Pengarah Eksekutif SETF, Mouaz Moustafa berkata, pihaknya akan terus berusaha memaparkan realiti sebenar berlaku di negara bergolak tersebut ekoran pertempuran antara pihak pemberontak dan tentera bawah pimpinan Assad yang menyaksikan banyak insan tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman.

Katanya, selain membawa seorang pemuda yang menjadi mangsa kekejaman rejim Assad iaitu Mazen Al-Hummada sebagai ‘saksi hidup’ menceritakan kembali pengalaman diseksa bagi membolehkan pihak rejim mendapatkan pengakuan tidak sah untuk dihantar kepada pihak pengadilan dunia, pihaknya turut sama membawa bukti lebih besar bagi disaksikan oleh dunia.

“SETF akan terus berjuang dan mendedahkan kezaliman dilakukan oleh rejim Assad kepada dunia menerusi penganjuran forum dan pameran bahan bukti serta gambar-gambar penyeksaan yang didedahkan oleh bekas jurugambar pasukan forensik polis rejim Assad iaitu Caesar.

“Bahan bukti Caesar yang didedahkan itu bersama pengalaman ngeri yang disampaikan secara langsung oleh Mazen diharap dapat membuka mata masyarakat dunia berhubung kezaliman dan kekejaman dilakukan demi mendapatkan pengakuan yang dipaksa daripada insan tidak bersalah termasuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega Mimbar sempena penganjuran Forum dan Pameran berhubung ‘Penyeksaan di Syria dan Fail Pendedahan Caesar’, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pameran tersebut, pelbagai gambar eksklusif penyeksaan oleh pihak tentera Assad yang diambil Caesar semasa bertugas didedahkan kepada orang ramai bagi dijadikan bukti kukuh terhadap kezaliman dilakukan.

Mengulas lanjut, Mouaz berkata, bertindak sebagai badan yang menyokong usaha pembelaan terhadap rakyat Syria yang ditindas oleh rejim ganas, SETF juga melaksanakan tugas kemanusiaan dan bertindak menyebar kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat dunia terhadap kekejaman sistem diktator Assad.

Menurutnya, SETF turut bertindak menegakkan keadilan buat generasi muda di negara bergolak tersebut, seterusnya memperjuang hak rakyat Syria yang tidak dibenarkan bersuara.

“Masih ramai rakyat Syria terperangkap dan menjadi pelarian akibat krisis pemberontakan.

“Ada yang cuba bertindak melepasi sempadan ke Turki dan negara lain.

“Malah dengan bukti kukuh menerusi gambar yang diambil Caesar dan didedahkan kepada masyarakat dunia, diharap usaha ini dapat mengembalikan keadilan buat rakyat,” katanya.

Tambahnya, ratusan ribu rakyat terbunuh dan ditahan bawah pimpinan Presiden Assad pada masa ini.

Tambahnya, semua pelarian Syria yang ditemui bertekad untuk pulang ke negara asal dan membangunkan semula negara itu pada suatu hari nanti, sekali gus mengembalikan keamanan di negara berkenaan.

Bagi menjayakan hasrat pelarian itu, katanya, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia bersedia untuk membantu kumpulan pelarian dengan menyebarkan maklumat tepat berhubung apa yang terjadi di Syria.

Selain itu, beliau juga berharap mana-mana negara yang sedia membela nasib pelarian Syria diharap dapat membantu kumpulan pelarian tersebut dengan memberikan tahap pendidikan sebaik mungkin kepada anak-anak pelarian, supaya langkah itu dapat membantu mereka memiliki tahap pendidikan terbaik dalam membangunkan Syria pada masa hadapan.

“Semoga inisiatif semua pihak akan mengembalikan keamanan di Syria.

“Terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan bantuan kepada pelarian Syria bagi mendapatkan pelindungan. Semoga Allah SWT membalas jasa baik anda semua,” katanya penuh kesyukuran.