“Jika kita sekadar melakukan amalan ini untuk perkara tersebut, maka kita hanya akan mendapatkan jalan keluar dalam perkara itu sahaja. Adakah kita hanya bersolat kerana mahu menuruti permintaan kedua ibu bapa atau sekadar tidak mahu mendengar leteran daripada mereka,” kata penceramah terkenal, Yasmin Mogahed.

Berkelulusan dalam bidang Psikologi dan Komunikasi Massa, Yasmin berkata, kita sering terlupa bahawa jika kita tidak bersolat sekali pun, tiada sesiapa pun yang akan terkesan daripada kegagalan kita menunaikan kewajipan tersebut.

Jelasnya, jauh sekali memberi kesan kepada Allah SWT sebagai Pencipta dan tidak juga kepada kedua ibu bapa kita, sebaliknya memberi kesan serta mendatangkan ‘satu bencana’ kepada diri sendiri.

Pada hari pembalasan nanti katanya, kita akan menyaksikan setiap lelaki dan perempuan ‘berdiri di atas kaki sendiri’ di hadapan Allah.

Ketika itu, tiada sesiapa pun yang boleh membantu biarpun ahli keluarga sendiri, kecuali dengan izin Allah SWT.

Malah pada hari penting dan genting tersebut, seorang ibu sanggup bertindak mengenepikan anak kandungnya demi menyelamatkan diri sendiri.

“Sebagai contoh, jika seseorang memilih untuk berpesta sepanjang malam tanpa membuat persiapan untuk peperiksaan akhir, tindakan itu tidak bermakna peperiksaan akhir itu tidak akan berlangsung.

“Apa yang pasti, peperiksaan akhir itu tetap akan berlaku dan individu itu bakal berhadapan dengan kegagalan. Begitu juga dengan kematian, tiada apa-apa yang mampu ‘memberhentikan’ kematian. Malah ia tidak pernah terlewat walau sesaat,” katanya.

Yasmin berkata: “Bayangkan seketika, ada laporan menyatakan ribut besar akan berlaku. Apa yang menyelamatkan melainkan kamu sendiri mencari perlindungan. Kamu dan ahli keluarga akan musnah akibat kejadian tersebut. Apa yang kamu akan lakukan?.

“Hanya orang yang tidak menyakini ramalan ribut besar tersebut akan terus leka bermain dan tidak mempedulikan amaran tersebut,” katanya.

Sebaliknya, jelas Yasmin, semua orang akan menadah tangan memohon perlindungan Allah dan menghentikan segala aktiviti lain yang tidak berkepentingan termasuklah sibuk mahu membuat maksiat.

Sekiranya ada kenyataan yang menyatakan pengabadian kita kepada Yang Maha Kuasa begitu membebankan, perkara itu pasti akan menjadi petanda nyata bahawa hati mereka berdepan dengan masalah besar.

Pastinya mereka berhadapan permasalahan dalaman kronik dalam diri sendiri. Mereka tidak memberi perhatian sepenuhnya untuk berhadapan dengan ‘ribut besar’ yang bakal menjelma.

Perkara itu merupakan satu perumpamaan terbaik berhubung datangnya hari akhirat. Hati seakan tidak disucikan dan diperbetulkan jika kita masih tidak mempercayai kedatangan hari penting tersebut.

“Sekiranya itu berlaku dalam hati kita, seluruh anggota badan dan jasad kita akan musnah kerana tidak dapat melihat kewujudan Allah SWT menerusi hati yang suci.

“Kita pastinya tidak mampu membina sebuah kecintaan terhadap-Nya. Kita tidak sepenuhnya menggunakan segumpal darah tersebut untuk melihat-Nya, seperti mana tujuan hati itu dicipta. Hati dicipta untuk mengetahui, menghambakan diri kepada-Nya dan mencintai-Nya,” kata Yasmin.