Namun begitu, seni Islam merupakan satu jenis seni yang dikaitkan dengan wilayah yang berada bawah pemerintahan Islam oleh para sarjana Barat. Perbincangan tentang seni Islam dipelopori sarjana Barat yang turut menjadi pengumpul koleksi seni berkenaan kerana kagum dengan kemahiran dan kreativiti yang ditunjukkan.

Kepelbagaian jenis barangan seni, bentuk, teknik dan warna yang dihasilkan di wilayah Islam dilihat sebagai sesuatu yang asing dan unik di negara Barat.

Kehalusan dan kualiti yang dimiliki barangan kesenian Islam seperti bilah pedang Damsyik, seramik Iznik, senjata api dan kertas menjadikan barangan kesenian Islam satu barangan mewah yang ditempah khas dan dikumpul oleh warga Barat yang singgah atau bertugas di sesebuah wilayah Islam.

MENJADI SATU SENI ‘KAKU’

Abad demi abad berlalu sehingga ke hari ini, seni Islam yang dahulunya dilihat sebagai satu seni yang mempunyai pelbagai ragam bentuk dan hiasan, kini dilihat semakin lama semakin kaku.

Barangan seni masih dihasilkan dan kemahiran diwarisi tetapi yang hilang adalah inovasi. Seni Islam yang diguna pakai hari ini dilihat tidak lebih daripada sebagai satu salinan bentuk seni dari zaman lampau baik dari segi penulisan kaligrafi, kerja logam, seramik dan lain-lain.

Kelainan yang boleh dilihat adalah dari segi bahan dan cara ia dihasilkan namun bukan dari segi jenis tulisan.

Sebagai contoh, seni kaligrafi kontemporari dihasilkan menggunakan kanvas, berus dan warna yang berbeza dari zaman lampau namun ia masih mengekalkan gaya tulisan yang sama seperti nasakh, thuluth, diwani, nastaliq, dan kufik. Ada juga tulisan kaligrafi dihasilkan dengan perisian komputer yang masih menggunakan gaya tulisan yang disebutkan itu.

Selain dari seni kaligrafi, motif geometri juga dilihat kaku. Jika zaman dahulu motif geometri boleh menjadi identiti sebuah wilayah atau pemerintahan kerajaan Islam yang berlainan, kini ia dilihat sebagai satu iaitu Islam. Antara corak geometri Islam yang terkenal dalam kesenian Islam ialah pada zaman pemerintahan Dinasti Mamluk di Mesir.

Corak geometri mendapat kepelbagaian dari segi ragam bentuk dan warna yang terang seperti hijau, jingga, hitam dan biru gelap. Pada hari ini, hampir semua seni bina yang menggunakan bentuk geometri Islam dalam rekaannya masih mengekalkan bentuk dan warna yang diambil daripada pembacaan atau yang diminta oleh pemilik bangunan.

Lazimnya mereka tidak dapat menerima inovasi baharu sebagai hasil seni geometri Islam jika ia bukan seperti yang digunakan di wilayah Islam dahulu.

Jika dahulu istilah seni Islam diperkenal oleh sarjana Barat secara literal merujuk kepada barangan yang dihasilkan di wilayah Islam maka sudah sampai masanya sarjana dunia Islam memperkenal satu anjakan baharu dalam seni Islam.

Ia bagi meluaskan skop seni itu sendiri yang meliputi bukan sahaja sempadan geografi tetapi semangat dan konsep yang selari dengan ajaran Islam walaupun ia dihasilkan oleh wilayah bukan Islam dan dalam rekaan baharu.

Sebagai contoh, bentuk seni bina mesra alam yang seiring dengan tugas seorang Muslim sebagai khalifah di bumi ini dalam menjaga hubungannya dengan alam.