Biarpun sekecil mana kemahuan jemaah haji itu, petugas Tabung Haji sudah bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

Bagi petugas yang telah berada di sini sejak berminggu lalu, mereka begitu gigih melakukan persiapan, meninjau tempat penginapan, menguruskan hal pentadbiran dengan kerajaan Arab Saudi, lebih-lebih lagi di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad bin Abdulaziz, Madinah.

Segala yang akan dilakukan oleh petugas Tabung Haji ini tentulah kerana tidak mahu membebankan jemaah haji, sebaliknya memastikan soal kebajikan, keselesaan dan bimbingan ibadah dapat dilaksanakan dalam keadaan yang baik.

Walaupun mungkin ada sedikit masalah di sana sini, jemaah haji tidak perlulah me­rungut kerana itu lumrah. Di Malaysia sekalipun, kita akan berhadapan masalah dan pasti boleh diselesaikan dengan baik.

Penulis optimis dalam beberapa temubual bersama pengu­rus operasi Madinah dan lainnya sepanjang berada di sini, mereka benar-benar sudah melafazkan kesungguhan untuk berkorban demi memberikan layanan memuaskan kepada jemaah haji kelak.

Apa yang penting, jemaah perlulah bersabar. Jangan ba-nyak merungut. Begitulah juga, jangan jadikan isu lif penuh dan lain-lain sebagai penyuntik perasaan amarah sehingga mengganggu perjalanan ibadah di Tanah Suci ini.

Apa yang pasti, fakta jelas ialah Tabung Haji sentiasa melakukan penambahbaikan walaupun perlu berhadapan perubahan dan perancangan semasa yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi dalam urusan haji dan umrah ini.

Jadi kepada jemaah haji yang bakal berlepas, sekali lagi diingatkan supaya membetulkan niat dan janganlah memulakan misi mencari kelemahan Tabung Haji sebaik sahaja jemaah melangkah masuk ke Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya nanti.

Belajarlah bersyukur dengan apa yang ada dan ucapkanlah terima kasih, apabila selesai membuat satu-satu urusan dalam perjalanan jauh menuju Ilahi ini.

Bagi petugas Tabung Haji, mereka ada tanggungjawab seiring dengan slogan ‘Bersama Santuni Dhuyufurrahman’.

Ini adalah jihad dalam pengu­rusan. Penulis yakin, 30,200 jemaah haji yang ‘berkampung’ di bumi suci ini, akan diberikan layanan terbaik oleh petugas Tabung Haji.

Ingatlah, ada yang datang dari jauh, tidak punyai bilik penginapan seperti kita, tidak ada makanan yang disediakan. Tidak ada pengangkutan yang disediakan, tidak ada beg yang diberikan dan serba kekura­ngan.

Beribadahlah dengan tenang, urusan menjaga kebajikan jemaah haji, berikanlah kepada Tabung Haji. Selamat datang tetamu Allah. – UTUSAN