak diangkat sebagai pemimpin. Al-Quran dan hadis Rasulullah banyak memberikan panduan tentang ciri sewajarnya.

Antaranya ialah taat kepada Allah dan Rasul-Nya, beriman, menjaga solat, sentiasa takut kepada Allah dalam segala tindak tanduknya, sentiasa berpegang kepada al-Quran dan sunah serta banyak lagi.

Allah berfirman bermaksud: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Kita tidak seharusnya mengangkat pemimpin dalam kalangan mereka yang dikenali dengan kejahatannya, suka mengikut hawa nafsunya atau pernah terlibat dengan rasuah.

Pilihlah pemimpin yang berakhlak mulia, benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyatnya, adil, sudi menerima teguran orang lain serta bukan daripada jenis orang yang suka meminta-minta jawatan.

Ini kerana sikap ambil mudah atau mengabaikan tanggungjawab mengundi boleh membawa kepada kesan yang buruk. Apakah kita mahu dipimpin oleh orang yang tidak amanah, tidak pandai mentadbir atau orang yang jelas menentang hukum Allah?

  •  Majoriti ulama berpendapat, setiap Muslim perlu ambil peranan dalam proses pemilihan pemimpin
  •  Kira-kira 1.8 juta orang Melayu yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar
  •  Sebahagian besarnya adalah golongan muda
  •  Pilih pemimpin yang sentiasa taat kepada perintah Allah, Rasul
  •  Jangan pilih dalam kalangan orang dikenali dengan kejahatannya
  •  Sikap ambil mudah atau mengabaikan tanggungjawab mengundi boleh membawa kepada kesan buruk kepada masa depan ummah