Pada hari ini serban mungkin satu istilah yang berkait rapat dengan Islam, namun di Malaysia konsep serban juga turut terdapat dalam masyarakat Sikh dan India dengan nama panggilan berbeza.

Pakaian lelaki ini walaupun nampak mudah dan dilihat tidak begitu penting pada hari ini, namun ia merupakan satu identiti serta simbol kepada beberapa perkara dalam masyarakat tradisional di seluruh dunia.

Antara masyarakat tradisional dunia yang menggunakan serban sebagai satu aspek pakaian golongan lelaki mereka ialah masyarakat Arab, India, Asia Barat dan Nusantara. Ahli masyarakat ini terdiri daripada penganut agama berbeza seperti Islam, Kristian, Yahudi, Hindu dan Sikh.

Persamaan pada teknik atau seni pemakaian serban di wilayah yang disebutkan ialah menggunakan lilitan kain. Lilitan kain ini menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz mengikut tradisi dan kreativiti masyarakat serta nama yang unik.

Sebagai contoh, warna memainkan peranan penting dalam pemakaian serban bagi masyarakat tradisional Sikh seperti warna merah jambu atau merah digunakan sewaktu majlis perkahwinan dan keraian, manakala warna oren atau jingga dan hitam untuk situasi formal.

Dalam agama Islam pemakaian serban dilihat sebagai satu daripada sunah Rasullullah SAW. Warna serban yang sering menjadi pilihan pula ialah putih tetapi warna seperti hijau juga kadangkala digunakan.

Ajaran Islam yang universal dan pemahaman ajaran Islam sama ada dalam kalangan ahli agama dan cendekiawan Islam pada zaman kegemilangan dinasti Islam telah menghasilkan variasi dan seni lilitan serban sangat menarik.

Hasilnya, dalam wilayah Islam sahaja, terdapat pelbagai jenis saiz dan lipatan serban digunakan bagi meneruskan tradisi pakaian Rasulullah. Kerajaan Uthmaniyah di Turki merupakan satu contoh Dinasti Islam yang banyak memperlihat variasi lipatan serban.

Seni lipatan serban yang digunakan dalam Dinasti Uthmaniyah berkembang hasil kreativiti ditonjolkan oleh pemerintah Uthmaniyah sendiri seperti Sultan Murad I, Sultan Selim I, Sultan Sulayman I dan Sultan Salim I.

Lipatan serban dalam Dinasti Uthmaniyah menggunakan sejenis topi kain felt yang tinggi sebagai asas kepada lilitan kain di atas kepala. Topi yang digunakan direkodkan dalam beberapa artikel berkaitan pakaian Dinasti Uthmaniyah sebagai berbentuk kon dan ia dililit dengan kain muslin lembut.

Antara nama digunakan bagi merujuk kepada gaya lipatan serban yang digunakan oleh beberapa pemerintah Uthmaniyah ialah seperti horasani, mucevveze, uskuf, yusufi dan selimi.

Dalam sejarah Dinasti Uthmaniyah terdapat Dikri Diraja dikeluarkan oleh Sultan Murad III dalam abad ke-16 yang menghalang penganut Yahudi memakai serban dan mereka dibenarkan memakai topi berwarna merah atau hitam. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan membentuk identiti masyarakat ketika pemerintahannya.