“(Jangan kamu jadi seperti orang Musyrikin), iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisih mengikut kecenderungan masing-masing dan mereka pula jadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (fahaman dan amalan yang terpesong itu),” (al-Rum [30:32]).

Cukup ironi apabila para penyembah berhala di Mekah turut yakin mereka benar dan orang Islam sebenarnya yang sesat:

“Sesungguhnya orang yang derhaka, (dahulunya) selalu tertawakan orang yang beriman. Dan apabila orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang yang beriman, mereka berkata: “sesungguhnya orang itu adalah golongan yang sesat!,” (Al-Mutaffifin [83:29-32]).

Bukan hanya mereka, Firaun yang menjuarai carta manusia paling zalim sepanjang sejarah manusia pun turut berasa dirinya benar dan Nabi Musa a.s. yang paling jahat. Perhatikan firman Allah ini:

“Dan Firaun berkata (kepada pengikutnya): “Biarkan aku bunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi,” (Ghafir [40:26]).


PENYELESAIANNYA?


Oleh kerana semua pihak berasa dirinya benar, apa penyelesaiannya?

Pastinya neraca benar atau sesat ditimbang melalui hujah dan fakta. Pun begitu bagi manusia yang dangkal, hujah fakta mudah sahaja mereka sangkal, walaupun tanpa diketahui hujung pangkal. Hujah fakta bukanlah makanan minda yang mampu mereka hadam. Akibatnya kedegilan dan kebodohan mereka sukar dipadamkan.

Antara alternatif mudah saranan al-Quran bagi menangani manusia malas berfikir adalah mendengar pandangan orang lain atau second opinion. Pandangan kedua lebih berkesan jika yang meluahkan pandangan adalah golongan pakar lagi terpelajar.

Ketika Musyrikin Mekah menyimpan ‘otak dalam almari’ kerana risau terkena jangkitan kebenaran hujah Rasulullah SAW, Allah cadangkan agar mereka menerima pandangan kedua daripada golongan Ahli Kitab.

Mengapa Ahli Kitab? Tidak lain kerana mereka adalah pakar perihal kitab langit dan agama wahyu. Ahli Kitab juga sudah sekian lama dikagumi oleh orang Arab Mekah:

“(Al-Quran diturunkan) Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka. Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka,” (al-An’am [6:156-157]).

Pandangan kedua sebenarnya agak selamat untuk dijadikan makanan minda kerana ia bebas daripada kecenderungan pihak bertelagah. Apabila telagah Musyrikin Quraish dengan Rasulullah SAW berlaku dengan sengit, Allah mencadangkan orang Mekah merujuk pandangan kedua daripada golongan yang mereka kagumi. Benarkah dakwaan wahyu oleh Muhammad ini? Berikutan itu Allah menurunkan ayat ini:

“Oleh sebab itu, sekiranya engkau berasa ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyalah kepada orang yang membaca kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau jadi daripada golongan yang ragu,” (Yunus [10:94]).

Dalam firman lain Allah turut menyarankan perkara sama:

“Dan Kami tidak utus para rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka tanyalah kamu kepada Ahluzzikri (orang yang mengetahui seperti Ahli Kitab adakah pernah ada para Rasul diutus dalam kalangan malaikat. Mereka pasti menjawab - tidak ada) jika kamu tidak mengetahui. Dan Kami tidak jadikan para rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia),” (al-Anbiya’ [21:7-8]).


FITRAH MANUSIA


Manusia itu perbagai ragam. Ada yang hatinya lembut senang menerima siraman wahyu, ada pula yang keras bak batu menolak apa sahaja siraman padanya. Untuk itu Allah memberi alternatif agar mereka bertanya pandangan orang lain untuk lebih memahami.

Bak kata, ada yang mudah percaya jika ada orang memberitahunya ada sesuatu melekat pada hidungnya. Ada pula yang keras kepala tidak mempercayainya sehingga mengatakan individu itu menipu untuk mengejeknya.

Oleh itu, manusia jenis kedua ini memerlukan cermin sebagai ‘pandangan kedua’ untuk membuktikan hidungnya bersih daripada sebarang cacat adalah salah dan temannya itu ikhlas menegur.

Perkara sama patut diamalkan dalam hidup bersosial dan beragama. Bukan semua sudut pandang atau pegangan kita tepat 100 peratus. Mungkin ada sudut serong pada mata kita lalu perlu ada sudut pandang lurus daripada orang lain. Mungkin ada kanta mata kita yang kelabu kerana ego menutup kebenaran, lalu kita perlukan suluhan orang lain agar terang keputusan kita. Begitulah lumrah kehidupan! Beruntunglah orang yang sedia menerima teguran atau nasihat.