Ia merupakan antara rekaan seni penting dalam kehidupan bangsawan Empayar Uthmaniyah. Nalin merupakan sejenis selipar untuk kegunaan khas sewaktu berada dalam rumah mandi atau dewan mandi. Kasut ini mempunyai rekaan asas yang sama untuk kegunaan kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak iaitu tumit, tapak dan tali pengikat pada bahagian atas.

Nalin direka bagi mengelakkan kaki daripada terkena air kotor, sabun dan kotoran yang ada dalam dewan mandi. Tidak seperti di alam Melayu yang mempunyai tempat mandi persendirian di kediaman masing-masing, Empayar Uthmaniyah mempunyai rumah mandi atau dewan mandi untuk digunakan secara beramai-ramai, namun berasingan bagi lelaki dan wanita.

Tempat ini juga boleh menjadi lokasi pertemuan dan bersosial bagi masyarakat pada waktu itu. Kebanyakan rumah mandi atau dewan mandi mempunyai bekalan air sejuk dan panas semula jadi serta pekerja yang bertugas untuk menyental daki serta mengurut .

Bahan yang digunakan adalah daripada pelbagai kayu bermutu tinggi seperti kayu walnut dan cendana. Ia kemudiannya diselaputi dengan bahan yang lebih indah dan mahal seperti emas, perak, kulit ibu mutiara serta kulit kura-kura.

Selipar direka khas ini mempunyai ketinggian bersesuaian supaya kaki pemakai tidak terendam dalam air bertakung di rumah mandi. Namun begitu, ia juga turut membawa maksud tersirat iaitu ketinggian selipar kayu Nalin ini juga digunakan oleh kaum wanita pada zaman itu sebagai lambang hierarki mereka dalam masyarakat.

Seorang pengembara Eropah yang melawat Empayar Uthmaniyah pada sekitar abad ke-16 dan 17 merekodkan ketinggian selipar ini adalah antara lima hingga 30 sentimeter. Ia lebih tinggi daripada ketinggian kasut tinggi digunakan oleh wanita moden pada hari ini.

Malah, petugas yang melayani wanita daripada golongan bangsawan juga turut menggunakan Nalin bersaiz tinggi. Berkemungkinan ia bagi memudahkan tugas mereka membersihkan badan pelanggan golongan atasan tersebut.

Satu lagi fakta yang menarik tentang Nalin ialah rekaan bahagian tapak selipar kayu ini direka bersesuaian dengan anatomi tapak kaki si pemakai supaya menghasilkan kestabilan ketika berjalan dan berdiri bersesuaian dengan ketinggian mereka.

Walaupun Nalin merupakan selipar kayu yang digunakan dalam rumah mandi namun ia mempunyai tugas penting dalam tradisi dan budaya masyarakat Uthmaniyah terutamanya ketika majlis perkahwinan.

Sebelum majlis perkahwinan, saiz tapak kaki pengantin perempuan akan diukur dan diberikan kepada keluarga pengantin lelaki untuk menempa Nalin. Bahan yang digunakan untuk membuat Nalin menjadi ukuran dan lambang status keluarga pengantin lelaki kerana pengantin perempuan akan bertukar statusnya selepas berkahwin.

Manakala ahli keluarga pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri perlu menyediakan sulaman untuk tali bahagian atas selipar sejak mereka mula baligh. Nalin juga dijadikan hadiah bagi bayi yang baru lahir.

Walaupun hanya selipar dipakai ketika mandi dalam ruang yang terhad, namun Nalin juga mempunyai peranan penting dalam hierarki dan kehidupan masyarakat pada zaman pemerintahan Uthmaniyah.

Kesenian ini menjadi antara tunggak tradisi dan makna tersirat dalam kehidupan masyarakat Islam Uthmaniyah pada waktu itu.