Ini kerana melaluinya, kita bukan hanya berpeluang memahami pemikiran dan asas perjuangannya tetapi juga latar belakang masyarakat ketika ulama tersebut masih hidup.

Antara ulama silam yang menjadi perhatian masyarakat Muslim masa kini adalah Bediuzzaman Said Nursi. Beliau yang berasal dari Turki itu dilahirkan pada 1877.

Menariknya tentang ulama itu, tidak hanya menghasilkan sebuah buku tafsir al-Quran yang membahaskan isu dalam kehidupan manusia iaitu Risale I Nur atau Risalah An Nur, bahkan beliau melalui detik-detik kejatuhan empayar Uthmaniyah.

Beliau juga turut berpeluang menyaksikan pihak pemerintah Turki selepas itu mula menunjukkan penentangan terhadap Islam dan mengetengahkan dasar sekularisme.

Namun begitu, apa yang lebih penting adalah Bediuzzaman tidak seperti ulama sezamannya iaitu beliau turut menguasai ilmu-ilmu lain seperti fizik, matematik dan falsafah.

Ini kerana beliau percaya melalui penguasaan ilmu yang pelbagai sahaja membolehkan teologi Islam dapat diperbaharui dan pada masa yang sama dapat menjawab serangan-serangan terhadap kebenaran al-Quran dan Islam.

Ternyata dengan tarikan-tarikan itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bakal menganjurkan satu seminar bagi membincangkan pemikiran tokoh Islam itu pada 12 Mei ini (Sabtu) di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Seminar sehari itu turut mendapat kerjasama dari Persatuan Kebudayaan Malaysia-Turki (MTCA), Perhimpunan Belia Islam Dunia (WAMY), Istanbul Foundation for Science and Culture (IFSC) dan UM sendiri.

Menurut kenyataan akhbar Yadim, sebanyak empat kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa tokoh dari Turki dan tempatan.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Mohd. Khamis Mohamad Sani (013-7359729) atau Mohd. Yuswandi Abdul Majid (019-2827303).