Ramai orang yang mengunjungi masjid Nabawi amat menyedari kewujudannya tetapi tidak ramai yang mengetahui sejarah di sebalik tiang-tiang tersebut. Justeru, artikel ini akan memberi sedikit gambaran setiap tiang berkenaan dan juga cerita di sebalik tiang itu yang berlaku semasa Baginda SAW masih hidup.

Jika pembaca berpeluang berkunjung ke Masjid Nabawi, selain mengerjakan ibadat fardu dan sunat, ambil sedikit masa untuk melawat tempat tiang berkenaan.

1. Ustuwaanah Hannaanah adalah tiang yang terletak di bahagian belakang mihrab (tempat solat) Nabi SAW. Di lokasi itu juga pernah digunakan untuk menanam pokok tamar.

Rasulullah SAW dikatakan pernah bersandar pada pokok tamar berkenaan ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Tetapi setelah dibina mimbar, maka Nabi SAW menyampaikan khutbahnya di mimbar tersebut. Perkataan Hannaanah itu digunakan bagi menggambarkan unta yang menangis.

2. Ustuwaanah Muhajireen kerana golongan Muhajirin (pendatang dari Mekah ke Madinah) sering berkumpul di kawasan itu.

Rasulullah SAW pada awalnya pernah mencadangkan agar tempat itu dijadikan kawasan solat umat Islam, sebelum dipindahkan ke lokasi Ustuwaanah Hannaanah.

3. Ustuwaanah Tawbah dikaitkan dengan kisah seorang sahabat Nabi SAW, Abu Lubabah yang secara tidak sengaja mendedahkan perancangan kaum Muslim ke atas Yahudi Bani Quraidoh dalam satu rundingan damai setelah tentera Muslim mengepung mereka.

Menyedari kesilapan itu, Abu Lubabah bertindak mengikat dirinya sendiri pada sebatang pokok tamar dan berjanji tidak akan melepaskan dirinya selagi Allah SWT tidak menerima taubat atas kesilapan tersebut. Rasulullah SAW menyedari tindakan itu.

Setelah berhari-hari terikat pada pokok itu tanpa makan dan minum, kecuali untuk bersolat, pada suatu hari, dia menerima berita gembira bahawa taubatnya diterima tetapi dia tetap menolak untuk melepaskan dirinya, kecuali dilakukan oleh Nabi SAW sendiri. Apabila masuk waktu solat subuh, Nabi SAW melepaskannya.

4. Ustuwaanah Sareer 
(tempat solat) dikatakan bahawa lokasi itu menjadi tempat Rasulullah SAW beriktikad. Sebuah wakaf didirikan berdekatannya bagi memudahkan Baginda Nabi SAW melaksanakan ibadat tersebut.

5. Ustuwaanah Hars atau Ali k.w. Hars bermaksud menjaga atau mengawal. Lokasi tiang itu menjadi tempat sebahagian para sahabat melakukan pengawasan kawasan sekitar Madinah dan Saidina Ali adalah sahabat yang paling kerap melakukan tugasan tersebut sehingga lokasi dikenali Ustuwaanah Ali.

Namun selepas turunnya Surah al-Maidah: 67 bermaksud “... Dan Allah memelihara engkau daripada (gangguan) manusia...”. Rasulullah SAW mengarahkan agar tugasan itu dihentikan serta merta.

6. Ustuwaanah Tahajud adalah satu tempat yang dihamparkan permaidani khas Baginda Nabi SAW melaksanakan solat tahajud secara bersendirian atau selepas orang ramai meninggalkan masjid.

Tetapi hari ini, tempat tersebut telah disembunyikan atas sebab-sebab tertentu dengan binaan rak-rak untuk buku atau al-Quran.

Itulah antara peristiwa di sebalik tiang-tiang tersebut.

Namun begitu, peristiwa atau kejadian berkenaan bukan hanya menggambarkan betapa istimewanya Masjid Nabawi tetapi juga bandar raya Madinah itu sendiri. 
Sumber: muslim-stories.top