Begitulah keadaan meruntun hati yang disaksikan oleh sukarelawan mahasiswa Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUMKL) ketika menyertai Kembara Ilmu dan Kasih Bertaut di rumah perlindungan anak yatim Panti Asuhan Zending Islam Medan, di Indonesia, baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Rizaki Jaapar, 36, keadaan serba kekurangan yang dilalui oleh anak yatim itu adalah sangat berbeza dengan rata-rata pusat perlindungan di Malaysia.

“UUM terpanggil untuk mengadakan program di sana memandangkan Medan antara bandar di Indonesia yang sederhana miskin dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Tambahan pula panti asuhan ini pernah terbakar pada 2015 sehingga mengalami kerosakan hampir 95 peratus yang sehingga kini masih belum dibaik pulih.

“Melalui program ini secara tidak langsung memberikan pendedahan, pengalaman dan latihan kepada pelajar bagi mengendalikan program terutama di luar negara di samping memantapkan ketahanan mental fizikal serta berfikir. Dalam masa sama menyelami permasalahan masyarakat serumpun,” katanya.

Program turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajan (NGO) bagi menyalurkan bantuan kepada seramai 80 anak yatim di pusat perlindungan tersebut.

Antara bantuan yang disalurkan adalah berupa wang tunai, pakaian, tudung, tuala, hadiah, beg dan peralatan sekolah.

“Alhamdulillah, program ini berjaya disempurnakan hasil sokongan ramai. Walaupun terdapat pelbagai halangan, namun tidak mematahkan semangat kami untuk menjayakan kerja amal ini.

“Selain menyumbang bakti, kami juga bertuah kerana mendapat kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) dan Konsulat Jeneral Malaysia yang banyak membantu sebagai perkongsian pintar,” ujarnya.

UNTUK GOLONGAN MEMERLUKAN

Sementara itu, bagi seorang sukarelawan, Nor Suhaila Mohamed Nasir, 38, menyifatkan program tersebut sebagai tanggungjawab sosial mahasiswa menyantuni golongan memerlukan.

“Sebaik sahaja melangkah masuk, sayu hati melihat anak-anak yang berpakaian lusuh berlari riang gembira, bermain dengan gelak ketawa, anak-anak ini masih kecil untuk mengerti kesusahan yang dialami.

“Mereka hidup terbiar akibat kekurangan bantuan sehinggakan terpaksa berkongsi satu pinggan cawan, apabila merenung mata hitam mereka, kesedihan tidak dapat dibendung, berlinangan air mata menyaksikan kemiskinan luar biasa mereka.

“Menariknya, mereka sudah mampu berdikari walaupun masih kecil dan kecekalan hidup mereka wajar dicontohi, malah anak-anak bijak ini sedar hanya pelajaran dapat mengubah masa depan mereka,” katanya.

“Keceriaan terpancar pada wajah kesemua anak yatim ini apabila menerima hadiah, sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara kami dan penghuni Panti Asuhan Zending Islam,” ujarnya yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Awam.