Pun begitu, kedatangan kami ke Geneva bukanlah untuk ‘makan angin’. Kami mempunyai misi dan visi yang besar. Hampir enam bulan kami bertungkus lumus untuk menjayakannya.

Pada mulanya kami tidak begitu yakin untuk melaksanakannya. Setelah banyak perbincangan dan penyelidikan dibuat akhirnya membawa kami ke lapangan untuk melakukan kerja rakaman dan temu bual bersama mangsa pelarian Rohingya di Malaysia yang dianggarkan berjumlah hampir 60,000 orang.

Bagaimanapun kami mampu menemu bual seramai 32 orang terdiri daripada lelaki dan wanita dengan masing-masing berkongsi pengalaman ketika tinggal di Myanmar sebelum menjadi pelarian angkara kekejaman kerajaan dan tentera sejak bertahun-tahun lamanya.

Hasil temu bual dan rakaman inilah yang menjadi bahan bukti penting yang dibawa kami ke Geneva.

BUKAN TUGAS MUDAH

Rombongan ini terdiri daripada enam peguam dan seorang Felo Kanan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra). Misi sukarelawan adalah atas rasa keprihatinan, tanggungjawab dan kemanusiaan untuk mengemukakan hujah serta bukti kepada Tribunal Tetap Awam atau People’s Permanent Tribunal (PPT) berpangkalan di Rom, Itali tentang jenayah kekejaman besar-besaran (genocide) dilakukan oleh kerajaan Myanmar dan tenteranya terhadap rakyat sendiri, iaitu etnik Rohingya.

Tribunal ini antara pilihan yang ada selain beberapa pilihan lain. Ia satu bentuk tindakan undang-undang yang kemudiannya diharapkan dapat menghentikan kekejaman menerusi pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague, Belanda.

Di Geneva, rombongan kami bertemu dengan seorang pakar perunding di Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dr. Milena Costas Trascasas.

Pertemuan penting ini diatur bagi mendapatkan khidmat nasihat beliau tentang kaedah dan proses seterusnya untuk mendakwa kerajaan Myanmar di PPT memandangkan usaha ini bukanlah satu tugas yang mudah.

Kami dimaklumkan lebih banyak usaha perlu dibuat untuk menghadapi PPT di samping perlunya mempelbagaikan strategi bagi memastikan usaha yang dibuat tidak berhenti separuh jalan. Kami juga berkesempatan mengunjungi Pejabat PBB bagi melihat sendiri perjalanan mesyuarat dan beberapa acara lain yang sedang berlangsung.